MUHAMAD HALIM ZAINUDIN
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas melalui TickTalk TV berkerjasama dengan Persatuan Counselling & Career Services Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan program Soul Fitness For Youth secara online pada 8.30 malam, 5 Oktober 2021.
Aktiviti yang bersiaran langsung di Facebook Counselling & Career Services Centre IIUM sebagai platform utama, diadakan sempena program IIUM Grand Mental Health Month 2021 bagi memberi kesedaran kesihatan mental dengan sokongan psikologi.
Program selama sejam ini menampilkan hos yang juga qari, Muhamad Halim Zainudin dan dua panelis iaitu Perunding Motivasi Aura Imtiyaz, Dr Hanisah Affandi dan Kaunselor Berdaftar, Dr Rafidah Kastawi. Sesi tersebut dimulakan dengan bimbingan bacaan Surah Ad-Dhuha yang menjadi surah pilihan dalam Soul Fitness for Youth.
Hanisah yang bertadabbur Surah Ad-Dhuha berkata, surah tersebut sebagai panduan kita. Ia menjadi motivasi kepada Nabi Muhammad SAW yang lama menunggu wahyu ALLAH SWT.
“Walaupun keadaan apa pun kita, ALLAH tidak pernah tinggalkan kita. Ia menjadi penawar dan pengubat hati dalam situasi hari ini apabila tadabbur surah tersebut.”
Sementara itu Rafidah berkata Surah Ad-Dhuha diaplikasikan secara langsung dalam bidang kaunseling. Ekspresi sebagai pendekatan alternatif dalam bidang kaunseling untuk bantu luahan emosi dan perasaan klien.
“Kita bantu klien melalui seni, melukis, mewarna, menghasilkan kolaj dan menggunakan tanah liat. Kita perlu faham apabila berhadapan dengan sesuatu perkara ujian ALLAH yang kekadang tidak terfikir di fikiran, perasaan kita menjadi takut dan sedih.
![](https://krfwordpressstorage.blob.core.windows.net/quranhourorg/2021/10/Screenshot-2021-10-05-at-8.47.53-PM-1024x640.png)
“Di musim pandemik Covid-19, ada orang kesedihan kerana kehilangan orang kesayangan dan terkurung di rumah. Dengan adanya terapi seni dengan bantuan kaunselor, ia dapat membantu seseorang itumeluahkan emosi, dan celik akal.”
Pendekatan terapi daripada kedua-dua panelis dapat memberi sokongan mental dan spiritual, khususnya golongan mahasiswa yang mengalami tekanan sepanjang menjalani pembelajaran secara atas talian.
Pelbagai berita termasuk di media sosial melaporkan masalah kesihatan mental yang dihadapi oleh mahasiswa akibat kemurungan, masalah hubungan kekeluargaan, tekanan dan rasa cemas atau panik.
Di samping itu, masalah kesihatan mental ini juga disebabkan oleh beberapa faktor utama ketika menjalani pembelajaran atas talian. Ini termasuk persekitaran yang kurang kondusif, masalah capaian internet atau perkakasan komputer, tiada rakan-rakan untuk membimbing dan gangguan daripada media sosial.
Oleh itu, program Soul Fitness For Youth bulan kesedaran kesihatan mental, program IIUM Grand Mental Health Month Programme 2021, yang dikendalikan oleh Persatuan Counseling & Career Services Centre, IIUM memberikan sokongan psikologi kepada golongan mahasiswa.
Untuk maklumat lanjut mengenai program Soul Fitness, sila layari Facebook dan YouTube TickTalkTV. Sekiranya ada pihak yang berminat untuk menganjurkan program bersama, boleh hubungi Muhammad di http://wa.me/601111828208 dan Syafira di http://wa.me/60194241780