Berminat mengenal Islam, akhirnya jatuh cinta untuk menjadikan agama tersebut sebagai pegangannya. Orang yang dimaksudkan ialah Rayyan Wong atau nama sebenarnya Wong Yong Heng, 19, dari Johor.
Beliau yang kini menuntut dalam bidang Perakaunan dan Pengurusan Kewangan di peringkat ijazah saujana muda, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berkongsi pengalamannya dalam sesi kunjungan Politeknik Muadzam Shah, Pahang ke kompleks Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada Mei 2022.

“Ketika belajar di Tingkatan 4, saya masuk ke kelas subjek Islam untuk mendengar penyampaian ustaz atau ustazah selepas selesai kelas Pendidikan Moral. Dari situlah saya tertarik dan ingin tahu lebih lanjut tentang Islam.
“Alhamdulillah. Saya mendapat hidayah dan kembali ke pangkal jalan pada 26 Julai 2021. Saya tidak mahu sebut bertukar tetapi kembali kepada agama fitrah, iaitu Islam.
“Titik perubahan hidup saya selepas melihat berita mengenai Ustaz Ebit Liew yang berjaya mengislamkan satu kampung di Semporna, Sabah. Beliau merupakan ustaz bukan berbangsa Melayu tetapi mampu melakukan dakwah tersebut.

“Sebelum ini saya bersikap rasis. Namun, kini saya mengetepikan semua perkara sensitif seperti bangsa dan agama. Saya teringat kata-kata kawan saya, menyelesaikan sesuatu masalah dengan kekerasan, menjatuhkan maruah atau memalukan tiada dalam kamus menuju kejayaan.
“Bagi saya, sabar sangat penting. Jika seseorang itu selalu dimaki dan dicaci setiap hari, ia membuatkan pemikiran negatif dan tiada motivasi diri. Kita perlu bersabar apabila ditimpa masalah.
“Saya pernah menjadi mangsa keganasan domestik apabila ahli keluarga mengetahui saya bersolat di bilik. Saya dianggap pengkhianat kepada tradisi dan agama keluarga. Akibat trauma, saya terpaksa mendapatkan bantuan empat kali daripada pihak kaunseling di universiti,” ujarnya yang turut berkongsi pengalaman di program Majlis Ayah anjuran WUIF dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor pada Ramadan lalu.
Selama 18 tahun hidup, kata Rayyan yang menjadi sukarelawan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, itulah pengalaman gelap yang pernah dilaluinya. Menjadi stigma masyarakat bukan Islam apabila orang yang memeluk Islam dikatakan masuk Melayu. Hakikatnya, seseorang itu jika dilahirkan dalam bangsanya, seperti India, Cina dan Melayu, ia akan kekal selamanya.
“Walaupun pada awalnya, keluarga tidak setuju dengan keputusan saya, kini mereka semakin reda. Apa yang penting bagi mereka adalah saya dapat menjaga keselamatan diri. Sebagai manusia, kita perlu sabar dan bertolak ansur atas segala cabaran.
“Sabar mudah disebut, tetapi sukar dilakukan. Ia memerlukan persediaan dari segi psikologi dan fizikal. Sekarang saya lebih tenang dengan kehidupan sekarang. Kita sebagai manusia tidak sempurna dalam membuat silap dan salah, tetapi ia jangan dijadikan alasan sehingga menyusahkan orang lain.
“Saya selalu ke merata masjid, solat jumaat dan mengikuti kuliah Maghrib, selain mengikuti kelas agama. Ia bergantung kepada jadual kelas di universiti. Bagi saya, asalkan ia tidak menjejaskan prestasi pelajaran saya.”

Beliau sebagai mualaf berkongsi pandangan bahawa masyarakat perlu ubah persepsi bahawa orang yang bukan Melayu yang masuk Islam bukanlah automatik jadi Melayu. Islam adalah agama untuk semua manusia di seluruh dunia.
“Mualaf adalah golongan terpencil dalam masyarakat berbilang kaum. Tidak dinafikan berlaku penindasan dan pandang rendah kepada mereka. Saya ingin menyarankan institusi agama dapat membantu mualaf dari segi sokongan moral dan fizikal. Ini kerana ada kalangan mereka didera secara fizikal dan mental oleh keluarga.
“Kerajaan perlu menjadi tonggak dalam mendidik masyarakat untuk menghormati agama Islam untuk semua dan menjaga hak kebebasan beragama,” katanya dengan penuh bersemangat.
Kisah Rayyan Wong boleh memberi suntikan semangat kepada umat Islam untuk membantu dan menyantuni golongan mualaf. Semoga perjuangan anak muda ini terus dirahmati dan diredai ALLAH, serta berjaya di dunia dan akhirat.