“Penggerak Rumah Ngaji perlu berjiwa besar dalam menjalankan usaha untuk mengajak lebih ramai orang dalam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.”
Demikian kata Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub pada sesi penutupan program Retreat Perwakilan Rumah Ngaji Malaysia di Hotel TH Kelana Jaya, di sini, 9 Februari 2020.
“Orang yang berjiwa besar mampu menerima kritikan bersikap rendah diri. Kita perlu sentiasa positif, bersyukur, mempunyai sasaran yang tinggi, ikhtiar dan berdoa.
“Jika kita rasa sesuatu perkara itu betul, terus buat. Dalam masa sama, kita perlu memperbaikinya untuk menjadi lebih baik impaknya. Jangan mudah putus asa agar kita tidak tertekan.
“Kekuatan Islam adalah ummah membantu ummah. Setiap Rumah Ngaji di negeri mempunyai formula kejayaan yang berbeza. Tidak semestinya kita ikut seratus peratus apa yang orang lain buat, tetapi kita melakukan apa yang termampu.”
Beliau menambah, kekuatan ekosistem Islam terbukti pada zaman sahabah apabila golongan usahawan membantu melalui kewangan dalam menyebarluaskan usaha dakwah. Sebagai penggerak Rumah Ngaji, mereka perlu memahami produk yang dibawa iaitu al-Quran dan menunjukkan melalui akhlak al-Quran.
“Rumah Ngaji di setiap negeri perlu berdikari untuk menggerakkan kempen berinteraksi dengan al-Quran agar lebih kreatif dan tingkatkan prestasi ke tahap lebih baik. Pada masa sama, kalangan penggerak boleh berkongsi idea dan bekerjasama untuk membantu Rumah Ngaji lain.
“World #QuranHour berjaya memberi impak disebabkan kita mendapat kerjasama daripada pihak media pihak media dalam membawa kempen tersebut. Kita mensasarkan untuk revolusi kebangkitan umat Islam yang mempunyai kerangka fikir dan berakhlak mulia berpandukan al-Quran dan Hadis pada 1500H.”
Beliau menyarankan agar setiap Rumah Ngaji digalakkan untuk mendokumenkan dan merekodkan setiap program yang dijalankan seperti rakaman untuk disiarkan di media sosial agar lebih ramai memanfaat ilmu. Ini secara langsung dapat membudayakan tadabbur al-Quran dalam masyarakat Islam.

Seramai 50 wakil negeri dan penggerak menyertai Retreat Perwakilan Rumah Ngaji Malaysia 5.0 anjuran WUIF. Ia merupakan acara tahunan bagi berkongsi maklumat pencapaian sepanjang 2019 dan perancangan 2020 daripada Rumah Ngaji di 13 negeri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Retreat Perwakilan Rumah Ngaji diharapkan menjadi makmal kecil untuk memulakan model Rasulullah SAW dalam membina ukhuwah dalam komuniti:
- Taaruf – Saling mengenali karater, fizikal, spiritual dan mental antara satu sama lain sehingga membina kasih sayang kerana ALLAH SWT. Kita bertanya khabar dan saling berkunjung.
- Tafahum – Saling bermuhasabah diri dan saling menasihati atas kasih sayang.
- Takaful – Saling menanggung dalam meringankan beban dan melakukan kebaikan kepada rakan dengan ikhlas dan berfikiran bersih. Contoh, mengambil berat tentang keperluan dan kesusahan yang dialami oleh rakan.
- Taawun – Saling menolong, mengenali dan memahami dari segi perbezaan antara satu sama lain tanpa prejudis. Contoh bersikap husnuzhon.
Misi Ar-Rahman berpandukan Surah Ar-Rahman menjadi tema World #QuranHour yang diadakan pada 20 Ramadan 1441H bersamaan 13 Mei ini dan Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos ini. Ia mengajak kita untuk mensyukuri empat nikmat utama yang disebut dalam ayat 2 hingga 5 dalam surah ke 55 ini. Pengisian #QuranHour pada Retreat tersebut dibawakan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail untuk bertadabbur Surah Ar-Rahman.
Kempen #QuranHour kali ini turut mengajak kita untuk mencontohi amalan Rasulullah SAW ketika masuk ke Madinah sebagaimana disebut dalam hadis seperti berikut:
Daripada Abu Yusuf iaitu Abdullah Ibn Salam RA berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Hai sekalian manusia, sebarkan salam, berilah makanan, hubungkan silaturrahim, dan dirikanlah solat ketika orang-orang sedang tidur, niscaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat Al-Tirmizi).
Pengurus Perhubungan Strategik WUIF, Nurhayati Nordin yang berkongsi maklumat berkata Selain #QuranHour dan Rumah Ngaji, Sahabah alQuran merupakan agenda besar WUIF. Sahabat alQuran terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti pelajar, korporat, badan bukan kerajaan (NGO), dan pemimpin.
“Mereka mungkin tidak membuka Rumah Ngaji, tetapi mempunyai jiwa al-Quran dan membantu menyebarkan kempen #QuranHour. Sahabah al Quran menjadi ejen perubahan dalam membentuk diri, keluarga, komuniti, negara, dan dunia yang berbudi penyayang.
“Ini menjadi legasi dan tanggungjawab kita untuk membina ejen perubahan dalam masyarakat. Jika lebih ramai ejen tersebut, maka ia boleh disebarkan lebih cepat untuk membentuk kerangka fikir dan melahirkan akhlak mulia berpandukan al-Quran,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti WUIF, sila layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour/ dan www.rumahngaji.my