Oleh: DAHLIA AHMAD ZAINUDDIN
Hilang sumber pendapatan, sebagai ketua keluarga, keadaan ini menyebabkan emosi lelaki terganggu dan mempengaruhi kesihatan mental.
Walaupun PKP membenarkan nelayan beroperasi bagi memastikan rantaian bekalan makanan laut tidak putus dan keselamatan makanan negara terjamin namun hasil tangkapan nelayan khususnya nelayan pantai tidak dapat dijual kerana keadaan cuaca dan laut menyebabkan hasil tangkapan kurang.
Roslan Amir Hasan, nelayan sepenuh masa antara yang terkesan dengan keadaan ini.
“Pendapatan kami sebagai nelayan terjejas teruk. Keadaan cuaca tidak menentu juga antara sebab hasil tangkapan tidak dapat dijual ke kedai. Peraih juga tidak dapat membeli hasil laut mereka sewaktu sekatan PKP malah tidak dapat dijual ke restoran-restoran makanan laut.”
Kemahirannya hanya di laut sebagai nelayan. Dan keluarga besarnya yang tinggal bersama hanya bergantung harap kepadanya seorang.
Orang ramai yang ingin membantu Roslan Amir Hasan, boleh salurkan ke akaun Maybank 164490459237.
Peniaga pasar malam hilang pendapatan
Peningkatan kos sara hidup yang melanda rakyat Malaysia semasa musim Covid-19 semestinya bukan perkara yang asing dalam kalangan masyarakat. Cuma, miskin bandar lebih terseksa setiap kali kos sara hidup meningkat.
Bagi peniaga pasar malam, Herlin Hussen, baru sahaja meniaga kuih muih di kawasan rumahnya sementara pasar malam ditutup. Namun terpaksa berhenti meniaga mengambil kira risiko peningkatan kes Covid-19 yang tinggi memandangkan dia perlu membawa anak kecilnya sekali.

“Sekarang kami hanya bergantung pada suami yang bawa Grab. Pendapatan musim ini kurang, itu pun kena tolak hasil sewa kereta yang digunakan suami.”
“Peniaga seperti saya sangat berharap dapat kembali berniaga seperti biasa di pasar malam. Untungnya saya nak tolong suami bayar sewa rumah, api air dan untuk duit belanja anak-anak yang sedang bersekolah.”
Beliau yang juga saudara baru berkata, ujian Covid-19 ini tidak mudah, namun beliau faham erti tabah saat diuji.
“Walau apa pun dugaan, sujud dan mengadu kepada ALLAH. Bebanan rasa hilang.” kongsinya yang berusaha ambil inisiatif mahu berniaga secara online sementara menunggu pasar malam boleh beroperasi semula.
Orang ramai yang ingin membantu ringankan Herlin Hussen, boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 1211829000353441.
Comments on Verse