“Saya tidak mahu rumah sekadar tempat kediaman. Saya mahu hidupkan aktiviti al-Quran dengan membuka Rumah Ngaji di rumah sendiri di Desa Pinggiran Putra, Kajang.”
Demikian kata penggerak Rumah Ngaji @ Ibnu Ummi Maktum, Sumairi Zainol, 45, ketika berkunjung ke pejabat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Shah Alam bersama isterinya, Rahimah Muhammad Nor, 32. Beliau berkongsi inspirasi untuk membuka kelas mengaji bagi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

“Nama Ibnu Ummi Maktum diambil daripada nama seorang sahabat Rasulullah SAW yang buta. Kisah beliau disebut dalam Surah ‘Abasa di mana ALLAH mengangkat golongan OKU penglihatan berdiri sama tinggi dengan orang normal .
“Saya menyedari ramai orang buta menghadapi kesukaran untuk mengikuti kelas ngaji al-Quran. Dengan membuka Rumah Ngaji @ Ibnu Ummi Maktum, ia memberi peluang kepadaa golongan ini untuk mempelajari ilmu al-Quran.”
Bapa kepada seorang anak ini mendapat pendidikan awal di sekolah pendidikan khas, Pulau Pinang dan sekolah menengah kebangsaan di Alor Setar. Selepas tamat tingkatan 6, beliau melanjutkan pelajar di Maahad Tahfiz Al-Quran Derga, Alor Setar selama empat tahun dan mengajar di tempat yang sama selama tiga tahun.

Kini beliau menjadi merupakan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya; guru al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak; tenaga pengajar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya; dan Surau Al-Kahfi di Batu Caves.
“Saya bersyukur kerana pergerakan saya banyak dibantu isteri untuk ke tempat mengajar. Sebenarnya ramai orang OKU penglihatan terutamanya golongan kanak-kanak yang kurang mendapat akses belajar ngaji al-Quran Braille.
“Mereka perlu diberi pendedahan awal mengenai al-Quran bermula dengan mengenal huruf hijaiyah dan tanda baris. Selepas itu, barulah diajar Iqra’ Braille diikuti dengan al-Quran Braille.
“Kini saya mengajar lima pelajar OKU yang berusia antara 8 hingga 16 tahun di rumah saya. Saya mendapati mereka berminat untuk belajar al-Quran Braille dan ada yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.
“Alhamdulillah, saya menerima dana daripada kalangan rakan dan orang ramai untuk membiayai pelajar saya. Saya pun tidak kisah berapa kali mereka datang asalkan ada keinginan untuk belajar.”
Sumairi melibatkan diri secara serius dengan al-Quran bermula dari proses pembelajaran. Beliau mengakui bukan mudah untuk belajar al-Quran Braille. Pelbagai inisiatif yang diambil untuk mendekati al-Quran.

“Saya belajar menambahbaikkan bacaan al-Quran serta tajwid di madrasah sebelum ini selain berguru dengan kawan secara tidak formal. Kini saya berpuas hati kerana dapat mengajar orang yang senasib dengan saya.
“Jika mereka tidak pandai dalam bidang akademik, sekurang-kurangnya ilmu al-Quran tersebut boleh dibawa dalam kehidupan mereka dan diajarkan kepada orang lain. Al-Quran untuk semua. Orang yang buta boleh mengajar orang celik dari segi sebutan dan fasahah.”

“Sebenarnya ramai kalangan orang OKU menghadapi cabaran dari segi jarak untuk datang ke tempat kelas ngaji. Saya membantu mereka untuk mengajar secara online melalui WhatsApp dan panggilan tanpa had dengan menggunakan kaedah mendengar serta menggunakan Iqra’ Braille.”

Sumairi yang turut mengajar al-Quran Braille secara online mempunyai pelajar di merata tempat termasuk Kedah, Pahang dan Terengganu. Kebanyakan mereka sudah ada asas Braille. Beliau berharap inisiatif tersebut dapat menarik minat lebih ramai OKU untuk membaca al-Quran.
Sesiapa yang berminat untuk belajar al-Quran Braille, boleh menghubung Ustaz Sumairi di 013-4305507.