Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi sokongan kepada program Taranum Challenge #RoadToMalaysiaQuranHour2022 dengan memberi sumbangan tajaan wang tunai RM1,400 untuk hadiah pemenang mingguan.
Program berbentuk pertandingan bacaan taranum Surah Al-Sajdah anjuran WUIF sempena Malaysia #QuranHour adalah terbuka kepada orang ramai untuk meniru bacaan Qari My #HadithTime, Ustaz Mohamad Husaini Mahmurdi platform Facebook Quran Hour dan Instagram TickTalk TV bermula 8 hingga 27 Ogos 2022.

Pengarah Sumber Manusia MITI, Hidayatul Shuhaida Kamarudin mewakili kementerian tersebut menyerahkan sumbangan tersebut kepada wakil Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di Putrajaya, 18 Ogos 2022.
“Cabaran membaca al-Quran dengan meniru gaya bacaan qari mampu menarik minat orang ramai. Inilah masa yang sangat berketepatan bagi rakyat untuk mendampingi al-Quran melalui baca, faham dan amal.
“Surah Al-Sajdah membawa mesej agar kita tunduk dan sujud kepada ALLAH SWT agar tidak menjadi hamba-Nya yang sombong. Apabila pemimpin dan rakyat mengikut panduan al-Quran, negara dapat terhindar daripada sebarang musibah.
“Kita seharusnya mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu apabila diuji dengan pandemik Covid-19, dan banjir. Ujian tersebut sebenarnya mengingatkan kita agar lebih berhati-hati dan tidak melakukan perkara yang tersasar daripada ajaran al-Quran dan Hadis,” katanya.

Pemenang pertama mingguan menerima wang RM300, senaskhah al-Quran dan buku islamik terbitan Karya Bestari. Manakala dua pemenang mingguan menerima hadiah naskhah al-Quran dan buku islamik terbitan Karya Bestari.
Untuk menonton bacaan Ustaz Mohamad Husaini, sila layari video Taranum Challenge yang dikongsi di platform Facebook Quran Hour atau boleh layari https://bit.ly/TCMQH2022.
Malaysia #QuranHour kali tahun ini diadakan sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang ke 65, di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook Quran Hour dan Instagram TickTalk TV.