“ALLAH tidak memanggil orang yang mampu, tetapi ALLAH memampukan orang yang dipanggil dari segi kesihatan, harta, wang dan kemudahan perjalanan. Semoga jemaah kita termasuk dalam kalangan orang yang dimampukan ALLAH.”
Demikian kata Pengarah Urusan Eiman Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusoh dalam perkongsiannya di program Road To Arafah #QuranHour yang bersiaran di platform Facebook World Quran Hour dan Sinar Islam Plus pada 21 Jun lalu.
ALLAH SWT berfirman; “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya goncangan hari kiamat itu sangat besar.” (Surah Al-Hajj: 1)
Menurut Ustaz Zawawi, seruan ALLAH SWT kepada “Wahai Manusia” kerana ayat tersebut diturunkan di Makkah. Orang Makkah ada yang beragama Islam menyembah ALLAH dan ada yang bukan Islam, menyembah berhala.
“Kriteria orang Makkah di sepanjang zaman iaitu orang yang mendengar dan tidak mendengar. Orang bukan Islam tidak mendapat al-Quran untuk dibaca. Oleh itu, orang Muslim perlu menjadi dai untuk memanjangkan bacaan al-Quran melalui program untuk mengajak orang ramai mendekati al-Quran.

“Manusia dikaitkan dengan takwa, maka hendaklah kita bertakwa kepada ALLAH SWT. Takwa merujuk kepada takut kepada ALLAH yang memberi peringatan mengenai hari pengakhiran. Rasulullah SAW banyak kali bersabda, “Siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat”.
“Orang yang mengingati ALLAH akan sedar dirinya berasal daripada tiada dan bertakwa kepada-Nya. Manakala orang kafir belum kenal ALLAH. Wahyu al-Quran turun kali 13, barulah ALLAH memperkenalkan Diri : “Katakanlah (Muhammad), Dialah ALLAH yang Maha Esa.” (Surah Al-Ikhlas: 1)
“Orang kafir di Makkah lama-kelamaan bertanya, siapa tuhan kamu, ada anak dan bapa? Terdahulu ALLAH memperkenalkan sebagai Rabbun. Menurut ulama, Rabbun kepada manusia dahulu, kini dan selamanya ada tiga makna. Pertama, Dialah Pencipta kamu; kedua, Dialah Pemilik kamu; dan ketiga Dialah Pengurus kamu.”
INGATI HARI AKHIRAT
Tambah beliau, takutlah kepada Tuhan yang menciptakan asal usul, memiliki dan menguruskan kita. ALLAH menceritakan hari pengakhiran iaitu kematian dan kiamat sebenar.
Dalam Surah Al-Hajj ayat 1, ALLAH menyebut manusia dikaitkan dengan suasana goncangan pada hari kiamat. Sebelum kita pergi haji, jiwa kita bergegar sebelum, semasa dan selepas melaksanakan ibadah haji. Di Arafah, kita tidak kenal sesiapa, duduk sama rata, makan. minum dan tidur tidak menentu.
“ALLAH SWT menyuruh kita untuk mengingati hari akhirat ketika menunaikan haji. Jika kita melakukan sesuatu dengan mengingat pengakhirannya, kita jadi lebih baik. Beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, kita akan ingat asal usul yang bermula dari tiada. Masa, harta dan keluarga dan semua adalah milik ALLAH.
“Kita perlu berhati-hati kerana akan dihisab pada hari akhirat. Contoh, kita baca doa makan, “Ya ALLAH berkati dan jauhi daripada azab api neraka”. Dengan mengingati hari akhirat, kita akan berhati-hati dalam setiap perbuatan kita kerana akan dihisab.”
Ustaz Mohd Zawawi berkata, kesempurnaan haji bergantung kepada syahadah, solat, puasa, dan zakat dengan berasaskan takwa. Syahadah menundukkan hati yang diiktiraf ALLAH sebagai takwa. Solat dengan menundukkan badan dan rukuk yang betul, seterusnya tundukkan hawa nafsu dengan berpuasa dan mengeluarkan zakat.
