Oleh: SITI HAJAR HIDAYATI HAMID
Selama 11 tahun berniaga atas nama Aunis Char Kuey Teow, Muhd Hairul Zakri Abd Razak pernah mengecapi kegembiraan apabila hidangannya pernah dinikmati oleh orang terkenal seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail.
Beliau yang menjalankan perniagaan di Seksyen 18, Shah Alam mulai terkesan apabila semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa Mac 2020. Pada awalnya, beliau mampu meneruskan kehidupan dengan menggunakan wang simpanan walapun tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.
“Apabila PKP berlanjutan dalam jangka masa panjang, wang simpanan saya semakin mengering. Bayaran kereta, sewa rumah dan pelbagai hutang lain turut tertunggak. Untuk kelangsungan hidup, saya mengambil inisiatif lain dengan menjual char kuey teow secara bungkus sahaja. Tetapi hasil jualan jatuh merudum dengan begitu teruk.
“Saya juga mengambil upah menjual buah dan ikan untuk menambahkan pendapatan di musim pandemik. Impian saya untuk membuka restoran sendiri tidak dilaksanakan buat masa sekarang. Saya merancang untuk mengeluarkan sendiri iaitu sos char kuey teow dengan menggunakan resipi sendiri.
Beliau pernah merasa kemurungan apabila mengalami masalah kewangan. Namun keyakinan kepada ALLAH SWT yang Pemberi Rezeki, beliau ditemukan dengan rakan yang membantunya menjual ikan tanpa keluarkan modal.
“Ya ALLAH, terima kasih kerana membuka jalan rezeki untuk saya. Syukur, jualan ikan mendapat sambutan baik dan menjadi sumber pendapatan untuk menyara keluarga saya. Sejak dulu lagi saya amalkan apabila dapat rezeki lebih akan dikongsikan dengan orang lain sebagai tanda syukur.
“Saya bukan pandai beri nasihat. Berdasarkan pengalaman sendiri, semua orang akan jatuh cuma kita tidak tahu bila kita akan jatuh dan boleh bangkit. Doa, usaha dan tawakkal kepada ALLAH. Insya-ALLAH, ALLAH bantu kita.”
Orang ramai yang ingin membantu Muhd Hairul Zakri, boleh salurkan sumbangan ke akaun bank CIMB 7017531327
TERIMA KASIH IBU AYAH, BERI TEMPAT BERLINDUNG
Mohamad Aminuddin Basri dari Kelantan antara rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 apabila kehilangan sumber pendapatan. Bapa kepada anak dua ini sebagai pekerja kontrak, beliau tidak dapat bekerja di sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebelum PKP, saya bekerja sebagai tukang rumah secara kontrak. Apabila tempoh kontrak tamat, maka kerja pun ditamatkan. Saya terputus punca pendapatan hampir tujuh bulan. Sekatan jalan raya di sekitar kawasan tempat tinggalnya lebih menyukarkan saya untuk mencari pekerjaan.
“Saya rasa beruntung mempunyai ibu ayah yang banyak membantu saya sekeluargayang sedang dalam kesusahan. Saya nekad untuk mengubah nasib diri dan keluarganya dengan mendapatkan pekerjaan lebih baik selepas PKP,” ujar beliau yang merupakan pemanggil Soul Fitness Clinic pada 3 September 2021.
Orang ramai yang ingin membantu Mohamad Aminuddin, boleh salurkan sumbangan ke akaun bank CIMB 7017531327
SUAMI SEBAGAI TUKANG RUMAH HILANG SUMBER PENDAPATAN DI MUSIM PKP
Kebimbangan suri rumah apabila suami hilang pekerjaan di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19. Ini yang berlaku kepada Nor Elianie Ibrahim yang menjadi pemanggil Soul Soul Fitness Clinic pada 6 September 2021.

Ibu kepada tiga anak ini berkata suami bekerja sebagai tukang rumah terpaksa ‘berehat’ apabila tiada kerja yang ditawarkan sepanjang musim PKP. Ini menyebabkan beliau sekeluarga berada dalam kesempitan hidup sehinggakan tidak mampu menyediakan barang makanan asas.
“Saya terpaksa meminta tolong adik-beradik untuk membantu kami demi kelangsungan hidup. Saya berhasrat untuk berniaga makanan goreng seperti keropok dan pisang di hadapan rumah. Namun saya tiada modal untuk memulakan perniagaan.
“Semoga ALLAH melimpahruahkan rezeki kami sekeluarga dan memberi kekuatan kepada kami dalam menghadapi ujian kehidupan ini,” katanya.
Sesiapa yang ingin membantu Nor Elianie Ibrahim, sila salurkan ke akaun bank Bank Simpanan Nasional 1199541100137934