Oleh: FIKRATUL JAHRIYYAH ANUAR
Tekanan wujud dalam diri apabila lemahnya jiwa seseorang. Jiwa yang lemah berpunca daripada rohani, jasmani, akal dan emosi yang lemah. Antara keempat-empat aspek tersebut, rohani merupakan aspek yang paling utama.
Rohani merupakan sesuatu yang datang daripada hati. Hati yang lemah menandakan rapuhnya hubungan seseorang itu dengan ALLAH SWT. Ia menimbulkan perasaan sempit dalam dada, seolah-olah tiada jalan keluar daripada masalah yang dihadapi.
Memperakui kewujudan masalah ini, TickTalk TV di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah mengambil inisiatif dengan menggerakkan sebuah program yang dinamakan Terapi Al-Quran.
Program ini merupakan inisiatif di bawah Soul Fitness for Women yang mengetengahkan beberapa segmen seperti Tarbiah Tajwid, Tasbih dan Istighfar serta Kisah Tokoh Wanita Islam yang telah dijanjikan Syurga oleh ALLAH SWT.
Pengisian program ini bertujuan membantu para wanita yang menghadapi tekanan, keresahan dan kekeliruan yang wujud dalam kehidupan serta memotivasikan diri mereka supaya terus bangkit mengharungi ujian hidup.
Terapi Al-Quran disiarkan secara langsung di platform YouTube dan Facebook TickTalk TV pada setiap Ahad, Selasa dan Khamis selama satu jam bermula pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari. Program sebanyak 36 episod mula disiarkan pada 25 Julai 2021 sehingga14 Oktober 2021.
Ketua Pegawai Latihan Brainjeem, Ustazah Nurliyana Baudin berpendapat, tajwid mampu menjadi terapi kepada jiwa wanita. Justeru, ilmu asas tajwid telah disampaikan sepanjang program tersebut sebagai usaha untuk mewujudkan fokus dalam minda wanita supaya lebih dekat dengan al-Quran. Ini secara langsung, ia dapat mengukuhkan lagi hubungan dengan ALLAH SWT.
“Saya pernah mengalami tekanan yang agak teruk dalam kehidupan. Kemudian, saya dorongkan diri untuk keluar daripada masalah yang dihadapi dengan mempelajari ilmu tajwid.
“Berdasarkan pengalaman sendiri, apabila kita mempelajari ilmu tajwid, ia mampu untuk mengubati tekanan dan masalah yang wujud dalam hati dan jiwa kita,” katanya.
Sementara itu, segmen Istighfar dan Tasbih pula disajikan untuk memberi peringatan mengenai perkara-perkara kecil yang diabaikan oleh sesetengah individu dalam kehidupan sedangkan perkara itu memberi impak yang besar kepada kesihatan emosi wanita. Segmen ini mampu menjentik hati para penonton termasuklah kru di sebalik tabir yang menjadi penggerak program ini.
Kisah Tokoh Wanita Islam yang telah dijanjikan syurga oleh ALLAH SWT pula dikongsikan sebagai penguat semangat kepada golongan wanita untuk kembali bangkit meneruskan kehidupan.
Tokoh-tokoh wanita yang diceritakan oleh Ustazah Nurliyana mempunyai latar kehidupan yang sukar dan ditimpa ujian yang amat berat, namun mereka teguh memperjuangkan agama Islam. Kisah mereka menjadi inspirasi wanita di luar sana untuk terus cekal dan tabah dalam menghadapi segala ujian dan dugaan yang diberikan oleh ALLAH SWT.
Barisan tokoh wanita Islam ini menjadi inspirasi kepada kita bahawa tiada manusia yang sempurna sifatnya, namun dengan pengetahuan yang kuat terhadap al-Quran dan As-Sunnah, mereka menjadi lebih ‘sempurna’ di sisi ALLAH SWT. Al-Quran menyempurnakan iman, taqwa dan akhlak mereka, tambahnya.
Penonton setia Terapi Al-Quran, Puan Azizah Mat Dom memberikan maklum balas yang sangat positif hasil perkongsian daripada Ustazah Nurliyana Baudin.
“Alhamdulillah, syukur ya ALLAH. ALLAH izinkan kita untuk menghargai dan mencontohi wanita-wanita hebat yang dijanjikan syurga ini. Terima kasih Ustazah kerana sudi berkongsi dengan kami.”
Sementara itu, ahli kumpulan Telegram Soul Fitness for Women, Puan Azlinda Ali,meluahkan rasa syukur kerana direzekikan oleh ALLAH SWT untuk peserta program Terapi Al-Quran.
“Dalam banyakperkongisan yang saya ikuti, saya direzekikan oleh ALLAH SWT untuk lebih memahami bacaan Asmaul Husna, Ya Rahman dan Ya Rahim dalam kelas ustazah.
“Selama ini saya hanya menyebut tanpa ada sebarang rasa yang menyentuh hati. Saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan pembawa ilmu seperti Ustazah Nurliyana,” ujarnya.
Terapi Al-Quran melabuhkan tirainya pada hari Khamis lalu, 14 Oktober 2021 dengan jumlah tontonan sebanyak 212 tontonan di laman rasmi Facebook TickTalk TV. Walaupun program ini telah berakhir, namun penggerak Soul Fitness for Women bakal menganjurkan program fizikal yang mengajak para wanita untuk duduk bersama dan menyelami perkongsian berkaitan wanita oleh Ustazah Nurliyana Baudin.
Untuk sebarang maklumat terkini, nota dan ulangkaji berkaitan program, sertai kumpulan telegram Soul Fitness for Women, https://t.me/SOULFITNESS4WOMEN (SOULFITNESS4WOMEN).
Comments on Verse