Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) melancarkan My #QuranTime (MQT) 2.0 “Solat, Quran, Infak” Edisi Pengenalan bagi 2111 episod yang bersiaran secara langsung di studio sementara @ Dewan Karangkraf, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada pukul 12 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 14 Disember 2022.
Program berinteraksi dengan al-Quran ini disiarkan secara hibrid. Seramai 80 peserta mengikuti MQT 2.0 di lokasi penggambaran tersebut. Pada masa sama, orang ramai boleh mengikuti di semua platform digital My #QuranTime Official, Sinar Harian dan Ideaktiv.
Edisi Pengenalan MQT menampilkan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Tuan Fazrul Ismail sebagai moderator, Ketua Bahagian Penyelidikan & Pembangunan dan Kawalan Kualiti, WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein sebagai tetamu jemputan dan Qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
Episod 1 My #QuranTime 2.0 memaparkan adab-adab dengan al-Quran, cara mentadabburi al-Quran serta sumber rujukan tadabbur menggunakan 18 kitab. Selain itu, episod ini juga akan membincangkan mengenai cara untuk menghafaz ayat-ayat dalam surah-surah al-Quran.
My #QuranTime 2.0 musim baru ini mensasarkan 6T iaitu:
- Tajwid
- Tahsin
- Taranum
- Tadabbur
- Tazakkur
- Tahfiz
Beliau menambah, MQT 1.0 membawa tema Baca, Faham dan Amal, dan MQT 2.0 memfokuskan tema Solat, Quran dan Infak. Ini berpandukan kepada Surah Fatir, ayat 29 sebagai formula tema tersebut dan kita bersemangat bersama 2111 episod.
ALLAH SWT bersabda: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab ALLAH (al-Quran) dan melaksanakan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak akan rugi.”
18 kitab rujukan
Ustaz Safri berkata, pihak R&D WUIF mengambil inisiatif untuk mengkaji setiap ayat al-Quran yang diturunkan oleh ALLAH serta makna melalui Kitab Muktabar terdahulu dan zaman sekarang untuk disampaikan oleh Tuan Fazrul sebagai Pentadabbur MQT.

“ALLAH SWT memulakan perkataan tidak ibadah lain pada ayat 29, melainkan orang yang membaca al-Quran, diiringi dengan ibadah solat dan infak. Kami mengkaji dan mengupas kitab-kitab oleh para ulama sebelum ini.
Ayat tersebut menjadi motivasi untuk sentiasa membaca isi kandungan al-Quran melalui tadabbur agar dapat mencintai al-Quran. Apabila faham, ia boleh dibaca dan dihafal dalam solat. Selepas itu, kita perlu melakukan hubungan sosial sesama manusia dengan berinfak ke jalan ALLAH. Ia menjadi panduan Habluminallah dan Habluminannas, iaitu hubungan baik dengan Allah SWT dan dengan sesama manusia dengan mewujudkan budaya menolong.

