Sinergi Media Malaysia kembali bergabung untuk menjayakan Malaysia #QuranHour bagi tahun keenam yang akan diadakan pada 11 Muharram 1442H, bersamaan 30 Ogos 2020.
Seramai 20 orang dari pelbagai bidang pihak media, rakan sinergi dan penganjur menyertai Taklimat Sinergi Media sempena pelaksanaan Malaysia #QuranHour di Kumpulan Media Karangkraf Shah Alam, pada 17 Ogos 2020 bersamaan 27 Zulhijjah 2020.
Tema Malaysia #QuranHour 1442H/2020 adalah Malaysia Harmoni : Pembinaan 12 Personaliti ‘Ibadurrahman. Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini menyasarkan semua rakyat Malaysia di dalam dan luar negara.
Dalam melalui fasa Perintah Kawalan Pe rgerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan Covid-19 hari ini, Malaysia #QuranHour masih diteruskan dengan sokongan rakan sinergi utama untuk menyebarluaskan misi tersebut.
Taklimat Sinergi Media Malaysia disertai daripada pelbagai pihak media dalam bidang percetakan, penyiaran, digital dan sosial. Ini termasuk Astro, Kumpulan Media Prima, RTM, BERNAMA, TV Alhijrah, IKIMfm, Utusan Malaysia, Kosmo, Kumpulan NSTP (News Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro), Kumpulan Media Karangkraf (Sinar Harian dan Sinar TV) dan blogger, Denaihati Network.
Pada 30 Ogos 2020, empat stesen TV dan platform digital iaitu TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis, Sinar Harian dan Ideaktiv akan menayangkan program 1 Jam Berinteraksi dengan al-Quran, Baca, Faham dan Amal secara siaran langsung menjelang Zuhur, bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang hari tersebut.
Program dicetuskan WUIF di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Malaysia ini turut bekerjasama dengan rakan strategik iaitu Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia dan Rumah Ngaji.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pihak media diharapkan dapat menyebarluaskan dan memperbanyakkan pengisian mereka dalam mencapai misi mengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah.
“Saya berharap nilai-nilai al-Quran dapat membentuk sistem operasi diri sehingga lahir insan berbudi dan penyayang. #QuranHour bukan sekadar kempen, tetapi gerakan serentak di seluruh dunia untuk kita berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.
“Pihak kami telah mendapat kebenaran daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk bekerjasama dengan RTM dan Bernama, selain Astro bagi siaran langsung Malaysia #QuranHour dari Studio TV AlHijrah pada 30 Ogos ini. Semoga ALLAH mempermudahkan segala urusan.”
Sebelum itu, sesi taklimat tersebut dimulakan dengan bacaan al-Quran yang dibimbing oleh Ketua Penyelidik WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein. Beliau kemudian bertadabbur Surah Al-Rahman ayat 1 hingga 5; diikuti dengan Surah Al-Furqan ayat 63 hingga 77, dan sebuah hadis mengenai empat tindakan Rasulullah SAW ketika masuk Madinah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pada 13 Mei 2020 bersamaan 13 Ramadan 1441H, World #QuranHour mengangkat Surah Ar-Rahman bagi memperkenalkan ALLAH Ar-Rahman.
Manakala, siapakah ibadurrahmah atau hamba ALLAH Ar-Rahman? Malaysia #QuranHour tahun ini Surah Al-Furqan ayat 63 hingga 77 yang mengetengahkan 12 personaliti ibadurrahman untuk kita ikuti.
“Malaysia #QuranHour yang diadakan menjelang kemerdekaan ini disasarkan untuk semua rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara. Diharapkan mereka dapat mengikuti program berinteraksi dengan al-Quran yang bersiaran secara langsung bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada hari tersebut.
“Harapan saya, semoga kita semua dapat meninggalkan legasi mengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah menjelang 1500H.”
Malaysia #QuranHour pada tahun ini bertemakan Malaysia Harmoni: Pembinaan 12 Personaliti ‘Ibadurrahman. Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini mengetengahkan Surah Ar-Rahman (55:1-5); Surah Al-Furqan (25: 63 – 77), dan hadis mengenai empat tindakan Rasulullah SWT ketika masuk ke Madinah.
