“Orang yang sangat menjaga kesihatan, pemakanan dan senaman tetapi tiba-tiba dia didiagnos kanser oleh doktor. Ia boleh terduduk kerana tidak tahu apa puncanya. Untuk mengatasi ketakutan tersebut, kita perlu kembali kepada ALLAH agar lebih bersyukur dan tenang dalam menghadapi ujian.”
Demikian kata Jurulatih Pemulihan Penjagaan Kanser Bersepadu dan Pengasas Wellness Quranic Valley, Dr Yasmeen Mohamed bersama Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail ketika ditemu bual oleh hos Sinar Live : Reset Kesihatan dengan Al-Quran, Haizir Othman pada 21 September 2023.
Mereka yang berkongsi pengisian maklumat, merupakan penceramah bagi Seminar Soul Fitness & Wellness Breakaway : Reset, Recharge, Re-enforce di Cherengin Hills Convention & Spa Resort, Janda Baik, Pahang pada 28 September 2023.
“Saya sebagai pengasas kumpulan sokongan pesakit kanser, Fuel for Love for Fighters sejak 2015, memberi bimbingan cara pemakanan dan amalan gaya hidup sihat kepada pesakit dan bekas pesakit kanser.
“Berdasarkan pengalaman sendiri, saya yang mengamalkan gaya hidup sihat terkejut apabila didiagnosis kanser oleh doktor pada 2021. Ketika itu, saya hilang semangat dan rasa takut untuk menghadapi ujian penyakit tersebut.
“Orang yang berada dalam fasa antara selepas diagnosis dan mendapatkan rawatan adalah waktu paling kritikal. Mereka perlu dibantu dan dibimbing untuk mengatasi perasaan takut. Sebagai Muslim, kita tiada cara lain melainkan kembali kepada agama.
“Untuk menetapkan semula (reset) niat dan hati, ia memerlukan al-Quran sebagai panduan yang kuat untuk kita pegang. Kesannya, proses perjalanan pemulihan akan menjadi lebih tenang.
“Sebenarnya sudah lama saya fikirkan untuk menggabungkan penjagaan kesihatan dengan panduan al-Quran. Selama bertahun-tahun kita melakukan usaha penyembuhan tanpa suluhan al-Quran, akhirnya tiada ke mana dan tidak ada kekuatan.
“Terlalu banyak teori untuk penjagaan dan pemulihan kesihatan, sehingga tidak tahu yang mana satu benar. Jika kita kembali kepada agama, ia membantu diri kita untuk menjadi lebih kuat, sabar dan bersyukur.”
Tambah beliau, sekarang terdapat banyak rawatan yang terbukti berkesan untuk membantu pesakit kanser. Namun mereka masih bersikap negatif dalam melalui ujian tersebut, sehingga ada yang sanggup meninggalkan agama.
Oleh itu, kita perlu bantu mereka dari segi spiritual dalam proses pemulihan untuk lebih tenang. Doa-doa dalam al-Quran mampu mententeramkan hati kita. Selain itu, kita perlu cas semula (recharge) melalui pemilihan makanan yang betul untuk penjagaan kesihatan.
Makanan adalah penting untuk pembentukan sel baru dalam badan walau apapun penyakit yang datang. Manakala makanan untuk jiwa adalah al-Quran. Apabila elemen reset dan recharge dilakukan, maka pengukuhan (reinforce) kepada minda, badan dan tabiat untuk bertindak lebih baik agar dapat mencapai matlamat penyembuhan.
Tambahan pula, unsur spiritual yang dikaitkan dengan agama mampu membimbing kita untuk lebih kuat dalam menangani ketakutan, reda dengan ujian penyakit dan menerima kenyataan bahawa hidup hanya sementera. Apa pun terjadi, kita yakin ia adalah projek ALLAH SWT yang perlu disyukuri.
Dr Yasmeen berkolaborasi dengan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kerana tertarik dengan pendekatan al-Quran yang membawa solusi dalam bidang kesihatan dengan membina legasi mengQurankan kesihatan, Wellness Quranic Valley.
“Wellness Quranic Valley menjadi platform untuk mengumpulkan semua formula selama bertahun-tahun ini untuk dikongsikan kepada orang ramai yang ada penyakit atau sebaliknya. Kita gabungkan kajian saintifik dengan al-Quran untuk mendapatkan solusi yang lebih baik.
“Cherengin Hills Convention & Spa Resort yang menjadi lokasi seminar ini adalah tempat strategik yang dikelilingi dengan alam semula jadi untuk mendapatkan ketenangan daripada hiruk pikuk kehidupan di bandar.”
Sementara itu, Fazrul berkata WUIF yang kini memasuki 10 tahun kedua penubuhannya sejak 2013 memfokuskan kefahaman al-Quran yang lebih mendalam untuk mengamalkannya.
“Pelbagai masalah di bumi dimuat naik dengan berinteraksi dengan pakar daripada pelbagai bidang. Pihak WUIF melihat dari segi panduan al-Quran mengenai isu berkenaan. Apabila ilmu langit dan ilmu bumi bergabung, kita harapkan al-Quran menjadi solusi dalam kehidupan.
ALLAH SWT berfirman: “Maka tidakkah mereka menghayati (mendalami) al-Quran? Sekiranya (al-Quran) itu bukan daripada ALLAH, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya.” (Surah Al-Nisa: 82)
Dari segi fizikal, intelektual, spiritual dan emosi, al-Quran adalah sumber kebenaran sepanjang hayat. Berbanding dengan dunia saintifik, ia sentiasa berubah mengikut zaman. Oleh itu, al-Quran perlu diraikan dengan akal dan ilmu yang benar.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran (al-Quran) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)
Dalam al-Quran ada menyebut Iqra’ yang bermaksud bukan sekadar membaca tetapi perlu difahami, dikaji dan diselidik. Kita perlu banyak berinteraksi dengan al-Quran untuk mendapat peringatan, penawar, petunjuk dan kasih sayang ALLAH SWT.
“Semoga lebih ramai pakar untuk bersinergi dengan WUIF untuk mendapat solusi al-Quran yang lebih hebat. Apa jua jenis ilmu perlu dikaji hingga ke akar dan akhirnya berjumpa sumber yang satu, iaitu ALLAH SWT Maha Pencipta,” ujar beliau.
Penceramah lain, Konsultan Psikologi Organisasi dan juga Penasihat Soul Fitness WUIF, Dr Alizi Alias dan Ketua Penyelidik WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein memberi pengisian bagi Seminar Soul Fitness & Wellness Breakaway.
Program tersebut dianjurkan bersama Wellness Quranic Valley, Soul Fitness, Releaf Global Sdn Bhd, Cherengin Hills Spa & Resort dan AQMA – Al-Quran Marriage Academy.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai seminar ini, sila daftar di https://bit.ly/SFBREAKAWAY