Seramai 110 peserta Rumah Ngaji @ Damansara Damai memberi sokongan Malaysia #QuranHour yang diadakan secara serentak di seluruh negara pada pukul 12 hingga 1 tengah hari, 30 Ogos 2022.
Petugas Rumah Ngaji tersebut, Mariam Hassan berkata peserta dapat bersama selepas mengikuti kelas Talaqi Al-Quran yang ketuai oleh ustazah Aminah Yaakub, di Masjid Al-Muhtadin, Damansara Damai pada pukul 8 hingga 9.30 pagi setiap Jumaat.
“Golongan Muslimat turut menyertai kelas Tauhid, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, dan Fiqh Wanita pada Sabtu dan Ahad. Kuliah agama diadakan secara fizikal sejak tiga bulan lalu selepas Perintah Kawal Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19.
“Sejak penglibatan saya bersama Rumah Ngaji, kesedaran masyarakat terhadap al-Quran semakin meningkat. Rumah Ngaji menjadi platform kepada mereka yang memerlukan guru dan tempat mengaji.
“Pihak kami yang turut mengadakan kempen Rumah Ngaji, mendapati ada golongan yang berusia sudah tidak malu untuk datang belajar al-Quran. Tiada bayaran dikenakan kepada peserta yang mengikuti kelas ngaji, melainkan jika ada yang ingin menyumbang ke tabung seikhlas hati.
“Pada pandangan saya, Surah Al-Sajdah dapat menjadi panduan kepada kita khususnya kalangan pemimpin keluarga, organisasi dan negara. Mereka boleh mencontoh ciri kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
“Kuasa yang ada pada kita bukan untuk diri sendiri, tetapi memberi manfaat kepada orang lain. Kita tidak boleh menyombong diri ketika berada di atas. Pemimpin perlu menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dan bukan untuk kepentingan sendiri.
“Sekiranya kita melakukan sebagaiman diajar oleh al-Quran dan Hadis, ia dapat menyatukan ummah dan mudah mendapat kerjasama sesama kita,” katanya.
Orang ramai dijemput menyertai Malaysia #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya atau menganjurkan di lokasi masing-masing.
Untuk sertai Malaysia #QuranHour 1444H, sila daftar di https://bit.ly/RegMQH144H dan dapatkan bahan program tersebut di https://bit.ly/MQH2022.