Sesusah manapun, pasangan suami isteri dari Sabah ini tidak suka meminta. Mereka yang kini tinggal di Segamat, Johor, sanggup menjual perabot dan barang elektrik di rumah demi kelangsungan hidup sekeluarga.
Siti Zulaikha Abdullah, 24, berkongsi cerita kesukaran hidup sekeluarga akibat terkesan pandemik Covid-19 di Talian Jiwa Episod 6 yang bersiaran di Astro Oasis pada 19 Ogos lalu.
Program yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Astro Oasis dan Sinar Harian ini menggabungkan solusi daripada al-Quran, bantuan tunai dan sokongan lain kepada golongan yang memerlukan bantuan.
Ibu kepada enam anak yang berusia 10,8,6,5,2 dan 1 tahun tidak mempunyai kelulusan tinggi. Beliau hanya ada sedikit kemahiran dalam perkomputeran dan memasak ketika mengambil upah menyediakan juadah di masjid dan parti kecil.

“Sebelum ini saya menjadi dropship. Sebelum pandemik Covid-19, kami sekeluarga boleh teruskan kehidupan walaupun tidak mewah. Alhamdullilah, makanan tidak pernah putus, komitmen bulanan juga tidak pernah tertunggak.
“Cabaran hidup saya sekeluarga semakin terasa apabila duit simpanan telah habis digunakan. Ditambah suami saya, Rizwan Mahali, 34, bekas buruh terpaksa berhenti kerja pada November 2020 untuk menjaga anak yang disyaki Covid-19 di hospital. Ketika itu beliau baru bersalin dalam pantang.
“Suami melakukan pelbagai usaha untuk mencari pekerjaan namun belum berhasil. Duit simpanan yang ada telah habis digunakan. Mereka terpaksa menjual barang yang ada rumah bagi menampung keperluan hidup. Kini, suami mencari pendapatan dengan bekerja bersama rakan untuk baiki rumah.
“Dalam keadaan kesempitan hidup, saya kasihankan anak-anak. Mereka hanya makan bubur kosong. Apabila beras habis, saya masak cucur untuk beri mereka makan.
“Suami pernah mencuri sebungkus mi segera dan sebiji telur di kedai runcit untuk kami sekeluarga makan. Saya pernah meminta bantuan melalui Facebook. Alhamdulillah, kami terima banyak bantuan makanan waktu itu.
“Saya tidak menjangka untuk dipilih sebagai pemanggil di Talian Jiwa dan menerima bantuan sebanyak RM2,500. Wang tersebut dapat dimanfaatkan untuk membayar sewa rumah yang tertunggak sebanyak RM800, peralatan sekolah anak dan keperluan bayi.
“Wang selebihnya saya gunakan sebagai modal untuk berniaga nasi lemak di hadapan rumah. Ini termasuk membeli payung, meja dan bekas plastik. Sebelum ini suami bantu buat penghantaran makanan, namun disaman kerana tiada lesen kenderaan.”

Siti Zulaikha bersyukur kerana perniagaannya mendapat sambutan walaupun tidak banyak pada peringkat awal ini. Beliau mengambil tempahan sehari lebih awal untuk memenuhi kehendak pelanggan. Selain nasi lemak, beliau menjual nasi bajet berharga RM5.
“Hasil perniagaan makanan tersebut mampu meringankan sedikit beban yang ditanggung. Cuma kami perlukan peti sejuk untuk simpan barang masakan. Pada masa kini, saya hanya membeli barang dan memasak mengikut tempahan yang diterima.”
Beliau yang berketurunan Kadazan memilih Islam sebagai agamanya berpegang kepada ayat al-Quran, iaitu ALLAH tidak menguji hamba-Nya melebihi yang dia mampu.
ALLAH SWT berfirman: “ALLAH tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah: 286)
“Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, saya berserah kepada ALLAH SWT sepenuhnya.
Apabila kita berserah kepada ALLAH sepenuhnya, insya-ALLAH kita dapat hadiah besar. Oleh saya perlu lebih bersabar, syukur, reda dan tawakal.
“Niat saya adalah berniaga sambil bersedekah. Ada masanya saya berinfak nasi lemak kepada rumah anak yatim. Anak sulung saya juga tertarik berniaga seperti saya. Saya bercadang beri pendedahan kepada anak untuk berniaga,” ujarnya.
Orang ramai ingin menghulurkan bantuan kepada Siti Zulaikha, boleh salurkan melalui akaun Maybank 154110281947.
Program Talian jiwa bertujuan untuk membantu golongan B40, M40 dan T20 yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Rancangan ulangan ini boleh diikuti di platform media sosial FB dan Youtube Soul Fitness Clinic.
Sumbangan tunai yang diberikan kepada pemanggil Talian Jiwa adalah melalui sumbangan daripada orang ramai yang berterusan menderma di Tabung Gerakan Al Quran yang diuar-uarkan melalui My #QuranTime di TV AlHijrah.