Surah Ar Rahman yang ditadabbur bersama ketika World #QuranHour 13 Mei lalu telah membawa kita kepada penghayatan 4 nikmat terbesar yang ALLAH SWT kurniakan iaitu nikmat al-Quran, nikmat komunikasi, nikmat keinsanan dan alam semesta. Penghayatan Surah Ar-Rahman, mengajak ummah membangkitkan syukur pada sekecil manapun nikmat yang dianugerahkan dan berlumba-lumba melakukan kebaikan agar keharmonian global dapat dicapai.
Menuju kemerdekaan negara kita, Malaysia yang ke 63, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama rakan-rakan strategik akan menganjurkan Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos 2020 bersama misi MengQURANkan Bangsa MengIKHLASkan Ummah dengan pembinaan 12 Personaliti ‘Ibadurrahman berteraskan Surah al Furqan :25 Ayat 63-77.
‘Ibadurrahman, menyedari kedudukannya di hadapan ALLAH SWT dan menjaga hubungannya sesama makhluk. Personaliti ‘Ibadurrahman adalah gambaran akhlak umat Rasulullah SAW yang mencapai kemuliaan di sisi ALLAH SWT. Seorang hamba kepada Ar Rahman melahirkan tindakan yang mengharmonikan sekitarnya dengan menyebarkan salam, memberi makan ,menyambung silaturahim dan bersolat malam ketika orang lain sedang tidur sebagai sumber kekuatan diri.
12 Personaliti ‘Ibadurrahman
- Tawadduk(QS 25:63) – Berjalan dengan rendah hati terhadap ALLAH SWT, penuh wibawa, sederhana
- Berbudi bahasa(QS 25:73) – Berkata yang elok dan baik sekalipun berkemampuan membalas celaan
- Mendirikan solat malam(QS 25: 64) – Berupaya menewaskan nafsu demi ketaatan dan meraih reda ALLAH SWT semata-mata
- Takut neraka(QS 25: 65) – Berkeyakinan bahawa setiap amalan akan dihisab dan diadilii di akhirat kelak
- Sederhana dalam membelanjakan harta(QS 25: 67) – Menguruskan harta sebagai amanah daripada ALLAH SWT dan membelanjakannya ke jalan yang dipandu dengan syariat
- Bertauhid(QS 25: 68-69)– Ikhlas dan meletakkan pengharapan kepada ALLAH SWT sebagai sumber ketenteraman jiwa dan tidak mempersekutukan-nya.
- Menjauhi pembunuhan dan menghormati kehidupan(QS 25: 68-69) – Menjaga kehormatan dan jiwa manusia dengan sabar dan reda atas segala ketetapan-Nya.
- Menjauhi zina(QS: 68-69) – Menjaga kesucian diri supaya terhindar daripada kehinaan terhadap dan masyarakat
- Taubat nasuha(QS 25: 70-71) – Penyesalan dengan kesungguhan yagn tidak hanya di lidah tetapi dibuktikan dengan iltizam melakukan kebaikan
- Tidak bersumpah palsu dan meninggalkan perbuatan yang tidak bermanfaat(QS 25: 72) – Elakkan menjadi saksi palsu dan hindari perbuatan buruk
- Menyelami ayat-ayat ALLAH (QS 25:73)– Sentiasa ambil peduli terhadap peringatan ALLAH SWT melalui al-Quran
- Memohon kebaikan untuk keluarga(QS 25: 74-77) – Sentiasa memohon agar dikurniakan keturunan yang menyejukkan hati.
Bermula 22 Julai 2020, 40 hari Islah menjadi ‘Ibadurrahman telah dilancarkan agar momentum perubahan dapat dilakukan setiap hari menuju Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos 2020. Usaha ini merupakan inisiatif agar bersama-sama kita pasakkan iltizam untuk menjadi ‘Ibadurrahman yang akan memacu transformasi peradaban dunia bermula dengan diri, keluarga, organisasi dan komuniti yang akhirnya menjadi asas kepada terbinanya sebuah tamadun umat dan Negara yang Berbudi dan Penyayang dibawah naungan keredhaanNya.
Usaha kempen #QuranHour tersebut diharapkan dalam merealisasikan “MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah”, seterusnya menjadikan negara merdeka yang makmur dan dirahmati ALLAH SWT.