Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sedia berkolaborasi dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam menjalankan program-program berteraskan al-Quran.
Pada 26 Januari 2023 yang lalu, pihak Yayasan Warisan Ummah Ikhlas telah mengadakan lawatan dan kunjungan hormat ke USAS, Kuala Kangsar dalam berkongsi misi serta program-program yang sedang dijalankan selari dengan agenda MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah.
Kunjungan tersebut membawa kepada perbincangan dan perancangan untuk berkolaborasi antara pihak USAS dan WUIF dengan memanfaatkan pakar-pakar akademik, asatizah mahupun pelajar yang terdiri dalam kalangan komuniti USAS.
Mereka berdaya saing dalam menggunakan kelengkapan studio yang sudah sedia ada di sana. Gabungan dan kerjasama tersebut dilihat dapat memperluaskan lagi usaha dakwah ke peringkat universiti.
Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan, Prof Madya Dr Anas Md Yusoff berkata, USAS mempunyai platform USAS TV yang ingin dikembangkan lagi dari segi hidangan kandungannya kepada umum.
Beliau sangat berbesar hati sekiranya pelbagai program al-Quran yang diterbitkan oleh WUIF turut dimuat naik di laman YouTube USAS TV seperti My #QuranTime. Selain itu, beliau turut menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan pihak WUIF dalam pembangunan kandungan-kandungan baru yang boleh dimasukkan dalam platform YouTube USAS TV dengan gabungan buah fikiran daripada kedua-dua belah pihak.
“Kami juga merupakan antara universiti yang mempunyai fasiliti TV yang terbaik dengan kelengkapan seperti layar hijau (green screen), bilik rakaman podcast, multimedia dakwah, IT serta kepakaran yang cukup dari segi pengurusannya.”
Kini, kata beliau lagi, platform tersebut terbuka untuk dimanfaatkan oleh fakulti-fakulti di USAS TV sendiri. Bahkan, beliau amat berharap dengan ilmu dan pengalaman yang ada, pihak WUIF dapat membantu pihak USAS untuk memperbanyakkan lagi kandungan di platform USAS TV.
Artikel berkaitan
Kunjungan tersebut diakhiri dengan sesi penyerahan al-Quran wakaf kepada pihak USAS agar universiti tersebut dapat mengaktifkan Quran Corner yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga USAS.
Pengaktifan Quran Corner tersebut diharapkan dapat menjadi ruang rehat yang sering dikunjungi oleh warga USAS sekaligus dapat menambah baik kualiti kerja setelah menghabiskan rehat dengan membaca al-Quran.
Penulis: Fiffy Nur Adila Mohamed Feroz