TRAINING of Trainers (TOT) Akademi Sinergi Ikhlas 2020 mengumpul dan melatih barisan jurulatih dan pengkaji al-Quran sebagai persediaan menyambut gelombang My #QuranTime yang semakin diminati ramai untuk berinteraksi dengan al-Quran, melalui baca, faham dan amal.
Pengerusi Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Fazrul Ismail berkata, seramai 12 peserta yang terpilih ini diberi pengukuhan mengenai rangka kerja dan modul di Akademi Sinergi iaitu Berinteraksi Dengan Quran (BDQ), Solusi Kehidupan Dalam Al-Quran (SKDA), dan Build Your Legacy (BYL).

“Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh saya dan Ketua Unit Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Ustaz Muhamad Harfiz Hamzah, diharapkan dapat dikuasai oleh peserta untuk bekerjasama dalam dunia latihan dan kajian al-Quran pada masa akan datang. Sebahagian daripada mereka pernah bekerjasama dengan pihak kami.
“Memandangkan sambutan orang ramai yang berminat dengan al-Quran, jadi TOT Akademi Sinergi Ikhlas sebagai mekanisme untuk melahirkan jurulatih dan penceramah yang boleh mengisi program di luar termasuk masjid, surau, sektor kerajaan, dan agensi korporat,” ujar beliau yang juga Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Pentadabbur My #QuranTime.
Peserta, Mohd Jamil Abdul Wahab dari One Coaching & Therapy Practitioner berkata, peluang beliau bersama barisan peserta lain untuk mempelajari rangka kerja perjalanan modul Akademi Sinergi Ikhlas boleh digunakan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Sebelum ini, saya menyampaikan ilmu dan latihan berdasarkan pemikiran sendiri. Apabila saya mengikuti pelbagai program di Akademi Sinergi, kaedah tadabbur dan tazakkur banyak mengubah hidup saya. Ia menjadikan saya lebih sedar diri sebagai hamba ALLAH.
“Apa jua yang hendak kita lakukan dan apa tujuannya hendaklah kembali kepada ALLAH SWT. Saya berusaha untuk beramal dengan ayat 56 dalam Surah Al-Dazriyat, sebagaimana firman ALLAH SWT: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”.”
Peserta, Mohd Ridzuan Abd Ghani atau dikenali Coach Ridz berkata, beliau tertarik dengan pendekatan al-Quran untuk membawa legasi Soleh English.

“Dengan pendekatan rangka kerja Akademi Sinergi Ikhlas ini, saya dapat mengintegrasikan ilmu bumi dan ilmu langit melalui Modul Soleh English yang diperkenalkan untuk kanak-kanak, guru dan pengusaha tadika.
“Saya tertarik dengan struktur cara berfikir dan konteks yang disampaikan oleh Fazrul bagi merungkaikan ayat al-Quran dalam pelbagai aspek. Membawa mesej al-Quran sangat besar dan luar biasa. Ia mungkin mengambil masa untuk memberi kefahaman al-Quran kepada semua orang.
Peserta, Ustazah Nur Hanisah Mohd Nor Afandi, Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Pahang dan Perunding Motivasi Aura Imtiyaz Training and Consultancy berkata, pengisian TOT hari ini memfokuskan cara penyampaian dakwah dengan al-Quran sebagai panduan kehidupan.

“Saya melihat ujian wabak Covid-19 membuka hikmah kepada masyarakat untuk mendekati al-Quran, melalui My #QuranTime. Inilah masa terbaik untuk kita turun ke lapangan dengan membawa kembali masyarakat kepada al-Quran. Harapan saya semoga usaha yang murni ini menjadi amal soleh yang diterima ALLAH SWT,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Siti Mardhiyah Kamal Azhar pertama kali menyertai program TOT Akademi Sinergi Ikhlas.
“Saya boleh berkongsi ilmu mengikut kerangka al-Quran tersebut kepada pelajar untuk disampaikan kepada masyarakat. Apa sahaja masalah dalam masyakat hari ini hendaklah dibawa kembali kepada sumber al-Quran dan Sunnah.
“Sebenarnya masyarakat hendakkan al-Quran, tetapi mungkin mereka tidak nampak atau tidak tahu cara untuk mendapatkannya. Dengan adanya TOT Akademi Sinergi Ikhlas, ia boleh melahirkan para pendidik dalam pelbagai bidang yang membawa al-Quran kepada masyarakat,” katanya.