“Duit sumbangan yang saya terima terus digunakan untuk membeli keperluan anak seperti susu, lampin pakai buang dan pakaian. Selain itu, saya gunakan untuk bayar sewa bilik dan simpan sedikit untuk kecemasan.
Demikian kata Nor Hadila Abu Hassan, 29, yang merupakan ibu kepada dua anak yang berusia 1 tahun 8 bulan dan 4 bulan. Beliau menjadi pemanggil Talian Jiwa Episod 6 yang disiarkan di Astro Oasis, pada 19 Ogos 2021.
Program Talian Jiwa dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan Sinar Harian dan Astro Oasis. Ia bertujuan membantu golongan B40, M40 dan T20 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dari segi sokongan kerohanian, emosi, kewangan dan rangkaian bantuan.

Dalam perkongsian di Talian Jiwa, Nor Hadila sebagai dropshipper, berasa tertekan apabila pendapatan isi rumah terjejas. Jualan produk merosot apabila kurang mendapat sambutan pelanggan ketika musim PKP.
Pada masa sama, suami beliau sebagai pemandu lori terpaksa mengambil cuit tanpa gaji dan hanya bergantung kepada subsidi Perkeso dan majikan sebanyak RM600 ketika itu. Kini suami masih dicutikan kerana tempat kerjanya ada kes Covid-19.
“Kami menyewa bilik sebagai tempat berlindung empat beranak dengan bayaran RM200. Di situlah ruang tamu, bilik dan dapur dan bilik air.

“Syukurlah kami mendapat sumbangan RM2,500 melalui program Talian Jiwa. Ia mengurangkan beban kami yang agak buntu untuk mencari sumber kewangan. Apa yang penting bagi saya adalah dua anak dari segi susu, lampin pakai buang, pakaian serta bayar sewa bilik.
“Saya juga dapat menggunakan wang sumbangan tersebut untuk menambahkan stok produk termasuk Sambal Tempoyak Petai dan mempelbagaikan jenis barangan untuk dijual secara online. Ini termasuk tudung, jam tangan dan makanan.”

Nor Hadila dari Negeri Sembilan telah mendaftarkan perniagaannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan berjinak-jinak menggunakan platform Shoppee untuk berniaga pada hujung Ogos lalu. Pada awalnya, beliau ingin keluar bekerja untuk mencari sumber pendapatan yang stabil.
Namun, keinginan beliau itu terpaksa diketepikan bagi memberi tumpuan terutama kepada anak kedua yang mengalami jantung berlubang. Beliau perlu berulang-alik ke hospital di Muar untuk mendapatkan rawatan anaknya.
“Sebelum ini kami sekeluarga tinggal di rumah emak di Seremban. Namun kami perlu keluar dan hidup berdikari untuk membesarkan keluarga di Johor. Tambahan pula ibu saya mengalami penyakit tiga serangkai. Manakala dua adik lelaki mengalami penyakit jantung dan kakak sakit Leukemia.
“Apabila difikirkan semula, ujian saya dahulu lebih berat berbanding sekarang. Saya telah kehilangan empat anak yang mengalami penyakit Cardiac Arrhythmia dan seorang lain meninggal dunia ketika dalam kandungan 5 bulan. Saya reda dengan ketentuan ALLAH.
“Tanpa anak, mungkin saya tidak ada semangat untuk teruskan kehidupan. Dengan kehadiran dua anak ini, saya berusaha untuk menjaga amanah ALLAH sebaik mungkin. Saya juga bertawakal kepada ALLAH mengenai rezeki.
“Syukur, suami menggalakkan saya untuk berniaga. Baru-baru ini, kami dapat beli sebuah motorsikal terpakai bagi memudahkan pergerakan kami. Sementara ini suami banyak membantu saya untuk menghantar produk kepada pelanggan.”
Nor Hadila bercadang untuk memulakan perniagaan dengan mengambil tempahan nasi lemak pandan dari rumah. Inisiatif ini diambil untuk menambahkan pendapatan. Tidak cukup menjana pendapat sebagai dropship, beliau kemudian mengorak langkah dengan menjadi ejen Sambal Tempoyak Petai.
Sesiapa yang ingin membantu Nor Hadila Abu Hassan, boleh salurkan sumbangan di CIMB BANK 7614736361.