“Jika syahadah, solat, puasa dan zakat tidak sempurna, bagaimana kita hendak mendapat haji mabrur. Haji mabrur bermula akidah berdasarkan empat perkara tersebut. Islam dibina atas lima asas. Binaan bermula dari bawah iaitu syahadah sebagai asas, diikuti dengan tiang (solat), tingkap dan pintu (zakat) dan bumbung (haji)
“Labbaik Allahumma labbaik. Labbaik laa syarika laka…” Inilah seruan kita kepada keagungan dan kebesaran ALLAH dengan tidak mensyirikkannya.
“Bagaimana jika tiba-tiba pergi haji jika tiada sempurna empat perkara asas? Proses untuk mendapat haji mabrur adalah mudah bagi mereka yang kaki masjid, puasa, dan zakat atau derma. Ada juga orang yang solat tidak sempurna, tetapi mendapat hidayah di Tanah Suci.
“Hidayah ada banyak peringkat. Ia umpama percikan api yang menyambar dan menyala. Ada orang yang berubah dengan sekali sentuhan. Mungkin ada orang tidak mahu ke Makkah kerana berasa diri banyak dosa. Sebenarnya pergi Makkah bukan tempat ALLAH beri azab, tetapi tempat ALLAH tunjukkan kasih sayang-Nya.”
Menurut beliau, kita perlu membaca dan memahami Surah Al-Hajj. Surah tersebut bercerita tentang iman. Pada zaman Rasulullah SAW, sahabat yang membaca rasa bergegar jiwa mereka. Kita perlu memelihara kedamaian dan berperang untuk mempertahankan agama.

“Tahun ini, jemaah kami bertadabbur setiap ayah Surah Al-Hajj di sepanjang 38 hari. Paling penting adalah 10 hari terakhir Zulhijah seperti 10 akhir Ramadan. Jika Ramadan istimewanya pada malam Lailatulqadar, manakala 9 Zulhijah pada Hari Wukuf di Arafah. Ketika itu mohonlah keampunan dan apa sahaja tidak kira di mana kita berada.
“Pada hari Arafah, ALLAH panggil kita semua untuk mohon keampunan. Ketika itu pintu langit terbuka dan malaikat turun. Sebaiknya kumpul bersama keluarga dan baca al-Quran serta tafsir selepas solat Zohor untuk membina kerangka fikir. Lebih istimewa jika kita berada di Makkah, di mana bumi turunnya al-Quran dan tempat para nabi berjalan
“Saya mengambil pendekatan kepada jemaah haji untuk membaca berulang-kali al-Quran sebagai manual kehidupan. Mabrur dalam bahasa Arab bermaksud baik, buat baik berterusan.
“Kita duduk di Makkah selama 30 hari dengan niat untuk buat baik. Melaksanakan Rukun Islam kelima iaitu haji merupakan satu anugerah. Konsep Arafah memperkenalkan kita kepada ALLAH, keturunan dan siapa musuh kita. Seumpama sebuah lakonan bertajuk Haji Mabrur, pelakon watak bapa (Nabi Ibrahim AS), ibu (Siti Hajar) dan anak (Ismail), dan lokasi di Arafah.
“Sebenarnya kejayaan umrah dan haji bukan di Makkah tetapi terus diaplikasikan sekembali ke tanah air. Alumni haji boleh menambahkan bilangan jemaah di masjid. Hendak menjadi baik, kita tidak boleh berseorangan,” katanya.
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak seluruh umat Islam untuk menyertai Arafah #QuranHour bertema “Haji membina umat” pada 9 Zulhijjah 1443H bersamaan 8 Julai 2022.
Orang ramai dijemput sertai sertai Arafah #QuranHour dengan mendaftar di https://bit.ly/ArafahQH. Mereka boleh mengadakan aktiviti baca dan tadabbur al-Quran selepas Subuh di lokasi masing-masing. Untuk pengisian program, boleh dapatkan di https://bit.ly/Arafah2022.
Comments on Verse