YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan program Arafah #QuranHour : Haji membina umat bertakwa sempena Hari Wukuf, 9 Zulhijah 1443H bersamaan dengan 9 Julai ini.
Kempen Arafah #QuranHour merupakan ajakan kepada seluruh umat Islam untuk menghayati al-Quran dan diperkukuhkan lagi semasa berada di Arafah. Inisiatif tersebut diambil sempena mengambil semangat wukuf melalui penyerahan jiwa seorang hamba kepada Penciptanya secara total.
Pada tahun ini, program Arafah #QuranHour berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal mengangkat Surah Al-Sajdah ayat 15 dan Surah Al-Hajj ayat 18 dan 77 untuk mengajak seluruh manusia bersujud kepada ALLAH SWT.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata Arafah #QuranHour mengambil momentum perhimpunan terbesar umat Islam menyelusuri Surah Al-Sajdah, Surah Al-Hajj dan ayat-ayat pilihan dari al-Quran dalam membina karakter hamba ALLAH yang bersujud dan patuh.
“Bertitik tolak dari sini, lahirnya nilai-nilai pembinaan sebuah tamadun bangsa “God centered” kesan daripada haji yang mabrur yang diformulasikan daripada al-Quran. Golongan sasaran adalah tetamu haji, alumni haji dan bakal haji dari seluruh dunia.
“Kita hendak menghayati semangat perjumpaan terbesar di dunia dengan harapan untuk membawa semangat haji dalam membina umat yang bertakwa. Mereka yang ada pengalaman dan latihan dalam melaksanakan ibadah haji diharapkan menjadi ejen perubahan masyarakat selepas kembali ke tanah air.
“Mereka boleh menyertai Rumah Ngaji untuk meneruskan pengajian al-Quran atau membuka Rumah Ngaji dengan mendaftar di https://quranhour.org/rumahngaji/
“Sebenarnya kita mahu membina dan memfokuskan momentum sejam pada Arafah #QuranHour dengan merefleksi ayat dan surah pilihan tersebut untuk menjadi hamba ALLAH yang bersujud, dan memecah kesombongan,” katanya.
Program Arafah #QuranHour 1443H dikendalikan oleh hos, Hifdzi Zaim Zamri, Hos TickTalk TV. Bacaan ayat pilihan Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj dibimbing oleh Qari Ustaz Husaini Mahmur dan Qari Ustaz Amirahman Abas. Manakala sesi tadabbur dibawa oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Abdulllah Bukhari Abdul Rahim dan Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah, Ustaz Dr. Mohd Shafiq Sahimi.
Turut ditampilkan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Haji Yaacub dalam sesi Pesan Tokoh.
Sementara itu, pihak WUIF bekerjasama dengan pelbagai wakil agensi haji berkongsi pengisian berkaitan ibadah haji pada enam siri program Road to Arafah #QuranHour yang disiarkan di Facebook World Quran Hour dan YouTube QuranHour TV pada Selasa dan Khamis pada 6 petang hingga 6.45 petang, bermula 21 Jun lalu.
Antara tetamu jemputan bagi pengisian Road To Arafah #QuranHour ialah Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusoh, Pengarah Urusah Eiman Travel & Tours Sdn Bhd; Ustaz Sharul Azam, Ketua Pembangunan Sahsiah, Tabung Haji; Zuhdi Zakaria, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd; Ustaz Ahmad Nazmie Omar, Eksekutif Bimbingan Haji & Umrah, Felda Travel Sdn Bhd; Datuk Md Daud Che Ngah, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd; Ustaz Habib Syed Naqjamuddin Syed Othman Al-Khered, Wira Saujana Travels & Tours Sdn Bhd.
Semua wakil operator umrah tersebut dan Pembimbing Haji dari Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar menyambut baik program Arafah #QuranHour dengan mengadakan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran bersama jemaah haji masing-masing di padang Arafah pada Hari Wukuf.
Arafah #QuranHour pertama kali diadakan adakan pada 2016, diiikuti pada 2017 dan 2018 dengan menggerakkan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal pada Hari Wukuf di padang Arafah, 9 Zulhijah. Aktiviti tersebut tidak dapat dijalankan berikutan berlaku pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.
Sesi rakaman Arafah #QuranHour diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam (8 Julai 2022) dengan penyertaan lebih 100 tetamu terdiri yang daripada warga kerja Kumpulan Karangkraf, Ideaktiv Sdn Bhd, wakil operator haji dan tetamu jemputan.
Orang ramai boleh mengikuti siaran Arafah #QuranHour di Facebook Quran Hour dan YouTube QuranHour TV pada 10 pagi hingga 11.30 pagi pada hari ini (9 Julai 2022). Mereka boleh mengadakan aktiviti baca dan tadabbur al-Quran di lokasi masing-masing.
Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook Quran Hour dan QuranHour TV