Seawal jam 7.45 pagi, kelihatan seorang anak muda berbaju Melayu warna biru muda jalan beriringan bersama kedua ibu bapanya melangkah masuk ke Masjid Putra, Putrajaya yang menjadi lokasi perdana bagi Malaysia #QuranHour 1440H, pada 30 Ogos 2019.
Orang yang dimaksudkan ialah Muhammad Afiq Ismail (Afiq), 23, graduan Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) Perakaunan dan Kewangan dari University of Essex, United Kingdom (UK).
Afiq menjadi tetamu jemputan sebagai Penyampai Pesan Kemerdekaan bagi Malaysia #QuranHour yang digandingkan bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie, Datuk Mohd Daud Bakar, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 62 yang bersiaran langsung di Astro Oasis jam 11 pagi pada hari tersebut.
Perkongsian anak kelahiran Kelantan ini menjadi inspirasi kepada golongan anak muda dalam mengharungi kesukaran hidup dan berdikari demi mencapai cita-cita. Ini dikaitkan dengan Misi Al-Kahf sebagai tema #QuranHour tahun ini, iaitu empat cabaran iman, harta, ilmu dan kuasa serta solusi yang diibrahkan dari Surah Al-Kahf.

“Ramai orang bertanya mengenai perjalanan hidup saya yang berasal dari kampung dan mencapai kelas pertama dalam Ijazah Perakaunan dan Kewangan di universiti luar negara.
“Bagi saya, berkat doa ibu bapa adalah sangat penting untuk kita mencapai kejayaan,” kata beliau yang memulakan cerita kepada penulis ketika berkunjung ke Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd bersama bapa, Ismail Abas, 56, dan ibunya, Normah Abdullah, 52, pada 29 Ogos lalu.
Ditanya kehidupan sewaktu kecil, anak bongsu dua beradik ini selalu menolong ayahnya bekerja seperti berkebun, memotong kelapa sawit, menanam pokok, menternak lembu dan kambing, dan berniaga. Ditambah, abang Afiq, Muhammad Isyraff, 26, orang kurang upaya yang mempunyai pergerakan terhad.

Afiq yang mendapat pendidikan awal Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Machang, Kelantan terkesan dengan kata-kata ayahnya: “Dalam hidup jangan sekadar pandai di sekolah, tetapi pasal kehidupan untuk tambah kematangan dan pengalaman”.
“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada ayah saya yang memberi ruang untuk berdikari dan mencari duit tambahan untuk kegunaan masa hadapan. Kini saya lebih matang dalam membuat keputusan dan mendapat pengalaman untuk melakukan banyak kerja. Susah payah bekerja menyebabkan saya menghargai duit agar tidak berbelanja sewenang-wenangnya.
“Walaupun tidak dapat upah bekerja ketika membantu ibu bapa, saya dapat ganjaran daripada ALLAH SWT. Apa yang paling penting bagi saya adalah mendapat keredaan ibu bapa dan sejuk melihat anak yang dapat menolong mereka.”

Ini sebagaimana disebut dalam hadis, daripada Abdullah Ibnu Amar al-‘Ash RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Keredaan ALLAH terletak kepada keredaan ibu bapa dan kemurkaan ALLAH terletak kepada kemurkaan ibu bapa”. (Riwayat At-Tirmidzi)
Afiq pernah bekerja sambilan sebagai tukang cuci sewaktu belajar di universiti untuk menampung kehidupannya serta kos perjalanan ibu bapanya ke UK bagi menyaksikan hari bersejarah beliau menggenggam segulung ijazah kelas pertama.
“Ilmu amatlah penting dalam kehidupan. Semua pekerjaan perlukan ilmu walaupun hanyalah kerja sebagai pencuci. Cabaran menuntut ilmu itu sangatlah besar. Namun cabaran yang paling besar adalah diri sendiri untuk berusaha menimba ilmu.

“Saya belajar bersungguh-sungguh. Saya selalu tidur awal dan bangun pada jam 4 pagi untuk belajar. Saya bekerja sebagai pencuci secara sambilan di universiti pada jam 5 pagi, tiga hari seminggu.
“Pesanan ibu saya, jangan berubah perangai yang tidak baik apabila belajar di UK. Apa yang paling penting bagi saya adalah menjaga iman dengan tidak meninggalkan solat. Apabila kita menjaga solat, ALLAH akan memelihara kita di mana pun berada.”
Beliau juga berpegang kepada dua prinsip iaitu berbuat baik dengan ibu bapa dan merapatkan diri kepada ALLAH SWT. Insya-ALLAH, urusan dunia dan akhirat akan terjaga. Bagi beliau, perkara yang paling penting adalah keberkatan.
“Apabila kita mendapat keberkatan, insya-ALLAH hidup kita akan mudah. Untuk mendapat keberkatan tersebut, kita mestilah sentiasa menghormati ibu bapa kita, melakukan apa yang ALLAH perintah dan meninggalkan larangan-Nya.
“Jika kita jatuh dan gagal, jangan berputus asa. Semua yang berlaku ada hikmahnya. Kita perlu betulkan niat untuk berjaya. Akhir sekali, kita perlu ingat, segala yang berlaku dalam hidup ini adalah ketentuan ALLAH dan kuasa-Nya.
“Jadi, apa jua yang kita lakukan, berdoalah kepada ALLAH, insya-ALLAH, akan dimakbulkan oleh ALLAH SWT. Saya berusaha mendekatkan diri dengan al-Quran. Saya yakin jika rapat dengan ALLAH, urusan saya akan dipermudahkan oleh ALLAH.”
Beliau turut berkongsi ayat al-Quran yang menyentuh hati untuk menghargai ibu bapa dan mensyukuri nikmat ALLAH.
ALLAH SWT berfirman: “ALLAH mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia memberikan kepadamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur”. (Surah An-Nahl: 78)
Sementara itu, bapa Afiq, Ismail berkata ibu bapa perlu mengutamakan agama dalam mendidik anak sejak kecil. Jika sebelum ini, beliau sibuk dengan kerja sehingga kurang memfokuskan terhadap pendidikan Afiq.
“Menyedari peranan saya sebagai bapa adalah penting untuk mendorong kejayaan anak, saya mula memberi perhatian kepada Afiq sewaktu di sekolah menengah dan selalu datang melawat dia di asrama setiap minggu bersama ibunya,” katanya.

Ibu Afiq, Normah berkata, beliau mendidik Afiq sejak kecil, jika hendak sesuatu perlu berusaha sendiri. Setiap kali anaknya menghadapi peperiksaan, wanita ini bangun awal untuk solat Tahajud, baca al-Quran dan keesokan harinya, berpuasa.
“Saya selalu mendapat jadual peperiksaan awal daripada Afiq. Jadi, setengah jam sebelum masuk ke dewan, saya berpesan agar Afiq membaca Bismillah, masuk kaki kanan dan bersalawat melalui mesej.
“Selepas itu saya akan tengok jam waktu peperiksaan Afiq sambil di hati berkata, “Afiq boleh buat, Ummi ada Afiq, ALLAH ada. Ummi percaya Afiq boleh buat.”
“Jika ibu bapa mempunyai anak bermasalah, hendaklah banyak bersabar dan beristighfar. Ingatlah, itu semua adalah ujian ALLAH. Kita perlu rapat dengan anak, tetapi bertegas terhadap perkara yang membawa kebaikan,” katanya.