World #QuranConvention (WQC) 3.0 bertajuk “Coping With Challenges Surah Al-Sajdah” memfokuskan empat cabaran iaitu kewangan, kerjaya, keluarga, dan sosial/spiritual dengan memberi solusi berpandukan al-Quran dan Sunnah.
Seramai 1,200 peserta dari dalam dan luar negara mengikuti konvensyen bertaraf antarabangsa anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melalui pengurus acara, TickTalk TV di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur pada 3 Disember 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, World #QuranConvention merupakan program besar terakhir di bawah kempen #QuranHour tahun ini untuk membawa misi Surah Al-Sajdah dalam memberi solusi dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan hari ini.
“Surah Al-Sajdah mengajak umat manusia bersujud kepada ALLAH SWT untuk mencapai kejayaan dan kemenangan. Formula bersujud dapat menghancurkan kesombongan manusia dengan solat, infak dan sabar.
“Ia bukan sekadar konvensyen, tetapi membawa misi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah pada 1500H. Usaha berterusan dalam mengajak manusia berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini bertujuan membina kerangka fikir dan transformasi potensi diri berlandaskan nilai-nilai al-Quran.”
Program sehari ini menjadi platform pencerahan dan resolusi yang diperincikan oleh para penceramah yang terkenal dengan kepakaran masing-masing dan dalam kajian al-Quran. Penceramah dan qari datang dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Palestin, Mesir dan Amerika Syarikat.
Menurut beliau, negara yang berhadapan dengan ramalan ekonomi dan bencana alam pada tahun hadapan boleh mengundang pelbagai masalah kepada diri, keluarga, dan rakyat. Ini termasuk cabaran kewangan, kerjaya, keluarga dan sosial/spiritual yang perlu ditangani dengan Divine Intervention (campur tangan ALLAH).
“Konvensyen tersebut diharapkan membantu masyarakat untuk mengambil formula daripada ALLAH SWT iaitu al-Quran sebagai solusi dalam menghadapi pelbagai cabaran tersebut. Kita perlukan kekuatan dalaman dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
“Pihak WUIF berharap World #QuranConvention dapat diteruskan dalam siri jelajah ke seluruh dunia. Sehingga kini, Iran, India, Singapura dan Brunei berminat untuk menjadi penganjur bersama bagi program tersebut.”
Antara penceramah jemputan ialah Penasihat Global Shariah, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Pengarah Urusan Kumpulan Dagang Nexchange Berhad, Tan Sri Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Pengasas Bayyinah, Insitute for Arabic & Qur’anic Studies, Ustadh Nouman Ali Khan; pendakwah dari Bangladesh, Shaykh Mizanur Rahman Azhari; Tokoh Huffaz Nusantara, Dr Ahsin Sakho Muhammad Asyrofuddin dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.
Manakala barisan qari ialah Qari My #QuranTime, Ustaz Tirmizi Amir; Imam dari Palestin, Sheikh Rami As-Sousi; Johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke 61, Ustaz Abdul Khair Jalil; dan Imam Mesir, Syakh Abdullah Sobhi Marei.
Sepanjang program tersebut dihoskan oleh seleberiti Indonesia, Erik Syam Pratama dan Daie Muda Antarabangsa dari Malaysia, Hifdzi Zaim Zamri.
World #QuranConvention 3.0 dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama rakan sinergi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), PUSPANITA Cawangan MITI, Surau Ar-Rahman MITI, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Rumah Ngaji, Akademi Cordoba, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Paragon Corporation melalui jenama kecantikan Wardah dan dandanan lelaki, Kahf menjadi penaja utama, selain Grup Buku Karangkraf, Karya Bestari Sdn Bhd, NIMS Adeliciousz Sdn Bhd, dan Islamic Tourism Centre. Manakala Sinar Harian dan TV AlHijrah menjadi rakan media pada konvensyen sehari ini.
Peserta dari luar negara seperti Bangladesh (16), India (3), Singapura (8), Brunei (2), Indonesia (13), Iran (1) dan Turki (2) turut berpeluang antara untuk melawat gerai jualan yang sertai oleh 30 usahawan di sepanjang konvensyen tersebut.
World #QuranConvention 1.0 bertemakan Surah Al-Kahfi di bawah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 2019.
Manakala World #QuranConvention 2.0 membawa Surah Al-Mulk yang diadakan secara atas talian ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan Covid-19 pada 2021.
Program tersebut didanai oleh Tabung Gerakan Al-Quran di bawah WUIF. Ia merupakan sumbangan orang ramai melalui program My #QuranTime.