“Masalah hutang, hilang sumber pendapatan dan keguguran zuriat dalam kandungan hampir membuatkan saya hampir hilang arah.”
Demikian kata Liza Mohd Sani, 37, dari Kepong antara golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Beliau berkongsi kisah di program Talian Jiwa, bersiaran di Astro Oasis pada 12 Ogos 2021.
Namun beliau dapat menarik nafas lega apabila mendapat sumbangan RM2,500 melalui program tersebut yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama Astro Oasis dan Sinar Harian.
“Sumbangan tersebut saya gunakan untuk dijadikan modal berniaga makanan secara kecil-kecilan. Saya menerima tempahan nasi lemak untuk penghantara ke Kepong, Sri Sinar, Hartamas dan Mont Kiara.
“Pada masa sama, saya telah memohon beberapa tempat kerja untuk mendapat pendapatan yang stabil. Sebelum ini saya bekerja sebagai “personal shopper” dan menjadi tukang masak.
“Perancangan membuka gerai makan tidak kesampaian apabila rakan kongsi pulang ke kampung. Duit pinjaman sebanyak RM20 ribu dengan syarikat kewangan berlesen terpaksa ditanggung sendiri, sedangkan saya kehilangan sumber pendapatan.
“Ini kesilapan saya membuat pinjaman tanpa memberitahu suami. Syukur, suami saya yang bekerja sebagai pemandu lori dapat memberi nafkah dan menjaga keperluan keluarga.
“Saya menjadi tertekan kerana tidak mampu bayar hutan tersebut. Ditambah dengan kehilangan bayi dalam kandungan pada 19 Jun lalu. Selama sebulan saya hanya mengurung diri di rumah. Saya fikir tiada siapa yang boleh membantu.”
Di sebalik ujian tersebut, beliau sentiasa berdoa agar diberikan rezeki. Sebelum ini beliau ingin memohon bantuan daripada pihak berkaitan, namun kebanyakan pejabat tutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya terjumpa program Talian Jiwa di Facebook. Dari situ saya memohon dan permohonan diterima oleh pihak WUIF.
“Pengalaman lalu mengajar saya untuk bersangka baik kepada ALLAH SWT. Keyakinan saya terhadap rezeki ALLAH menjadi lebih kuat. Saya dapat melalu fasa kehidupan lebih baik pada hari mendatang.
“Sebelum ini, saya rasa mampu berdikari dan fikir sendiri, tanpa menharapkan orang lain. Sebenarnya dalam perkahwinan, kita perlu berkongsi dan berbincang dengan pasangan untuk mengelakkan beban tanggung sendiri.
“Sentiasalah kita bersangka baik kepada ALLAH. Apa pun kita buat, harapkan keredaan ALLAH SWT dan suami. Kini saya banyak menonton program keagamaan untuk menambahkan ilmu pengetahuan,” katanya.
Sesiapa yang ingin membantu Liza Mohd Sani, boleh salurkan sumbangan melalui akaun Maybank 164016980510.
Sementara itu, suri rumah, Mahadevi a/l Balachandran, 37, dari Rawang merasa terharu kerana dipilih menjadi penerima sumbangan RM2,500 melalui Talian Jiwa @ Astro Oasis pada episod yang sama.
Ibu kepada tiga anak ini mengakui pada awalnya, beliau yang bukan beragama Islam skeptikal untuk memohon bantuan melalui Facebook mengenai program yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas. Beliau terkejut apabila permohonan tersebut diluluskan oleh pihak penganjur.
“Saya sangat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan. Ia dapat mengurangkan beban kami untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sebelum ini, kami rasa buntu dan tertekan akibat kesempitan hidup.
“Suami saya, Justin Anthony a/l David, 37, hilang pekerjaan sebagai pemandu lori selepas terlibat kemalangan pada Jun 2020. Dia mengalami kecederaan pada pergelangan tangan. Walaupun belum pulih sepenuhnya, dia tolong kawan untuk buat kerja yang boleh mendapatkan sedikit kewangan.
“Dengan sumbangan yang diterima, saya dapat membeli barang runcit, susu dan lampin pakai buang anak. Kami dapat membayar hutang tertunggak seperti sewa rumah, bil elektrik dan air yang tertunggak sebanyak RM1,220.”
Mahadevi sebelum ini mengambil tempahan jambangan bunga, coklat dan duit untuk menambahkan pendapatan sampingan. Namun aktiviti tersebut terpaksa dihentikan kerana beliau mengalami penyakit sendi atau Arthritis pada jari tangan.
“Saya kini mendapatkan rawatan Arthritis di Hospital Selayang dengan harapan cepat sembuh. Jadi, bolehlah saya sambung bisnes kecil-kecilan dari rumah. Pesan suami, jika kita senang, perlu tolongan orang yang susah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Mahadevi, boleh salurkan sumbangan kepada beliau melalui akaun bank CIMB 7065341120
Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) dibawah Kumpulan Media Karangkraf telah mengambil inisiatif baru dengan mewujudkan program yang mengabungkan solusi daripada Al-Quran serta menyalurkan bantuan tunai dan lain-lain melalui program Talian Jiwa sejak Julai lalu.
Bergandingan dan bekerjasama dengan Sinar Harian dan Astro Oasis kepada semua penerima bantuan tanpa mengira kaum dan agama di kalangan golongan B40, M40 dan T20. Rancangan ini juga diterbitkan di platform media sosial FB dan Youtube, di kenali sebagai Soul Fitness Clinic setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat setiap jam 6.15 petang hingga 7.00 malam.
Kelainan yang ada pada program ini adalah sumbangan tunai yang diberikan adalah melalui sumbangan daripada orang ramai yang berterusan menderma di Tabung Gerakan Al Quran di bawah Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) yang telah dilancarkan sejak 8 tahun yang lalu.
Untuk maklumat lanjut boleh layari di https://www.facebook.com/BySoulFitness