Kehidupan sesebuah keluarga mencabar apabila ketua keluarga diuji dengan penyakit sehingga hilang kemampuan untuk keluar mencari nafkah. Isteri segera bangkit untuk mengambil alih tugas pasangan untuk menyara kehidupan keluarga.
Inilah yang dialami oleh Nabilah Saleh, 35, dari Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Beliau yang bertugas sebagai pengamal media bertabah dan reda apabila suaminya, Muhd Ismail Muhammad, 36, bekas pengamal media, diuji dengan penyakit strok pada Januari 2021 dan penyakit sawan selepas lapan hari mendapat dos kedua vaksin pada Ogos lalu.
“Banyak duit dihabiskan untuk rawatan strok suami selama lapan bulan dan nampak perubahan kesihatan lebih baik. Namun serangan sawan yang berlaku kepada suami menyebabkan saya hampir terduduk.
“Baru-baru ini, pihak Hospital Kuala Lumpur telah melakukan pembedahan tempurung kepala suami yang banyak kali tertunda ketika dimasukkan ke wad. Kini beliau terlantar di atas katil dan kurang keyakinan untuk berjalan semula.
“Kos perubatan kini bertambah untuk membeli ubat sawan yang mencecah RM300 sebulan. Sejujurnya, jika tidak keterlaluan, saya berharapkan bantuan terapi fisio dan pekerjaan untuk suami.
“Keperluan terapi suami RM1,300 setiap dua kali minggu untuk rawatan strok terpaksa dihentikan kerana kekangan kewangan sejak Jun lalu.
“Suami saya juga memerlukan sokongan emosi untuk kembalikan semangat sebab terasa sebagai ketua keluarga tapi tidak mampu melakukannya,” katanya dengan nada menahan sebak.
Beliau merupakan pemanggil program Talian Jiwa yang bersiaran di Astro Oasis pada 26 Ogos 2021. Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Astro Oasis dan Sinar Harian ini bertujuan membantu golongan terkesan akibad pandemik Covid-10.
Setiap pemanggil yang terpilih menerima wang RM2,500, hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Gerakan Al-Quran, yang diuar-uarkan melalui program My #QuranTime di TV Al-Hijrah.
Nabila berkata, sumbangan wang yang diterima daripada pihak Talian Jiwa digunakan untuk kos rawatan terapi, lampin pakai buang, susu dan yuran sekolah anak.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh menghulurkan sumbangan kepada Nabilah Saleh melalui akaun MBB 151061157006.