SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan sinergi menggerakkan program Cuci, Pulih, Iqra’ 2.0 dalam memberi pengisian fizikal dan rohani di Surau Al-Hassani, Batu Tiga, di sini, pada 22 Februari 2021.
Pihak WUIF dengan kerjasama Rasuah Busters, Sinar Harian, Ukhuwah 4 Ummah U4U, Yeyeh Construction, Primercon Sdn Bhd, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Madrasah Darul Kubra (Banat) Denai Alam dan Sahabah Al-Quran bergabung tenaga untuk membersihkan masjid yang terkesan dalam fasa pertama ini.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata program tersebut diadakan sempena pelancaran Surah As-Sajdah mengajak rakyat Malaysia ke arah bersujud.
“Dari segi fizikal, kita mencuci masjid yang terkesan akibat banjir, manakala pengisian dari segi spiritual dengan bertadabbur Surah As-Sajdah sebagai pesanan Ilahi untuk mengajak kita bersujud dalam melalui ujian ini.“Rakyat menghadapi cabaran bermula dengan pandemik dan banjir. Kita ingin mengajak masyarakat untuk membina kekuatan diri dengan apa yang ALLAh berikan kepada kita untuk patuh dan taat. Ujian tersebut menjadi proses diri untuk menjadi lebih baik.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dalam sesi pengisian rohani di lapangan Surau Al-Hassani, mengajak orang ramai untuk melihat hikmah di sebalik peristiwa banjir yang berlaku.
“Ayat pertama dalam Surah As-Sajdah, menunjukkan kita tidak tahu, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui hikmah di sebalik peristiwa banjir. Bagi mereka yang diuji, mahupun tiada terlibat dengan ujian tersebut, kita bersama merasai keperitan.
“Dengan membaca nama ALLAH SWT, kita bersujud dan rasa kerdil dengan kebesaran-Nya. Sebelum ini, kita diuji dengan pandemik Covid-19. Kini, ALLAH menghantar tentera-Nya bernama air. Air inilah mensucikan, mengotorkan dan memusnahkan sejak dahulu.
“Kita perlu rasa rendah diri. Semakin kita banyak bersujud, semakin kita dekat dan rasa kehambaan kepada ALLAH yang Maha Perkasa dan Maha Penjaga,” katanya.
Projek Cuci, Pulih, Iqra’ 1.0 bermula pada 2014, apabila berlaku bah kuning di Kelantan. WUIF bersama Rumah Ngaji dan rakan sinergi lain bergading bahu untuk membersihkan masjid terkesan dengan pengisian Surah Al-Balad.
Projek Cuci, Pulih, Iqra’ 1.0 bermula pada 2014, apabila berlaku bah kuning di Kelantan. WUIF bersama Rumah Ngaji dan rakan sinergi lain bergading bahu untuk membersihkan masjid terkesan dengan pengisian Surah Al-Balad.