Pengasas The Blue Lantern, Ustaz Hammad Muhammad bersama isteri, Ustazah Iffet Rafeeq dan anak mereka, Shafii Ali memberi kunjungan mesra ke pejabat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di kompleks Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, 27 Disember lalu.
Mereka berpeluang melihat secara dekat proses percetakan al-Quran terbitan Karya Bestari, sebelum bertamu di pejabat WUIF. Malah mereka tidak menyangka al-Quran Nobel yang menjadi al-Quran kegemaran dicetak di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkongsi maklumat mengenai peranan dan perkembangan semasa WUIF dalam sesi pertemuan tersebut. Seluruh warga kerja turut sama meraikan kehadiran keluarga ini dari Scotland.
Sementara itu, Ustazah Iffet dan suaminya teruja melihat pencapaian WUIF yang mampu melangkau ke peringkat global melalui kempen #QuranHour. Sejak empat tahun lalu, pasangan ini berkongsi ilmu melalui platform The Blue Lantern mengembara dari satu negara ke negara untuk berkongsi ilmu. Pengembaraan mereka bertujuan mengenali lebih dekat sesuatu komuniti Islam dari pelbagai negara.
Mereka berkelulusan di peringkat antarabangsa termasuk Darul Uloom Afrika Selatan, Universiti Al-Azhar, Universiti SOAS, Kolej Muslim Cambridge, serta institusi Islam terkenal yang lain.
Ustazah Iffet yang merupakan pengasas bersama saluran YouTube Dust to Diomands Dawah memfokuskan isu wanita. Beliau yang pakar dalam kesihatan mental, keintiman perkahwinan dan seksologi dalam islam mendedikasikan masa dan tenaganya untuk menyelidik dan meningkatkan kesedaran mengenai kehidupan beretika dan kemampanan.
Manakala Ustaz Hammad sebagai imam masjid telah dinobatkan sebagai Imam Paling Berpengaruh di Britain pada 2019 dan Anugerah Datuk Bandar berprestij pada 2020 untuk kerja dakwah di West Midlands. Beliau yang pakar dalam kajian tafsir dan sirah klasik dan kontemporari banyak berkhidmat dengan masyarakat.
Blue Lantern menyediakan pengalaman pembelajaran melalui perkhidmatan dalam talian dan secara peribadi. Antara topik popular yang dikongsikan oleh pasangan ini adalan lima bahasa cinta berpandukan Sunnah. Ia boleh dipraktikkan oleh semua golongan termasuk, pasangan suami isteri, keluarga, kawan-kawan dan rakan seperniagaan.
Ustaz Hammad menambah, mahabbah bermaksud kasih sayang berasa daripada perkataan hubb yang bermaksud benih. Benih yang ditanam dan dijaga dengan baik akan tumbuh menjadi pokok yang subur, berbunga dan berbuah. Begitu juga dalam perhubungan, kita perlu memupuk dengan kasih sayang dalam pelbagai bentuk.
Ustazah Iffet menekankan psikologi perhubungan, penyuburan rohani, dalam sirah Rasul SAW dalam pengisian ilmu. Lima tahap perhubungan untuk menjadikan lebih intim dengan pendekatan intelektual, emosi, pengalaman, kerohanian dan fizikal.
Turut meraikan kedatangan Ustaz Hammad sekeluarga ialah Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, Ketua Unit Penyelidik dan Pembangunan, Ustaz Safri Muhammad Zein dan warga kerja WUIF. Dalam sesi pertemuan tersebut, Ustaz Safri bertadabbur Surah Al-Insan ayat 1 hingga 5. Surah tersebut menjadi surah pilihan untuk kempen #QuranHour pada 2023.
Ustaz Hammad dan keluarga dibawa melawat bersama pihak WUIF ke Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. Mereka yang berada di Malaysia selama sebulan memilih New Zealand dan Indonesia sebagai negara seterusnya untuk dikunjungi.