Tanggal 3 Jun 2022, Yayasan KAF (Kami Anak FELDA) berkunjung ke pejabat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Shah Alam dalam berkongsi visi mewujudkan Firdaus FELDA dan berhasrat untuk membuka Rumah Ngaji di 317 Rancangan FELDA di seluruh negara (308 di Semenanjung dan 9 di Sabah) serta di 18 IPT dengan kerjasama Pertubuhan Kami Anak FELDA Malaysia (KAF) dan Permuafakatan Siswa Siswi FELDA (PERSADA).
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KAF, Mejar (B) Roslan Jasmin berkata pihak yayasan ingin berkolaborasi dengan WUIF dalam membawa gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal yang akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan generasi FELDA.

“Saya tertarik dengan idea gagasan Firdaus 2050 oleh YB Datuk Seri Haji Idris Jusoh, Pengerusi FELDA iaitu untuk melahirkan generasi FELDA yang kuat agama, berpendidikan tinggi, mempunyai perniagaan bertaraf dunia, menguasai bahasa utama dunia serta bersifat pemurah dan penyayang. Iaitu satu kelompok generasi yang berjaya cemerlang, tetapi memberi bakti semula kepada masyarakat agama, bangsa dan negara.”
Namun begitu, tambah beliau, ia mengambil masa yang panjang untuk dicapai dan usaha perlu dilaksanakan bermula di peringkat sekolah rendah dan seterusnya. Rumah Ngaji akan menjadi salah satu inisiatif bagi mencapai visi tersebut.

Yayasan KAF telah diasaskan oleh Pertubuhan Kami Anak FELDA Malaysia (KAF) pada 15 Jun 2017 di mana visinya adalah sebagai organisasi pemangkin agenda pembangunan generasi FELDA ke arah kecemerlangan.
Bagi mencapai visi tersebut, Yayasan KAF akan berkerjasama dengan FELDA dan lain-lain NGO’s serta lebih 2 juta generasi FELDA yang mempunyai kepelbagaian sumber seperti ilmu pengetahuan, kepakaran, kewangan dan jaringan perhubungan untuk kembali menyumbang bakti kepada FELDA khususnya pembangunan generasi baharu bagi melahirkan generasi FELDA yang kompeten, produktif dan relevan pada setiap masa.
“Ada lima nilai teras yang menjadi pegangan kami adalah patuh syariah, amalan terbaik, berorientasi keputusan, kerja berpasukan serta keberkatan dan keredaan Allah”.
“Kita mempunyai “roadmap” dari tahun 2022 hingga 2035 di mana teras utama adalah pembangunan modal insan dengan sasaran pelaksanaan 5 projek utama dalam tempoh 13 tahun”.
“Bagi tempoh 3 tahun pertama (2022 – 2025) fokus utama kami adalah pertama, program Profesional Generasi FELDA (PGF) melalui kerjasama dengan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) bagi mencapai misi melahirkan 500 akauntan bertauliah di kalangan generasi FELDA menjelang tahun 2030, selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan 60,000 akauntan bertauliah pada tahun tersebut.”

Tambah Roslan, kedua adalah membuka Rumah Ngaji di semua rancangan FELDA di seluruh negara. Penubuhan Rumah Ngaji bertujuan memberi pendidikan al-Quran secara percuma kepada generasi FELDA bermula dari peringkat asas agar dapat dibaca, difahami dan diamalkan di dalam kehidupan seharian. Visi Rumah Ngaji bagi melahirkan generasi FELDA yang menjadikan al-quran dan sunnah sebagai landasan dalam kehidupan”.
“Konsep Rumah Ngaji iaitu baca, faham dan amalkan al-Quran dalam kehidupan telah menarik perhatian saya. Saya yakin jika Rumah Ngaji dapat dilaksanakan, ia akan menjadi satu formula terbaik transformasi generasi FELDA ke arah kecemerlangan.
“Program pembangunan kepimpinan dan karakter untuk pelajar dan belia yang telah dilaksanakan sebelum ini juga akan digarap dengan nilai al-quran dan sunnah dalam modul tersebut sebagai panduan utama untuk membentuk pemimpin masa hadapan generasi FELDA”.
“Kami mengalu-alukan sokongan dan penglibatan seluruh generasi FELDA khususnya yang telah berjaya di dalam pelbagai bidang dan kerjaya untuk bersama-sama Yayasan KAF di dalam mencapai visi dan misi membangunkan generasi FELDA yang cemerlang dunia dan akhirat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi WUIF, Maslinda Mohd Esak mengalu-alukan hasrat pihak Yayasan KAF untuk bekerjasama dalam membawai misi mengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan ummah.
Untuk maklumat lanjut mengenai Rumah Ngaji, sila layari https://quranhour.org/rumahngaji/