Rumah Ngaji Al-Jauharah (RNAJ) menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran Qiraat Imam ‘Asim Riwayat Syubah & Hafs Syatibiah Kali Ke-7 anjuran Rumah Ngaji bagi meraikan asatizah dan pelajar di Dewan Grand Inara, Sg Udang, Klang pada 26 November 2022.
Penggerak RNAJ, Ustazah Norizan Md Nata atau lebih dikenali Ustazah Ita berkata seramai 11 pelajar yang khatam al-Quran diraikan dengan dihadiri hampir 200 tetamu daripada para asatizah, ahli RNAJ, penggerak Rumah Ngaji dan keluarga.
“Menjadi hasrat saya untuk memartabatkan majlis al-Quran seperti taman syurga. Syukur kerana impian saya tercapai hari ini kerana penganjuran majlis ini seperti menyambut menantu.
“Program hari ini didanai oleh Tabung Kesalahan Membaca daripada kalangan peserta Rumah Ngaji dan Tabung Lambaian Kaabah. Tahun lepas, acara sedemikian dilakukan secara atas talian ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi pencegahan penularan Covid-19.

“Pihak RNAJ turut menjemput penghuni orang kurang upaya (OKU) dari Bengkel Daya Klang (BDK). Ia bertujuan untuk menyantuni golongan tersebut dalam program al-Quran.”
Beliau menambah, majlis al-Quran dapat menyatukan semua golongan dan merapatkan ukhuwah dalam kalangan mereka.
“Saya berharap kita semua terus beristiqamah dengan al-Quran dan Sunnah agar terus mendapat manfaat dalam kehidupan di dunia dan akhirat.”

Majlis khatam tersebut dimulakan dengan alunan marhaban oleh Kumpulan Marhaban Nurul Huda yang dipimpin oleh ibunda Ustazah Ita, Aseriani Silong Ahmad. Ia diikuti dengan acara Tahnik bayi Umar ‘Aqib bin Amsyar Ahnaf yang berusia 58 hari yang dilakukan oleh Yang Dihormati Syeikh Mustafa Al-Cheikh Youssef AlHafiz, Pengasas SMSY Quranic Centre.

Syeikh Mustafa yang merupakan pemegang Sanad 10 Qiraat mengetuai dengan Qasidah 10. Aktiviti seterusnya program #QuranHour yang mengangkat Surah Ar-Rahman sebagai surah pilihan. Bacaan surah tersebut dibawakan oleh qariah, Fatin Alwani dari Group Diamond dan Zafiera Nabila dari Group Amethyst yang merupa pelajar terbaik RNAJ bagi tahun 2021/2022.
Ringkasan huraian Surah Ar-Rahman disampaikan oleh adik Muhammad Soleh Rosli, penghuni kurang upaya BDK. Antara pengisiannya adalah mengajak kita mentauhidkan ALLAH dengan melihat ciptaan langit dan bumi; ganjaran syurga dan gambarannya; dan perlu mensyukuri segala nikmat ALLAH.

Kemuncak majlis khatam dengan menampilkan 11 pelajar yang telah khatam 30 juzuk Qiraat Imam ‘Asim. Tenaga pengajar, Ustaz Nurzamir Zakaria, Guru Tajwid, Guru Al Quran & Qiraat dan Ustazah Ita berada di pentas yang sama untuk menyemak bacaan.
Tetamu diberi halwa telinga dengan alunan Qasidah Kalamunqodim oleh Kumpulan Marhaban Nurul Huda. Ia diikuti dengan sesi Tazkirah Ringkas oleh Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah yang bertajuk “Penghormatan Guru, Ilmu dan Tempat belajar dalam menuntut Ilmu Al-Quran”.
Menurut beliau, guru dan pelajar merupakan individu penting dalam proses pembelajaran. Anak murid perlu ada inisiatif untuk mempelajari al-Quran dalam membina insan terbaik.
“Apa jua yang berkaitan dengan al-Quran, ALLAH memuliakannya. Contoh Malaikait Jibril sebagai Penghulu segala malaikat; Nabi Muhammad SAW, Penghulu segala nabi, dan Ramdan, Penghulu segala bulan.

“Mudah-mudah kita dimuliakan ALLAH SWT dengan mendekatkan diri kepada al-Quran. Belajar al-Quran mendapat empat nikmat iaitu doa malaikat, rahmat ALLAH SWT; hati yang tenang dan mukjizat al-Quran sebagai solusi kehidupan.”
Acara diteruskan dengan penyampaian sijil bersanad RH Qiraat Centre oleh Datin Raja Hanaliza Raja Ahmad Tajudin, Pengasas RH Qiraat Centre kepada 14 pelajar.

Sementara itu, seramai 9 sahabah RNAJ bakal mengerjakan ibadah umrah bersama Al-Mikayla Travel & Tours pada 24 Des 2022 sehingga 5 Jan 2023. Mereka menerima duit poket umrah dan cenderahati Lambaian Kaabah RNAJ pada majlis tersebut. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Hj Zainuddin Abdul Rahim, Pengerusi, Pertubuhan Kebajikan Kasih Aishah.
Antara tetamu yang hadir, Al-Habib Dr Taher Muhammad AlAhdal, Ketua Ribat Ahlil Quran Yayasan Restu; Ustaz Ahmad Sabri Harun, Pengasas Pengajian As-Sobr; Dato’ Hj Mohammad Rahidin Sahar, CEO Al-Mikayla Travel & Tours Sdn Bhd bersama isteri, Datin Azlina Abdullah; Marawaty Abdul Haris, wakil Yayasan Warisan Ummah Ikhlas; dan Khairul Faizal Hamzah dari Yayasan Adei Adzhar, Syarifah Yahya, Timbalan Pengurus BDK.