Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak orang ramai untuk menyertai program World #QuranConvention 3.0 bertajuk “Coping With Challenges: Solution From Surah al-Sajdah”, di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur pada 3 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata World #QuranConvention ini merupakan program besar yang terakhir tahun ini dalam membawa misi Surah Al-Sajdah. Ia memberi solusi dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan hari ini.
“Terdapat empat cabaran iaitu kewangan, kerjaya, keluarga dan sosial/spiritual yang perlu ditangani dengan Divine Intervention (campur tangan ALLAH) iaitu berpandukan dengan al-Quran dan Sunnah.
“Negara yang berhadapan dengan ramalan ribut ekonomi dan bencana alam pada tahun hadapan boleh mengundang pelbagai masalah kepada diri, keluarga, dan rakyat.”
Tambah beliau, konvensyen tersebut diharapkan membantu masyarakat untuk mengambil formula daripada ALLAH SWT iaitu al-Quran sebagai solusi dalam menghadapi pelbagai cabaran tersebut. Kita perlukan kekuatan dalaman dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
“Pada masa sama, negara berada dalam fasa pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU 15). World #QuranConvention diharapkan memberi kekuatan kepada kita untuk maju ke hadapan. Kita hendak membina negara dengan barisan pemimpin yang baru.
“Konvesyen tersebut menjadi platform pencerahan dan resolusi yang boleh diperincikan oleh para penceramah yang terkenal dengan kepakaran masing-masing dan dalam kajian al-Quran. Penceramah dan qari datang dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Palestin, Mesir dan Amerika Syarikat,” katanya.
Antara penceramah yang dijemput ialah Penasihat Global Shariah,Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Pengarah Urusan Kumpulan Dagang Nexchange Berhad, Tan Sri Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Pengasas Bayyinah, Insitute for Arabic & Qur’anic Studies, Ustadh Nouman Ali Khan; Agamawan dari Bangladesh, Shaykh Mizanur Rahman Azhari; dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.
Konvensyen sehari ini dikendalikan oleh TickTalk TV sebagai Pengurus Projek bersama WUIF dengan kerjasama MITI, Puspanita Cawangan MITI, Sinar Harian, TV AlHijrah dan Pusat Pelancongan Islam (ITC), dan Rumah Ngaji.
Marhaini berkata, Surah Al-Sajdah yang menjadi tema #QuranHour tahun ini menekankan formula sujud sebagai solusi kehidupan dalam menghadapi empat cabaran. Ia menjadi penutup program tahun ini, sebelum melancarkan Surah Al-Insan sebagai surah pilihan pada 2023.
Seramai 1,300 peserta disasarkan dengan bayaran RM50 seorang untuk menyertai program tersebut. Antara tetamu jemputan terdiri daripada wakil kedutaan, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan penaja.
World #QuranConvention antara program utama setiap tahun yang didanai melalui Tabung Gerakan Al-Quran di bawah WUIF dalam membawa misi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah. Wakaf tersebut meliputi wakaf tunai, profesionalisme, wakaf al-Quran dan aset.
WUIF turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin berkolaborasi dan menaja dalam penganjuran World #QuranConvention dengan pendekatan nilai-nilai al-Quran, sila hubungi di wassap.my/60194241780. Orang ramai yang berminat untuk menyertai konvensyen tersebut, sila daftar di https://bit.ly/WQC2022