Oleh: NURUL AUNI NADHIRAH BINTI MOHD RASHIDI
Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) sudah menjadi sebahagian daripada norma baharu masyarakat Malaysia akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Bagaimanapun, sistem ini juga menjadi punca kelesuan para pelajar untuk meneruskan pembelajaran mereka di rumah.
Tanggal 30 September 2021, TickTalk TV dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah menganjurkan Program Soul Fitness For Teens Edisi Khas dengan membawakan tajuk “Refleksi Surah Al-Kahfi: Membina Semangat dan Motivasi Belajar”. Ia sebagai usaha untuk membantu para pelajar bagi meningkatkan motivasi agar mereka lebih yakin dan bersemangat untuk menjalani PdPR.

Program kali ini berlangsung pada jam 8.45 malam hingga 10.30 malam di Facebook Ticktalk TV dengan hasil kerjasama Maktab Pengajian Islam Kedah (MPIK) dan Sekolah Menengah Agama Nilai (SMAN). Matlamat utama program tersebut adalah memberikan sokongan dan menyuntik semangat belajar khususnya pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Namun, para pelajar perlu berusaha dan tidak menjadikan PdPR sebagai isu kurangnya motivasi belajar.
Perunding Motivasi Aura Imtiyaz, Ustazah Hanisah Afandi sebagai penceramah jemputan memberi beberapa manual dengan berpandukan Surah Al-Kahf, yang boleh diaplikasikan oleh pelajar untuk meningkatkan motivasi dan semangat belajar. Beliau juga berkongsi mengenai tujuh rutin luar biasa insan cemerlang sebagai panduan pelajar mendapatkan kecemerlangan dalam hidup.
Pelajar dari Maktab Pengajian Islam Kedah, Nur Aleeya Maisarah Shahfizan bersyukur dapat sertai Soul Fitness For Teen. Ilmu yang dikongsikan menjadikan diri beliau lebih bersemangat untuk sertai kelas online ini. Beliau juga ingin mengetahui lebih lanjut isi kandungan surah lain dalam al-Quran.
“Harapan saya ingin sambung belajar di luar negara dan membanggakan mak ayah saya. Saya mahu berubah menjadi lebih baik dari sekarang,” ujarnya.
Peserta dari Sekolah Menengah Agama Nilai, Amrah Mutiah Amran berkata, program tersebut boleh memberi impak yang positif kepada anak muda, terutama kepada bakal hafiz dan hafizah yang menjaga Kalamullah.
“Antara impak positif yang saya terima adalah semangat untuk terus berjuang dalam bidang al-Quran. Tidak semua orang bertuah untuk menjaga Kalam Suci ini. Harapan saya selepas menyertai program ini dapat terus istiqamah dalam murajaah”.
Bagi menyokong usaha program ini, Pengetua Maktab Pengajian Islam Kedah, Dato Mursyid Diraja Dr Syeikh Muhamad Baderun, menyeru kepada para pelajar untuk terus yakin dan menjadikan program ini sebagai batu loncatan untuk meningkatkan prestasi dalam pembelajaran.
“Jika kita merancang program yang baik, ALLAH akan memberikan ganjaran pahala tanpa sedikitpun dikurangkan. Pesanan saya agar menjadikan Surah Al-Kahf sebagai rutin bacaan harian dalam hidup.”
Pengetua Sekolah Menengah Agama Nilai, Puan Rafidah Ab Rahman dalam ucapannya menasihati para pelajar untu melapangkan minda dan fikiran sebelum memulakan sesi pembelajaran.
“Rebut peluang yang ada dan jadikan pengisian program ini untuk membina semula motivasi belajar,” katanya.