Oleh SITI SARAH AMBOK DALEK
Tanggal 9 Oktober 2021, TickTalk TV dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya menganjurkan Program Soul Fitness For Teens Edisi Khas bertajuk “Remaja Minda Sejahtera Melakar Impian Mencapai Kejayaan”.
Program ini dilaksanakan bertujuan mengembalikan semula semangat dan membantu peserta dalam menguruskan cabaran emosi akibat norma pembelajaran dalam talian.
Seramai 179 pelajar tingkatan 1 dan 2 dari SMKA Putrajaya menyertai program ini secara dalam talian menerusi aplikasi ZOOM dan disiarkan secara langsung di Facebook TickTalk TV. Program ini telah berlangsung selama 3 jam, bermula dari jam 9 pagi hingga jam 12 tengah hari.
Program Soul Fitness For Teens dikendalikan oleh moderator, Muhamad Halim Zainudin yang juga merupakan Qari dan Host TickTalk TV bersama dua tetamu jemputan bagi mengisi dua sesi berbeza.
Di sesi pertama, Perunding Motivasi Aura Imtiyaz, Ustazah Hanisah Afandi memberi panduan dan bimbingan dalam menguruskan emosi berpandukan Surah Al-Kahf. Selain itu, beliau berkongsi formula kejayaan dan ibrah daripada surah yang sama.
Sementara itu, Kaunselor Berdaftar, Dr Rafidah Kastawi dalam sesi kedua mengendalikan Terapi Seni atau dikenali sebagai “Terapi Nurani REST Seni Ekspresif”. Sesi tersebut memfokuskan aktiviti fizikal yang melibatkan penggunaan peralatan dan bahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Modul dan terapi yang diperkenalkan dalam sesi ini adalah untuk membantu peserta mengenali kaedah atau teknik untuk mengawal emosi negatif. Terapi ini juga menjurus kepada alternatif yang sihat, iaitu melalui melakukan aktiviti melukis dan mewarna dalam menguruskan emosi.
Peserta, Muhammad Adam Haris, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya berkongsi hasil seni dan menggambarkan emosi, impian dan harapan beliau.
“Saya memilih warna merah, biru, dan hijau bagi menggambarkan emosi saya. Merah adalah hobi saya, biru melambangkan tahap sosial dan warna hijau melambangkan ketenangan saya.
“Sesi ini membantu saya untuk menenangkan dan mengawal emosi saya. Dengan melakukan aktitiviti seni ini, saya seorang sahaja memahaminya.
“Saya telah menetapkan beberapa tugasan kebaikan yang perlu dilakukan ke hadapan bagi mencapai impian saya.”
Di penghujung program tersebut, para peserta dihidangkan dengan permainan dalam talian melalui aplikasi Kahoot bagi menceriakan lagi suasana.
Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) SMKA Putrajaya, Suffian Abdul Karim dalam ucapannya berkata, pendekatan yang diperkenalkan dalam Soul Fitness For Teens amat bagu untuk diaplikasikan oleh peserta.
“Tajuk yang dibawa bertepatan dengan masalah yang dihadapi oleh golongan pelajar sekolah. Ini sedikit sebanyak memberikan motivasi dan hala tuju yang lebih jelas dengan pendekatan yang menyeronokkan,” katanya.
Yang Dipertua PIBG SMKA Putrajaya, Prof Madya Dr Nur Azwadi Che Sidek telah merasmikan penutupan program yang julung kali diadakan ini. Beliau melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada pihak penganjur atas kejayaan program ini.
“Program tersebut mampu merangsang minda peserta untuk menjadi lebih aktif terhadap emosi semasa yang dirasai. Semoga pengajaran dan motivasi dalam Surah Al-Kahf dan sesi Terapi Seni dapat membantu pelajar melihat potensi diri dan menempuh cabaran Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR),” katanya.
Bagi pihak sekolah atau sebarang organisasi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut program Soul Fitness, sila layari Facebook dan Instagram TickTalk TV. Jika anda berminat untuk berkolaborasi dalam program Soul Fitness, sila hubungi Muhammad (+6011-11828208), http://wa.me/601111828208 dan Syafira (+6019-4241780), http://wa.me/60194241780.