ALLAH SWT memberi ujian kepada hamba-Nya bukan kerana benci, tetapi ia berketepatan dengan kemampuan orang tersebut. Mereka yang bersabar dengan ujian tersebut telah dijanjikan khabar gembira oleh ALLAH SWT.
Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkongsi ilmu dalam program Fuel Love For Fighters kali ke 8, forum Kesedaran Menangani Penyakit Kanser di Kalangan Wanita di Hulu Klang, Selangor pada 18 Jun 2023.

Beliau bertadabbur Surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 157 sebagai motivasi kepada kita dalam menghadapi ujian ALLAH SWT. Panduan daripada suluhan al-Quran ini merupakan motivasi besar kepada mereka yang didiagnosis kanser untuk meneruskan perjuangan melawan kanser dan sembuh, serta ahli keluarga dan penjaga.
ALLAH SWT berfirman: “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah: 155).
Selagi hayat dikandung badan, manusia diuji dengan pelbagai perkara oleh ALLAH SWT dari masa ke masa. Ini janji ALLAH. Sebenarnya ujian yang diberikan kepada hanyalah sedikit dan ia berbeza pada setiap orang. Tuhan Maha Mengetahui bahawa kita mampu menguruskannya.
“Mungkin ada yang berkata, “Sabar… sabar. Cakap bolehlah!” Atau ada yang mengeluh, “Ya ALLAH, ujian ini amat besar. Mengapa saya tengok orang lain lebih bahagia…”
“Orang yang tidak sabar diuji sebenarnya dia memandang rendah kepada kemampuan dirinya. Sedangkan orang yang bersabar akan menerima khabar gembira yang dijanjikan oleh ALLAH SWT dan pasti ada cahaya di penghujungnya.
“ALLAH SWT yang menciptakan sel-sel yang sedang merebak, dan Dia jua yang akan menutup, mematikan kuman dan memberi kesembuhan kepada hamba-Nya. Apabila kita yakin kepada kekuasaan ALLAH SWT, hidup kita menjadi lebih ceria dan gembira. Ini secara langsung memberi kesan positif kepada kesihatan dan tenang emosi. Akhirnya kita semakin menghargai setiap detik masa yang diberikan ALLAH kepada kita.”
Tambah Fazrul, ujian ALLAH SWT tidak pernah salah alamat. Ia memang tepat dan bersesuaian kepada kemampuan seseorang itu. Contohnya orang yang diuji penyakit kanser dibantu ahli keluarga yang menjaganya.
Ayat 156 memberi panduan kepada mereka yang ditimpa musibah dengan menyebut “Innalillahiwainnailaihirojiun” yang bermaksud “Sesungguhnya kita adalah milik ALLAH dan semuanya akan kembali pada ALLAH SWT”.
ALLAH SWT mengajar naratif tersebut kepada kita agar ia dapat menstabilkan harapan ketika menghadapi sesuatu ujian. Ramai kalangan bekas pesakit kanser amat menghargai masa dengan memberi sumbangan kepada masyarakat.
“Dalam hati kita berkata, “Ya ALLAH, sel-sel ini milikmu Ya ALLAH. Engkau ciptakannya dan aku tahu Ya ALLAH. Engkau boleh buat apa sahaja kepada tubuh badanku kerana diriku milik-Mu ya ALLAH. Sesungguhnya kesakitan ini aku harap dalam proses menuju kepada-Mu. Engkau pinjamkan sekejap dan boleh kembali sihat. Aku ingin buat yang terbaik dan menjadi orang yang bermanfaat setiap saat kepada dunia kerana aku tahu inilah masa yang dipinjamkan oleh ALLAH SWT.”
“Ayat 157 menyatakan ALLAH SWT menawarkan tiga ganjaran kepada orang yang lulus ujian dengan kesabaran dan keyakinan iaitu memperoleh keampunan, rahmat dan mendapat petunjuk. Ujian ALLAH SWT mendekatkan hamba-Nya kepada Pencipta. Ia sebagai tanda kasih sayang ALLAH SWT untuk kita mendapat hidayah seterusnya dipimpin ke syurga,” jelasnya.
Majlis perasmian Fuel Love For Fighters kali ke 8 ini disempurnakan oleh Penaungnya, Datin Seri Shamsida Taharin. Beliau dalam ucapannya berkata, pesakit kanser perlu sabar dan kuat dalam melalui tempoh rawatan.

“Jangan mengalah jika anda didiagnosis kanser kerana ia bukan penamat kehidupan. Ada sesetengah mereka menjalani hidup lebih baik selepas kanser. Sebagai penghidap kanser, cari kumpulan sokongan agar dapat berkongsi pengalaman.
“Cari hobi yang menyeronokkan tetapi bersesuaian dengan tahap kesihatan individu tersebut. Jangan biarkan fikiran dihanyut oleh kesedihan. Hidup mesti diteruskan dan ingat orang yang tersayang.”

Sementara itu, Pengasas Fuel Love Fighters, Dr Yasmeen Farouk Mohamed sebagai pengasas kumpulan sokongan pesakit kanser berkata, sebelum ini, beliau sebagai sukarelawan membantu golongan pesakit kanser. Pada 2021, beliau telah didiagnosis kanser rahim. Selepas melalui proses rawatan setahun, kini beliau kembali sihat dan bebas kanser.
“Pengalaman menjaga orang yang sakit berbeza apabila diri sendiri yang mengalaminya. Hanya ALLAH tahu betapa sakitnya. Perasaan takut tidak dapat lari kerana bimbang kanser datang lagi. Kita perlu mengubah gaya hidup 360 darjah ke arah lebih baik, sihat dan gembira.
“Pesakit perlu berjumpa doktor dan mendapat rawatan. Selain itu, jangan berhenti berharap untuk sihat dan bertemu dengan rakan-rakan yang mampu memberi semangat dan motivasi.”
Seramai 300 peserta yang terdiri daripada pesakit kanser, ahli keluarga pesakit, kumpulan sokongan kanser dan badan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Gombak.
Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Ketua Bahagian Gineonkologi di Pusat Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamad Nasir Shafiee membentangkan topik “Healing need effort to change and lookout for symptoms cancer”.

Beliau memberitahu mereka yang didiagnosis kanser perlu segera berjumpa pakar dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.
“Jangan melengah-lengahkan masa dengan mendapatkan rawatan alternatif atau mendiamkan diri. Kebiasaan pesakit menjadi tertekan kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Untuk mendapatkan kesejahteraan hidup, mereka hendaklah datang berjumpa pakar untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dari masa ke masa,” katanya.
Turut perkongsian Perunding Produk dan Pakar Nutrisi, Ardence Venture, Steven Kwong mengenai produk kesihatan AFA-CM, nutrien sel stem untuk kesihatan bagi membantu pemulihan tubuh badan secara semula jadi.
APA KATA PESERTA
“Kumpulan sokongan pesakit kanser banyak membantu saya dalam memberi kekuatan dan semangat untuk teruskan kehidupan lebih baik. Jika buat rawatan, jangan campurkan antara rawatan moden dan alternatif.” – Khamilah Said, 50, suri rumah
“Rasa sedih dan murung apabila didiagnosis kanser pada 2020. Namun saya kembali kuat apabila mendapat sokongan keluarga. Mereka menjaga saya ketika mendapatkan rawatan. Kini saya mengubah kepada gaya hidup sihat untuk kembali pulih.” – Roslina Ramli, 50, jurubank