Tidak rela rebah dek penangan pandemik Covid-19, pemilik Pusat Jagaan Al-Hafiz, Junaidah Mat Amin dan suaminya, Burhanuddin Adnan terus bertahan dengan pelbagai cara untuk teruskan tiga pusat jagaan di Seksyen 24, Shah Alam.
Sejak Mac 2021, ramai ibu bapa bekerja dari rumah dan tidak menghantar anak ke pusat jagaan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negara ini. Keadaan kewangan semakin goyah apabila pusat jagaan tidak dapat beroperasi dalam tempoh PKP tersebut.
“Saya dan suami menutup operasi pusat jagaan sepanjang PKP untuk mengekang pandemik Covid-19. Bagi menampung kelangsungan hidup warga kerja Pusat Jagaan Al Hafiz termasuk 15 guru, kami terpaksa menggunakan duit simpanan, menjual mi kari bersama pekerja, selain mendapat sumbangan daripada ibu bapa.
“Ketika itu, kami terpaksa memotong gaji mereka kerana tiada sumber kewangan masuk sepanjang tempoh operasi pusat jagaan ditutup.
“Tanggal 22 Julai, suami saya berkongsi situasi Pusat Jagaan Al-Hafiz yang mengalami kekangan kewangan untuk meneruskan operasi tersebut dalam program Talian Jiwa Episod 2 yang bersiaran di Astro Oasis.
“Syukur dengan sumbangan RM2,500 yang diterima daripada pihak penganjur Talian Jiwa, Yayasan Warisan Ummah Ikhas, kami dapat memberi sedikit sumbangan kepada warga kerja daripada 60 peratus kepada 80 peratus pada September ini.
“Mereka sangat gembira dapat kenaikan tersebut. Ini dapat mengurangkan beban keluarga. Kebanyakan warga kerja di sini terdiri daripada golongan B40. Pusat jagaan kini dibuka kembali beroperasi pada Oktober ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard.”
Junaidah bercadang di masa hadapan, satu daripada Pusat Jagaan Al-Hafiz dikhaskan untuk jagaan harian anak yatim, miskin. Ini menjadi hasrat beliau yang mahu membantu golongan tersebut sejak dahulu.

Oleh itu, beliau dan suami bersungguh-sungguh berusaha demi kelangsungkan hidup pusat jagaan yang sedia ada. Selain gaji pekerja, kos penambahbaikan bangunan juga diperlukan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan kanak-kanak yang dijaga.
“Dalam keadaan sekarang, kita perlu memberi semangat dan dorongan kepada guru yang bakal kembali bekerja. Semua guru di sini sudah terlatih dan berpengalaman. Untuk menjadi guru di pusat jagaan kanak-kanak perlu bersifat penyayang dan jujur.
“Pusat Penjagaan Al Hafiz dibuka sejak tahun 2000, bermula dengan 20 kanak-kanak. Sebelum PKP, seramai 120 kanak-kanak seawal usia 4 tahun dijaga di sini. Selain itu kami juga mengendalikan kelas mengaji sesi malam di pusat tersebut selain kelas sesi siang unruk anak-anak jagaan.
“Pada peringkat fasa awal pembukaan semula pusat penjagaan ini, kami mengehadkan kemasukan 30 daripada 120 kanak-kanak di tiga pusat jagaan kami. Pengurangan bilangan kanak-kanak untuk mematuhi SOP,” katanya.
Orang ramai boleh memberi sumbangan, boleh salurkan bantuan kepada Pusat Jagaan Alhafiz ke akaun Bank Rakyat 111231002986.
INFO
Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) di bawah Kumpulan Media Karangkraf telah mengambil inisiatif baru dengan mewujudkan program yang mengabungkan solusi daripada Al-Quran dan Hadis bagi menyalurkan bantuan tunai dan lain-lain melalui program Talian Jiwa sejak Julai lalu.
Penerima bantuan terdiri daripada golongan B40, M40 dan T20. Rancangan Talian Jiwa yang mendapat kerjasama Sinar Harian dan Astro Oasis diterbitkan di platform media sosial FB dan Youtube,Soul Fitness Clinic setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat setiap jam 6.15 petang hingga 7.00 malam.
Sumbangan tunai yang diberikan adalah melalui sumbangan orang ramai yang berterusan menderma di Tabung Gerakan Al Quran dibawah Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF).
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour