Cherengin Hills Convention & Spa Resort, Janda Baik, Pahang menjadi lokasi pilihan bagi Retreat Rumah Ngaji 1443H/2022 anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada 27 hingga 29 Mei 2022.
Bertempat di atas bukit yang menghijau, ia menawarkan pemandangan alam semula jadi yang indah seluas mata memandang. Dengan segala kemudahan disediakan termasuk tempat penginapan, bilik mesyuarat, kafe dan kolam renang, ia boleh dijadikan lokasi pilihan kepada orang ramai untuk bercuti, penganjur program dan perhimpunan keluarga.
Suasana yang jauh daripada hiruk-pikuk kesesakan bandar, memberi keselesaan kepada peserta program untuk menganjurkan akiviti di dalam dan luar bangunan di situ. Antara aktiviti dijalankan adalah Rahsia Cemerlang Hidup (RICH) ada pukul 4.30 pagi dan Tafakur Alam, selepas solat Subuh mengamit hati untuk tunduk dan patuh kepada ALLAH Maha Pencipta.

Di kawasan persekitaran Janda Baik, banyak resort dibuka kepada orang ramai untuk menikmati sumber alam termasuk sungai. Ini menjadikan lokasi tersebut popular untuk dikunjungi di hujung minggu.
Ketua Pegawai Eksekutif Cherengin Hills, Mohd Fauzi Abd Latif berkata, niat beliau membuka Cherengin Hills sebagai tempat menghimpunkan keluarga dan saudara mara dan kompleks pelancongan untuk menimba ilmu.
Anak jati Janda Baik ini merupakan bekas peguam. Beliau mengambil langkah berani untuk menerokai bidang perhotelan selepas membeli tanah lelong milik keluarga terdekat pada 2000.

“Untuk mengendalikan bisnes perhotelan yang bukan bidang saya, bukan mudah. Dalam tempoh lima tahun pertama, baharu saya mendapat kelulusan untuk membuat jalan di tanah rezab untuk naik ke atas bukit.
“Bermula 2007, saya mengambil pekerja untuk menjalankan perniagaan perhotelan. Sejak itu perniagaan semakin mendapat sambutan sehingga 2018. Sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 pada 2020, keadaan bisnes perhotelan merundum apabila ditutup kepada orang ramai.
“Kini Cherengin Hills kembali beroperasi seperti biasa dengan dibantu oleh 30 staf berbanding 80 orang sebelum ini. Hanya 30 peratus perniagaan kembali pulih. Di sini kita berkongsi rezeki dengan staf yang mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa dan keluarga.

“Oleh itu saya sangat mengalu-alukan kedatangan orang ramai atau mana-mana pihak untuk menggunakan fasiliti di sini agar perniagaan tersebut terus bertahan.”
Selain bisnes hotel, Mohd Fauzi membuka kafe di atas bukit. Namun kafe ditutup kerana tidak operator untuk mengendalikan perniagan tersebut. Beliau juga mengusahakan tanaman durian musang king, kolam ikan, membela rusa, kambing biri-biri, itik dan ayam.
Hasil tanaman dan ternakan tersebut menjadi bekalan untuk dihantar ke dapur hotel. Namun akibat kekurangan pekerja dek pandemik Covid-16, kini tanaman dan ternakan tidak dapat dihasilkan.
“Bagi saya yang menjadi tulang belakang dan keyakinan diri adalah ALLAH SWT. Saya hanya berserah kepada ALLAH Taala. Namun saya percaya dengan kerja, usaha yang kuat dan banyakkan berdoa, ALLAH akan bantu.
“Saya rasa lebih gembira jika dapat menjadikan hotel ini sebagai tempat pembelajaran al-Quran atas nama Pusat Persediaan Ke Alam Barzakh.

“Apapun saya percaya dengan semua ketentuan ALLAH dan bertawakal dengan-Nya. Ramai orang kata kita hebat, tetapi tidaklah sehebat manapun. Orang tidak tahu kesusahan yang kita lalui, tetapi kita ada ALLAH.
“Ibu saya selalu berdoa dan berpesan, selagi boleh tahan, bertahanlah. Saya bukan mencari rezeki untuk diri sendiri, tetapi bersama ramai pekerja untuk sara ibu bapa, dan keluarga,” katanya.
Cherengin Hills menjadi ikon Janda Baik untuk menikmati kedamaian dan ketenangan di atas bukit. Orang ramai yang ingin berkunjung ke Cherengin Hills Convention & Spa Resort, Janda Baik, boleh layari https://www.cherenginhills.com/