“Penggerak Rumah Ngaji memberi sepenuh tenaga dan komitmen untuk membawa al-Quran walaupun dalam keadaan pelbagai kekangan. Kini Rumah Ngaji dan #QuranHour sudah terkenal di seluruh dunia. Apa yang paling penting bukan dikenali, tetapi impaknya kepada diri, keluarga, komuniti, organisasi, negara dan dunia.”
Demikian kata Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub dalam rakaman ucapannya kepada peserta Retreat Rumah Ngaji 1443H yang berkampung di Cherengin Hills Convention & Spa Resort, Janda Baik, Pahang selama tiga hari bermula 27 Mei 2022.

Antara wakil Rumah Ngaji Negeri yang hadir pada perjumpaan kali ini dari Johor, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Terengganu.
Menurut beliau, bermula daripada usaha kecil Rumah Ngaji, tradisi atau budaya membaca al-Quran sudah tumbuh dalam masyarakat dan meriah, terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19, ramai yang berkurung di rumah selama dua tahun.
“Kebanyakan mereka menghabiskan masa untuk mendekati al-Quran melalui baca, faham dan amal dengan mengikuti program My #QuranTime yang bersiaran di TV AlHijrah. Kini banyak kelas ngaji secara online dan pusat pengajian ada di merata tempat. Ini antara impak daripada sebahagian besar kerja kita secara berkelompok.

“Sebelum ini, usaha mengangkat al-Quran dan mempopularkan pengajiannya dibuat dalam kumpulan kecil secara terpisah. Apabila WUIF membawa gerakan MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah melalui aktiviti Rumah Ngaji, My #QuranTime, dan #QuranHour di seluruh negara, ia menjadi momentum atau gelombang besar al-Quran.
“Sebagaimana saya pernah jelaskan ketika pelancaran #QuranHOur, bahawa #QuranHour bukan sebuah acara, tetapi gelombang yang kita lakukan secara bergabung tenaga dengan semua penggerak untuk menyeru orang ramai untuk berinteraksi dengan al-Quran.”
Hussamuddin berkata, jika kita membaca, memahami dan menghayati al-Quran, ia menjadi operating sistem dalam kehidupan kita. Usaha WUIF bersama Rumah Ngaji secara bergabung dengan Rumah Ngaji mendatangkan impak.
“Kini beratus ribu orang duduk di hadapan TV, telefon pintar, mahupun komputer untk mendengar bacaan al-Quran dengan tartil, memahami tadabbur dan mengambil ibrah satu jam setiap hari secara konsisten.

“Dijangkakan Ogos ini, orang yang mengikuti My #QuranTime sejak Jun 2020 secara konsisten, InsyaALLAH akan khatam tadabbur. Apabila khatam, mereka kongsikan dengan keluarga dan orang lain, dengan harapan berlaku perubahan besar umat Islam ke arah lebih baik.
“Nilai moral umat Islam di seluruh dunia begitu reput sekali. Mereka bagaikan hilang pegangan hidup. Kita perlu kembalikan nilai al-Quran sebagai sistem operasi dalam hati. Mereka yang mempunyai nilai al-Quran akan menjadi orang yang amanah dan bertanggungjawab.
“Seterusnya ia menjadikan kita sebagai ketua keluarga, pengurus, ibu, pemimpin, anak, dan raja yang lebih baik. Al-Quran juga membantu dirinya di alam barzakh dan di padang mahsyar ketika dihisab nanti.
Beliau berharap gerakan islah dalam membawa al-Quran dan Sunnah dapat dipertingkatkan lagi agar dapat memperbaiki ekosistem negara. Untuk memulihkan diri, keluarga, masyarakat, organisasi, negeri dan negara, ia memerlukan campurtangan ALLAH SWT.
Dengan itu, kita perlu sambungkan tali hubungan dengan ALLAH SWT melalui al-Quran. Kita boleh melaksanakan tugas ke arah kebaikan dengan berpandukan al-Quran.
“Penggerak dan wakil Rumah Ngaji yang berkampung di Cherengin Hills Convention & Spa Resort selama tiga hari ini diharapkan dapat melahirkan idea lebih baik dan solusi berpandukan al-Quran untuk ummah.
“Umat hari ini sedang keliru. Harapan mereka kepada orang yang ada al-Quran di hati. Penggerak Rumah Ngaji dipilih oleh ALLAH bukan sahaja ada nilai al-Quran, tetapi sanggup menggerakkan dan melakukan perubahan untuk menyelamatkan ummah,” jelas beliau.
WUIF bersama Rumah Ngaji menganjurkan program #QuranHour seperti World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, Arafah #QuranHour, dan World #QuranConvention. Rumah Ngaji menyediakan kelas mengaji secara percuma kepada orang ramai.
Untuk maklumat lanjut mengenai Rumah Ngaji, sila layari https://quranhour.org/rumahngaji/
INFO
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mencetuskan konsep Rumah Ngaji sebagai organisasi tanpa keuntungan. WUIF mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran melalui perkongsian konsep dan sinergi dalam hasrat membawa masyarakat untuk baca, faham dan amalkan al-Quran sehingga lahir akhlak sebagai Muslim sejati.
Bantuan kewangan di dalam menjalankan projek ini adalah atas usaha pengusaha Rumah Ngaji.
WUIF tidak menyediakan sebarang peruntukan kewangan kerana pihak yayasan sendiri bergerak atas tajaan individu dan dana sumbangan orang ramai.
WUIF akan memberi sokongan dalam bentuk promosi Rumah Ngaji, perkongsian pengalaman, sinergi sesama pengusaha serta pelajar dan latihan jika diperlukan.
Usaha murni tersebut diharapkan dapat mengukuhkan lagi kesatuan hati dalam melahirkan masyarakat yang berakhlak sesuai tuntutan al-Quran dan Sunnah.