Al-QURAN sebagai imam. Hikmah di sebalik al-Quran melalui baca, faham dan amal dapat memberi natijah yang baik kepada pembaca.
Demikian kata Ketua Unit Bimbingan & Kaunseling, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd, Mohd Zuhdi Zakaria sebagai tetamu jemputan program Road To Arafah #QuranHour yang bersiaran di platform Facebook World Quran Hour dan Sinar Islam Plus pada 23 Jun 2022.

“Orang yang membaca al-Quran berasa ketenangan, kebahagiaan dan kedamaian. Apabila banyak membaca al-Quran, dia akan berasa malu dan takut untuk melakukan perkara negatif atau melalaikan dalam kehidupan.
“Mereka yang beriman dan bertakwa, wajahnya berseri. Saban waktu dia sibukkan diri dengan aktiviti memperkasakan al-Quran. Kita harap lebih ramai menjadi panglima Surah Al-Hajj dan 113 surah lain sebagai panduan dalam kehidupan serba moden.

“Perkataan Zalzalah dalam Surah Al-Hajj ayat 1 bermaksud goncangan. Ini mengingatkan kita kepada cabaran perjalanan haji melalui darat selama 60 hari sejauh 16,000 km dengan merentas 12 negara. Ini termasuk Malaysia, Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Kazakhstan, Georgia, Turki, Mesir, Jordan dan Arab Saudi.
“Ada orang yang berbasikal dan bermotorsikal. Jika berjalan kaki, ia mengambil masa 8 bulan dari Malaysia ke Makkah. Banyak pengajaran dan pengalaman yang diperoleh di sepanjang perjalanan. Ini termasuk perubahan cuaca yang terlalu panas dan sejuk.
“Untuk menjadi orang bertakwa dan produktif, kita perlu mengambil pengajaran daripada alam dan manusia. Setiap saat dalam kehidupan, kita di bawah jagaan dan lindungan ALLAH SWT. Ini membuatkan kita rasa malu dan takut untuk menyalahi perintah ALLAH mahupun menjerumuskan diri kepada perkara negatif.”
Menurut beliau, kehidupan manusia hari ini cenderung untuk masuk tidur atau berehat pada pukul 4 pagi. Kelewatan tidur akibat melayan media sosial tidak membawa faedah, melainkan bangun malam untuk mendekatkan diri kepda ALLAH seperti solat tahajud dan membaca al-Quran.
“Kita berharap terus beristiqamah dalam meninggal dunia di jalan akidah yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim AS dan diteruskan oleh Nabi Muhammad SAW. Apabila tidur tidak cukup, berlaku goncangan emosi, akal fikiran, dan tingkahlaku yang tidak produktif.”
“Tidak semestinya pergi haji, kita baru hendak melakukan ibadah atau menulis di platform media sosial dengan tujuan menunjuk-nunjuk. Kita perlu mencontohi akhlak Rasulullah SAW bermula dengan jadual harian daripada bangun tidur hingga tidur semula. Kita perlu kembali kepada al-Quran untuk menjadi orang bahagia dam berjaya.
“Tanpa al-Quran mahupun pengisian rohani, hidup seseorang itu mengalami konflik diri sehingga menyumbangkan statistik penyakit mental. Oleh itu, kita perlu muhasabah diri untuk menjadi lebih baik.”

Menurut Mohd Zuhdi, MKM Ticketing mengamalkan polisi sebelum menunaikan umrah dan haji, iaitu bayaran perlu diselesaikan 45 hari sebelum pergi. Dalam pengurusan emosi, para jemaah digalakkan membetulkan jadual harian dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian selama 45 minggu sebelum bergelar duyufurrahman.
“Jadual ini termasuk bermula masuk tidur, bangun tengah malam, bertahajud, baca al-Quran berzikir, Solat Subuh, senaman, jaga pemakanan, dhuha, dan Qailullah. Apabila kita menjaga ibadah dan kesihatan diri sejak awal, ia menjadi mudah untuk melaksanakan ibadah haji. Inilah ciri orang bertakwa yang produktif dan berkualiti,” katanya.
Arafah #QuranHour mengajak orang ramai di Arafah dan seluruh dunia untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal. Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama pelbagai wakil agensi haji bertujuan menjadi al-Quran sebagai panduan dan membentuk karakter diri dan mengubah kerangka fikir untuk menjadi Muslim lebih, seterusnya umat yang bertakwa.
Orang ramai dijemput sertai sertai Arafah #QuranHour dengan mendaftar di https://bit.ly/ArafahQH. Mereka boleh mengadakan aktiviti baca dan tadabbur al-Quran selepas Subuh di lokasi masing-masing. Untuk pengisian program, boleh dapatkan di https://bit.ly/Arafah2022.