Musim Pandemik Covid-19 membuka ruang baharu kepada peniaga makanan Azizah Akob dari Kepala Batas, Pulau Pinang untuk memfokuskan kelas mengaji secara dalam talian.
Ibu kepada anak dua ini mengakui kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang virus tersebut telah menyebabkan perniagaan kedai makanan terbantut.
“Saya kehilangan kesemua pekerja apabila kedai makan terpaksa ditutup sepanjang musim PKP. Ditambah dengan masalah kes Covid-19 meningkat di kawasan saya. Pada masa sama, bayaran sewa kedai, bil elektrik dan air tertunggak berbulan-bulan.
“Alhamdulillah dengan sumbangan RM2,500 ringgit melalui program Talian Jiwa pada 29 Julai 2021, saya dapat selesaikan semua bayaran tunggakan tersebut, dengan ditambah simpanan sendiri.

“Apabila saya hendak membuka semula kedai makanan, terdapat kekangan dari segi pengambilan pekerja baru, latihan, penggajian dan kos operasi. Selepas berbincang dengan suami, saya mengambil keputusan untuk berhenti berniaga selepas 10 tahun beroperasi.”
Bagaimanapun Azizah sedia menerima tempahan makanan yang disediakan dari rumah. Beliau bersyukur kerana suaminya kini kembali bekerja sebagai kontraktor dan menerima banyak permintaan pelanggan selepas musim PKP.

“Semasa kedai makan ditutup, saya aktif mengadakan kelas ngaji secara dalam talian melalui Rumah Ngaji Pulau Pinang. Ditambah dengan kata nasihat daripada guru ngaji saya untuk melihat sisi positif di sebalik ujian pandemik Covid-19.
“Walaupun mengajar ngaji tidaklah mendatangkan sumber pendapatan, tetapi saya mendapat kepuasan untuk membantu orang belajar al-Quran kerana ALLAH Taala,” katanya.