ALHAMDULILLAH dan tahniah kepada semua tetamu ALLAH yang dijemput untuk menunaikan haji pada tahun ini. Peluang melakukan ibadah lebih 30 hari memerlukan komitmen diri dari segi persediaan untuk melakukan yang terbaik di Tanah Suci. Harapan menggunung untuk pulang dengan haji mabrur. Ibadah haji bermatlamat ketaatan kepada ALLAH.
Pengurus Cawangan Ipoh MKM Ticketing Travel & Tours, Ustaz Zainuri Abd Aziz berkongsi pandangan mengenai peranan haji dalam membina umat. Menurut beliau, satu ciri istimewa yang dimiliki Surah Al-Haj adalah ia merupakan satu-satunya surah yang dinamakan dengan salah satu daripada Rukun Islam.

“Ibadah haji merupakan topik asasi bagi surah Al-Hajj. Di sini, kita dapat lihat betapa tingginya nilai ibadah haji dalam kehidupan seorang Muslim. Pada permulaan Surah Al-Hajj, ia menceritakan hari kiamat, hari kebangkitan dan tempat kembali. Seterusnya ia menyentuh topik berjihad di jalan ALLAH, pengabdian dan ketundukan yang sebenar kepada ALLAH SWT.
“Sesungguhnya seorang Muslim perlu memahami maksud dalam Surah Al-Hajj dengan melaksanakan ibadah haji, mahupun bersama para jemaaah haji. Haji merupakan ibadah yang berperanan sebagai asas pembinaan ummah.
“Antara mesej yang mempunyai peranan yang asasi di dalam pembinaan ummah adalah tunaikan haji yang sahih sebagaimana cara Rasulullah SAW, membina diri. keluarga, masyarakat dan seluruh ummah dengan memaknai asasi dan bertindak secara praktikal di sebalik ibadah haji tersebut,” katanya.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya goncangan hari kiamat itu sangat besar.” (Surah Al-Hajj: 1)
Sesungguhnya ibadah haji secara keseluruhannya mengingatkan tentang hari kiamat, dari Arafah ke Muzdalifah untuk melontar jamrah dalam keadaan yang amat panas, bersesak-sesak, dan penantian yang lama. Setiap manusia berharap kepada ALLAH dengan doa, dan mengucapkan ” labbaika Allahumma labbaik “, memakai pakaian haji yang mengingatkan kita tentang kain kafan yang dipakai oleh mayat. Setiap perkara tersebut mengingatkan kita tentang hari kiamat. Kepanasan, kesesakan , dan tenggelam di dalam kepanasan matahari hari kiamat.
Ayat seterusnya menyifatkan keadaan hari kiamat seakan-akan berlaku di depan mata kita. ALLAH SWT berfirman: “Ingatlah pada hari ketika kamu melihatnya (goncangan itu) semua perempuan yang menyusui anaknya akan lupa terhadap anak yang disusuinya, dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya, dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab ALLAH itu sangat pedih.” (Surah Al-Hajj: 2)
Kemudian berpindah pula kepada ayat yang berkaitan dengan kebangkitan. Ketika manusia dikeluarkan dari kubur-kubur mereka dalam keadaan muka dan jasad mereka dipenuhi debu dan tanah mengingatkan kita asal kejadian manusia daripada tanah.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! Jika kamu ragu-ragu dengan hari kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, kemudian daripada segumpal darah, kemudian daripada segumpal daging yang sempurna kejadiannya …” (Surah Al-Hajj: 5)
Ketika menunggu untuk membuka pakaian ihram, kamu akan melihat seakan-akan kamu telah menjadi sebahagian daripada tanah. Di Muzdalifah, kamu melihat ramai manusia kepenatan. Apabila terbit fajar, manusia bangun seperti dibangunkan dari kubur. Masing-masing memakai pakaian putih dan bergerak untuk melontar jamrah.
ALLAH SWT berfirman: “Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti datang, tiada keraguan padanya dan sesungguhnya ALLAH akan membangkitkan sesiapa sahaja yang ada dalam kubur.” (Surah Al-Hajj: 7)
Di Muzdalifah kamu akan melihat ramai manusia seperti mayat yang kepenatan malah ada diantara mereka yang kelihatan seperti sudah menjadi mayat. Apabila tiba waktu fajar, manusia bangun seperti dibangkitkan dari kubur. Setiap mereka memakai pakaian serba putih dan bergerak untuk melontar jamrah. Inilah kesan tarbiah haji mengenai hari kiamat dan persediaan untuk menghadapinya.
Kesan haji kepada taqwa
ALLAH SWT berfirman: “Demikianlah perintah ALLAH. Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar ALLAH, maka sesungguhnya hal itu timbul daripada ketakwaan hati.” (Surah Al-Hajj: 32).
Apakah rahsia Allah mensyariatkan ibadah yang amat agung ini? Sesungguhnya sepanjang ibadah haji ada perkara yang tertentu yang perlu ditunaikan. Sekiranya tidak ditunaikan dengan sempurna, ia akan merosakkan haji tersebut. Seorang Muslim yang sedang menunaikan haji akan bertawaf mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali, berlari-lari anak diantara dua bukit sebanyak tujuh kali, kemudian ketika melontar jamrah.
Ibadah haji dilakukan atas ketaatan dan tunduk kepada ALLAH SWT. Ia merupakan puncak pengabdian dan ketaatan kepada ALLAH, seterusnya menjadi latihan jihad ke jalan ALLAH.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH membela orang yang beriman. Dan ALLAH tidak menyukai setiap orang yang khianat dan mengkufuri nikmat.” (Surah Al-Hajj: 38)
Haji merupakan suatu latihan asasi kepada jihad fi sabilillah. Ia diibaratkan daripada gerakan yang sukar dan perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Haji merupakan suatu ibadah yang paling tinggi di mana seorang Muslim meninggalkan kebanyakan rutin hariannya bagi membina diri dan menjadikannya seorang yang bersungguh-sungguh dan tahan lasak.

Pada hari Arafah, kita akan merasakan bahawa bukan kita sahaja yang sujud kepada ALLAH, tetapi seluruh alam ini turut bersujud dan tunduk kepada-Nya.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Rukuklah, sujudlah dan sembahlah Tuhanmu, dan berbuatlah kebaikan agar kamu beruntung.” (Surah Al-Hajj: 77).
Sementara itu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menggerakkan kempen Arafah #QuranHour pada 9 Zulhijjah 1443H. Bertemakan “Haji membina ummah”, program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal kali ini mengangkat Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj untuk mengajak seluruh manusia bersujud kepada ALLAH SWT.
Arafah #QuranHour mengambil momentum perhimpunan terbesar umat Islam menyelusuri Surah Al-Baqarah, Surah Al-Hajj dan ayat-ayat pilihan dari Al-Quran sebagai asas pembinaan sebuah karakter. Bertitik tolak dari sini,lahirnya nilai-nilai pembinaan sebuah tamadun bangsa “God centered” kesan dari Haji yang Mabrur yang diformulasikan daripada al-Quran.
Orang ramai dijemput sertai sertai Arafah #QuranHour dengan mendaftar di https://bit.ly/ArafahQH.
Comments on Verse