Beliau menambah, ALLAH SWT menyatakan al-Quran diturunkan penuh keberkatan agar orang yang sihat dapat pengajaran.
ALLAH SWT berfirman: “Kitab al-Quran kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sifat mendapat pengajaran.” (Surah Sad: 29)
Berpandukan Tafsir Tantawi, barakah bermaksud banyak kebaikan dan keberkatan. Al-Quran memberi hidayah. Ia mengandungi banyak ilmu yang perlu dikaji dan ditadabbur. Rugi jika kita tidak dapat menghayati panduan al-Quran untuk mendapat keberkatannya.
Al-Quran mempunyai keberkatan syifa atau penyembuhan. Ia memberi cahaya yang menerangi kegelapan. Oleh itu kita perlu terus bertadabbur isi kandungan al-Quran untuk mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT.
Kaedah tadabbur dapat mengetahui isi kandungan al-Quran dan berusaha memahaminya melalui kitab tafsir. Seterusnya kita perlu membawa nilai al-Quran ke dalam hati untuk dipraktikkan dalam kehidupan agar mendapat keberkatan al-Quran. Melalui tadabbur dan tazakkur, kita dapat mengingati dengan tujuan bahagia di dunia dan akhirat.
Sebanyak 18 kitab menjadi rujukan kepada team R&D yang perlu dikaji makna yang terkandung dalam setiap ayat al-Quran setiap hari. Bahan rujukan tersebut ialah:
- Tafsir al-Tabari : Jami` al-bayan `an ta’wil ay al-Qur’an
- Al-Imam Al-Qurtubi: Al-Jami li-Ahkam Al-Qur’an
- Kitab Taisir Al-Karimir Rahman Fi Tafsir Kalam Al-Mannan
- Tafsir Ibnu Kathir : Al-Quran Al Azim
- Imam Al-Bagawiy: Kitab Ma’alim al-Tanzil
- Adhwaul Bayan Fi Idhahil Quran bil Quran
- Al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj
- Imam Fakhruddin Ar-Razi: Kitab Tafsir Al-Kabir Mafatih Al-Gaib
- Ibnu ‘Asyur: Kitab Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir
- Ruh al Ma’ani fi tafsir al Qur’an al ‘Azim wa al sab’i al mathani
- Al-Tafsir al-wasit lil-Quran al-karim
- Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul
- Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM
- Kitab al-Mu’jam al-Mufahras Li Alfaz al-Quran
- Ar-Raghib al-Ashfahani: Kitab al-Mufradat fi Gharib al-Qur’an
- Imam Al-Bukhari: Kitab al-Jami’ al-Sahih
- Sahih Muslim
- Shaykh Manna’ al-Qattan: Mabahith fi Ulum al-Qur’an
Seramai lapan pengkaji dari Jabatan R&D WUIF mengkaji 18 kitab setiap hari untuk melihat ayat dan maknanya yang terkandung dalam al-Quran. Mereka meneliti dan memahami apa yang disampaikan oleh ALLAH melalui kajian dan tafsir ulama terdahulu.
Penghuraian ayat tersebut mengikut kesesuai kehidupan hari ini. Contoh, kita mengkaji perkataan “Mubarak” agar dapat disampaikan kepada masyarakat dan merasakan keindahan al-Quran dalam kehidupan apabila dibaca dan ditadabbur. Seterusnya mereka boleh mengamalkan nilai al-Quran dalam kehidupan dan menjadikan al-Quran tersemat di hati.
Fazrul berkat, setiap episod mengetengahkan satu pertiga halaman al-Quran untuk mendapat lebih kefahaman pada tajwid, tahsin dan taranum. Sesi tersebut dibimbing oleh Qari MQT, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman. Diharapkan kita semua terus beristiqomah dalam mendalami ilmu al-Quran melalui MQT 2.0 sebanyak 2111 episod.
ALLAH SWT berfirman: “Tidakkah mereka menghayati al-Quran, atau apakah hati mereka sudah terkunci?” (Surah Muhammad: 24)
Safri berkata, setiap ayat al-Quran yang dibaca dengan penuh khusyuk dan tawaduk serta bacaan yang baik, ia boleh mendatangkan nikmat. Ayat 24 ditujukan kepada golongan munafik yang tidak mahu menghayati (tadabbur) al-Quran, hati mereka dikunci oleh ALLAH SWT.
Orang yang bertadabbur al-Quran dengan khusyuk, membacanya dengan tajwid yang baik, dan mengamalkan isi kandungannya, maka hati mereka dibersihkan, turut kata, pandangan mata, pendengaran mahupun langkah dijaga oleh ALLAH SWT.
Adab bersama al-Quran
Sementara itu, Ustaz Ahmad Tirmizi berkongsi ilmu adab bersama al-Quran. Perkara paling utama adalah niatkan kerana ALLAH SWT, berwuduk dan bersedia dengan pakaian yang terbaik untuk berhadapan Kalam ALLAH.
Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”. (Sahih Bukhari)

Dalam segmen tajwid, beliau berkata, beberapa kitab dalam Bahasa Arab seperti kitab Hidāyatul Qārī ilā Tajwīd Kalām al-Bārī dan kitab “al-Wafi fi syarh al-Syatibiyah fi al-Qira’at al-sab’i ditelusuri bagi berkongsi kalimah dan hukum tajwid dalam setiap episod. Selain itu, Kitab Mantap Tajwid yang diringkaskan dan disusun oleh Ustaz Ahmad Tirmizi dan Ustaz Ahmad Tarmizi turut dijadikan panduan untuk memudahkan belajar al-Quran.
Istimewa MQT 2.0 turut menampilkan segmen baru iaitu hafazan. Qari menggunakan Al-Quran Al-Karim Al-Hafiz terbitan Karya Bestari. Setiap halaman tersebut mempunyai tiga blok yang berbeza warna dan menjadi tiga episode. Peserta berpeluang untuk menghafal sekurang-kurang satu ayat dalam setiap episod.

Teknik hafal digunakan dengan membaca berulang beberapa kali, tanpa melihat al-Quran, dan ingat kalimah. Perkataan yang biasa kita jumpa dalam ayat al-Quran membantu kita untuk menghafal. Kita bukan sekadar membaca al-Quran dengan baik, dan tadabbur, ditambah dengan elemen hafalan pada MQT 2.0.
ALLAH SWT berfirman: “Maka tidakkah mereka menghayati (mendalami) al-Quran? Sekiranya (al-Quran) itu bukan daripada ALLAH, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya.” (Surah Al-Nisa’: 81)
Fazrul berkata, kita perlukan al-Quran setiap hari untuk membina cara fikir dengan kemas. Kita bercakap dengan emosi atau hati yang disucikand dengan al-Quran. Bertadabbur dapat mengatur kaedah berfikir dan tidak bercelaru. Untuk kebenaran, kita perlu merujuk kepada orang yang berilmu.
Kita mudah hafal apabila dapat memahami ayat al-Quran difahami. Diharapkan selepas setiap episod MQT 2.0, kita boleh membaca ayat al-Quran tersebut dalam solat dan merasai kemanisan dalam eribadah. Doakan agar kita bermula dan beristiqamah bersama al-Quran. Insya-ALLAH.
Orang ramai yang ingin menjadi peserta di studio MQT 2.0, sila mendaftar dan dapatkan maklumat lanjut di https://www.facebook.com/myqurantimeofficial
My #QuranTime 2.0 merupakan program wakaf daripada sumbangan Tabung Gerakan Al-Quran. Sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan boleh ke akaun MAYBANK: 5642 7653 8528 rujukan: Tabung Quran (http://bit.ly/TabungQuran)