Pengerusi Persatuan Pendukung Wawasan Negara (PEWANA), Zaini Ibrahim menyambut usaha Rumah Ngaji dengan membuka 10 lokasi di seluruh Malaysia.
PEWANA adalah badan bukan kerajaan yang memfokuskan pendidikan, kebajikan dan ekonomi mensasarkan semua peringkat umur. Bagi beliau, Rumah Ngaji sebagai peluang kita untuk memberikan perkhidmatan mengaji secara percuma.

Antara Rumah Ngaji di bawah Pewana iaitu Rumah Ngaji @ Triojaya, Bandar Puteri Klang; Rumah Ngaji @ FST Learning Centre di Jalan Kebun, Klang; Rumah Ngaji @ Darul Amin, Bukit Kuda; Rumah Ngaji @ Kowada, Seksyen 15, Shah Alam; Rumah Ngaji @ Darul Islah, Meru; Rumah Ngaji @ Darul Izwa, Jalan Berangan, Padang Jawa; Rumah Ngaji @ Darul Qayyum, Bukit Hijau; Rumah Ngaji @ Darul Fuqaha, Taman Rashna, Klang; dan Rumah Ngaji @ Darul Aman Luhur, Jalan Kundang, Padang Jawa.

“Kami mengambil serius terhadap platform Rumah Ngaji untuk mengajak orang ramai mendekati al-Quran. Penggerak kami terdiri daripada mereka yang berkelulusan dan mendapat pengiktirafan dari jabatan agama Islam dan institusi pengajian tinggi.
“Pewana yang bersinergi dengan Universiti Malaya telah melahirkan 120 pelajar yang berusia antara 15 tahun hingga 74 tahun dan lulus bacaan al-Quran, Usuluddin dan Syariah. Mereka mengikut kelas tersebut setiap Sabtu dari jam 2 hingga 6 petang di pejabat PEWANA, Klang.

“Melihat perkembangan dunia hari ini, golongan anak remaja perlu dibekalkan dengan agama terutamanya al-Quran. Suka atau tidak, ini menjadi tanggungjawab kita untuk membawa visi dan misi ke arah pendidikan.”
“PEWANA bercadang untuk membuka tujuh lagi Rumah Ngaji sehingga hujung tahun ini. Saya berharap masyarakat mengambil peluang untuk mengaji bersama. Usaha tersebut merupakan amal jariah kalangan ahli dalam program bersifat keagamaan,” katanya.