Masjid Al-Falah USJ 9 bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan Al-Falah #QuranHour sempena Karnival Maulidur Rasul yang bertema “Rasulullah Always In My Heart” di Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya, Selangor pada pukul 9.30 pagi, 14 Oktober 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pihak WUIF menyambut baik kerjasama bersama pihak Masjid Al-Falah untuk menganjurkan Al-Falah #QuranHour yang bertemakan “Kepimpinan Abrar” dengan berpandukan Surah Al-Insan.

Program tersebut yang terbuka kepada orang ramai memberi perspektif kepimpinan abrar (orang yang berbuat kebaikan) dan kepentingan memimpin diri, keluarga, dan organisasi, seterusnya membina negara berbudi dan penyayang.
“Kini WUIF memasukki 10 tahun kedua selepas penubuhannya pada 2013 dengan memfokuskan kerjasama dengan semua pihak yang berkepakaran dalam pelbagai bidang. WUIF bekerjasama dengan Masjid Al-Falah sebagai model pertama dalam membina legasi kepimpinan berpandukan al-Quran dan Hadis, mampu pergi lebih jauh hingga ke peringkat global.
“Al-Falah #QuranHour bukan sahaja diadakan pada tahun ini, malah ia boleh menjadi pencetus untuk dijadikan program tahunan dengan membawa surah yang berbeza dan dimasukkan dalam Kalendar Al-Quran oleh pihak Masjid Al-Falah. Tahun ini, kempen #QuranHour membawa Surah Al-Insan, dan tahun hadapan, Surah Al-Jumu’ah menjadi surah pilihan.
“Pihak WUIF menggalakkan masjid-masjid lain turut menyambut untuk menganjurkan kempen #QuranHour mengikut tema yang bersesuaian dengan golongan sasarannya. Aktiviti tersebut boleh dimasukkan ke dalam kalendar al-Quran mereka di peringkat lokal,” katanya.

Sementara itu, Nazir Masjid Al-Falah USJ 9, Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata penganjuran Karnival Maulidur Rasul bertujuan memberi kesedaran kepada para jemaah tentang kepentingan membaca al-Quran sebagai panduan kehidupan dan mencontohi akhlak Rasulullah SAW.
“Kita berharap acara tersebut diadakan sebagai program tahunan agar lebih ramai jemah termasuk golongan professional boleh mendekati masjid dan berkongsi ilmu. Dengan berkolaborasi pihak WUIF, Masjid Al-Falah sebagai peneraju leagsi kepimpinan mampu mempromosikan kepimpinan Islam ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,” ujarnya.
Sesi Al-Falah #QuranHour tersebut dimulakan dengan bacaan al-Quran yang dibimbing oleh Qari Ustaz Mohd Faizan Tajuid dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman. Sesi tadabbur disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik, Fazrul Ismail, Ustaz Shamsul Hakim dan dihoskan oleh Ustaz Khairul Haffiz Abd Halim.
Peserta berpeluang untuk mengikuti perkongsian daripada dua tokoh iaitu Nazir Masjid Al-Falah USJ 9 yang juga ahli korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub. Program diakhiri dengan bacaan ikrar oleh Ustaz Hafizal Harun dan doa oleh Ustaz Mohd Hafizul Husna Samad.

Karnival tersebut diadakan sempena kelahiran Rasulullah SAW pada bulan Rabiulawal 1445H dan sambutan Jubli Perak bagi penubuhan Masjid Al-Falah yang ke 25 tahun ini. Ia juga sebagai usaha Masjid Al-Falah USJ 9 untuk mengumpul dana sebanyak RM3 juta bagi projek pembangunan kemudahan masjid, khususnya pembinaan kompleks tiga tingkat untuk kegunaan pegawai masjid, rumah tamu dan kafe.
Selain itu, dana tersebut juga bertujuan membina Perpustakaan Ilmu Ibnu Sina yang berkonsepkan digital, bilik nikah, bilik wuduk Muslimin dan bilik mesyuarat. Semua projek ini telah mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Masjid Al-Falah USJ 9 berkerjasama dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya, JAIS, Sinergi Ilmu, TV9, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas untuk menjayakan Karnival Maulidur Rasul pada pukul 10 pagi hingga 10 malam selama tiga hari bermula 13 Oktober 2023. Semua lapisan masyarakat termasuk orang yang bukan Islam dijemput datang untuk mengikuti pelbagai aktiviti bermanfaat di sepanjang karnival tersebut.
Untuk maklumat lanjut sila layari Facebook Quran Hour dan Masjid Al Falah USJ 9.