Rahsia Insan Cemerlang Hidup (Rich) kini kembali mengisi kalendar tahun baharu 1441H dengan menampilkan tajuk “Kenapa rezeki tak murah” di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi, 21 September 2019.
Pengisian program tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail. Rich dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Rumah Ngaji dengan kerjasama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd turut disiarkan secara langsung melalui FB Live @ World #QuranHour untuk tontonan umum.
Antara pengisian program tersebut adalah bacaan al-Quran dan bertadabbur ayat al-Quran pilihan. Sesi tersebut direhatkan pada jam 5 pagi untuk memberi laluan kepada peserta mendirikan solat sunat Tahajud dan solat Subuh. Aktiviti diteruskan pada jam 6.30 pagi dengan perkongsian daripada tokoh.
Rich 1.0 turut berkongsi rakaman video Pengasas WUIF merangkap Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub yang bercerita pengalaman hidup beliau dalam meraih rezeki. Sesi tersebut diakhiri dengan resolusi atau tindakan daripada sesi tadabbur ayat al-Quran pilihan yang boleh diambil oleh peserta.
Fazrul berkata, Rich bertujuan melatih diri kita bangun awal dan beribadah kepada ALLAH SWT. Erti kata yang lain, “me time” iaitu masa untuk diri sendiri bersama ALLAH SWT. Ini adalah proses pengupayaan dan pemerkasaan diri semakin dekat dengan ALLAH.
“Dalam Surah Al-Muzammil dan Surah Al-Muddathir menunjukkan ALLAH SWT mempersiapkan Nabi Muhammad SAW yang diangkat menjadi rasul untuk bangun malam. Terdapat banyak rahsia solat malam, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Isra’, ayat 76 hingga 86.
“Bertadabbur ayat 76, ALLAH memujuk Rasulullah SAW yang gelisah dalam menghadapi cabaran dalam berdakwah, sehingga keluar dari Makkah. Ini sebagaimana berlaku para rasul terdahulu dalam mengajak umat kepada kebaikan.”
Beliau menambah, orang Yahudi bimbang jika ramai orang Islam mendirikan solat pada waktu subuh. Ini kerana kekuatan orang Islam yang bangun pagi. Namun, bangun awal itu bukan menunjukkan kita hebat, tetapi doa kita kepada ALLAH SWT dengan bersungguh-sungguh.
“Kita berharap program Rich dapat memberi kefahaman mengenai konsep rezeki dan murah. Rezeki yang murah bermaksud mendapat keberkahan. Antara cara mendapat keberkahan dengan bangun malam dan bertahajud.
“Pada ayat 79, ALLAH SWT menyatakan mereka yang bertahajud sebagai ibadah tambahan dan mudah-mudahan akan diangkat ke tempat terpuji. Rahsia kekuatan orang Islam adalah makin banyak berpegang kepada al-Quran, makin banyak mendirikan solat malam dan mendapat kemenangan.”
Fazrul yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sinergi Ikhlas berkata, ayat 80 memberi panduan kepada kita untuk memohon kepada ALLAH dimasukkan dan dikeluarkan ke tempat yang benar dengan bimbingan-Nya.
Jika tersesat, ALLAH akan memimpin kita dan keluarga kembali ke jalan-Nya. Ini bermakna orang yang bertahajud diberi jalan keluar. ALLAH SWT itu Maha Berkuasa, kita tidak boleh mengawal kehidupan kecuali dengan izin ALLAH. Oleh itu pertolongan ALLAH itu amat besar.
Bagaimanapun beliau mengingatkan agar kita tidak melakukan ibadah tersebut pada waktu dan tujuan tertentu. Contohnya, ada orang mendirikan solat Dhuha untuk mengharapkan kekayaan dan kesenangan sendiri, dan bukan kerana ALLAH.
“Ada juga yang melakukan solat Tahajud dan solat hajat hanya pada waktu menghadapi peperiksaan. Jika dia tidak dapat apa yang diinginkan, ia mengundang kekecewaan.
“Amal ibadah yang kita lakukan adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Inilah perspektif garis halus yang perlu kita jaga dari segi iman dan akidah,” katanya.
Fazrul menambah, dalam Surah Al-Isra’ ayat 82, ALLAH menurunkan al-Quran sebagai penawar dan rahmat kepada orang beriman. Orang yang hatinya dirawat dengan al-Quran melihat ujian sebagai kafarah untuk menghilangkan dosa.
Aktiviti bangun malam (beribadah) adalah formula pemberdayaan dan pemerkasaan insan yang lemah, sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, Baginda SAW kekal berstamina dalam perjuangan dakwah selama 23 tahun, sehingga wafatnya pada usia 63 tahun.
“Bagi orang yang zalim dan tidak adil akan menolak al-Quran dengan menutup pendengaran dan penglihatan mereka. Sedangkan al-Quran merupakan anugerah Ilahi yang mampu menjadi pengubat hati dan pembimbing kita ke jalan yang benar.”
Bertadabbur ayat 83, ALLAH SWT memberitahu psikologi manusia yang zalim adalah apabila ALLAH memberi kesenangan dan nikmat, mereka berpaling dan menjauhi diri dengan sombong. Jika diuji kesusahan, mereka berputus asa.
Kata Fazrul, bagi orang yang mempunyai hati bercahaya dengan al-Quran, akan berpegang “ALLAH kan ada” apabila ditimpa ujian. Jika dapat nikmat, mereka akan bersyukur. Tanda syukur adalah mendapat cahaya al-Quran.
Ayat 84 menyatakan setiap orang beramal mengikut personaliti dan cara masing-masing. ALLAH Maha Mengetahui jalan mana seseorang itu mendapat hidayah. Ada orang yang mendapat hidayah apabila mendengar ceramah offline dan online.
“Jika tanya diri kita, jangan bandingkan dengan orang lain tapi minta terus kepada ALLAH SWT. Contoh, kenapa saya susah faham ayat al-Quran tidak seperti orang lain? Kenapalah masa muda saya tidak belajar agama?
“Semua orang yang menuju hidayah ALLAH mendapat dos yang sesuai. Kita tidak perlu menjadi orang lain tapi jadilah hamba yang bersyukur dan terus berusaha menuju hidayah ALLAH SWT. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui,”jelasnya.
*Siri Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 1.0 /1441H