Oleh: FIKRATUL JAHRIYYAH ANUAR
Norma baharu menuntut komitmen pelajar untuk mengadaptasi pelbagai kaedah pembelajaran baharu selaras dengan perkembangan teknologi dan situasi semasa. Motivasi dan semangat belajar yang konsisten sangat diperlukan agar pelajar serta guru dapat meningkatkan kesan pengajaran dan pemudahcaraan secara hibrid demi kecemerlangan masa pendidikan negara.
Tanggal 14 Oktober 2021, TickTalk TV di bawah naungan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang telah menganjurkan Program Soul Fitness for Teens Edisi Khas dengan tajuk “Refleksi Surah Al-Kahfi: Membina Semangat Belajar dan Motivasi Belajar”.
Program yang berlangsung pada jam 8.45 malam hingga 11.15 malam ini berjaya mengumpulkan seramai 286 orang pelajar dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.
Aplikasi Zoom menjadi medium utama bagi menjayakan program tersebut selain turut disiarkan secara langsung di Facebook TickTalk TV. Matlamat utama program ini dilaksanakan adalah sebagai salah satu usaha untuk menyuntik semangat belajar dalam diri para pelajar untuk kembali ke sekolah setelah hampir dua tahun menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sesi pertama program dimulakan dengan suntikan semangat oleh Perunding Motivasi Aura Imtiyaz, Ustazah Hanisah Afandi melalui pendedahan terhadap Surah Al-Kahf. Formula kejayaan yang diperoleh melalui surah tersebut boleh diaplikasikan oleh para pelajar untuk menambah baik gaya pembelajaran serta memupuk kembali semangat belajar dalam diri masing-masing.
Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan tips menyediakan jadual harian pelajar cemerlang sebagai manual untuk menggapai kejayaan dalam pelajaran serta kehidupan.

Kaunselor Berdaftar, Dr Rafidah Kastawi memenuhi sesi kedua program dengan modeliti Terapi Seni yang turut dikenali sebagai “Terapi Nurani REST Seni Ekspresif”. Sesi tersebut memfokuskan kepada pendekatan alternatif yang digunakan untuk menggalakan luahan emosi dan perasaan dengan mengaplikasikan model seni seperti melukis dan mewarna dengan tujuan untuk membantu proses penyembuhan emosi para pelajar.
“Terapi seni sangat membantu dalam menguruskan emosi untuk menjadi lebih sihat, kaya, bahagia dan berjaya.”
Pelajar dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Nur Aliah Syahirah Mohd Shahrulafizi, 13, menggambarkan sesi Terapi Seni sebagai satu aktiviti yang dapat menenangkan dirinya.
“Apabila melakukan aktiviti Terapi Seni, saya berasa lebih tenang dan dapat menikmati proses semasa menyiapkan bulatan impian tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, pihak penganjur menceriakan lagi program ini dengan mengadakan aktiviti secara dalam talian melalui aplikasi Kahoot. Para pelajar yang berjaya mendapat tempat dalam aktiviti tersebut memenangi hadiah lumayan yang diperuntukkan oleh pihak sekolah.
Program yang berlangsung selama 2 jam 30 minit ini turut mendapat sokongan daripada barisan pentadbiran serta Unit Bimbingan dan Kaunseling SMAP Kajang.
Pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Tuan Haji Ahmad Shafrin Abdul Aziz menzahirkan perasaan gembira dan berpuas hati dengan anjuran program yang buat julung kali diadakan bersama sekolahnya dalam ucapan perasmian program.
“Tajuk program ini sangat menarik dan jarang dibincangkan. Kebiasaannya, “fit” atau cergas dikaitkan dengan keadaan fizikal. Namun kali ini ia dikaitkan dengan jiwa yang cergas dan hebat.
“Saya berasa sangat bertuah kerana sekolah ini terpilih untuk mengikuti program sebegini. Semoga para pelajar dapat memahami dan mengamalkan apa yang disampaikan oleh penceramah yang diiktiraf kehebatannya,” katanya.
Tirai program dilabuhkan dengan alunan sepuluh ayat terawal dan sepuluh ayat terakhir daripada Surah Al-Kahf oleh Hos Program Soul Fitness for Teens Edisi Khas, Muhamad Halim Zainudin.
Bagi pihak sekolah atau sebarang organisasi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program Soul Fitness, sila layari Facebook dan Instagram TickTalk TV. Jika anda berminat untuk berkolaborasi dalam program Soul Fitness, sila hubungi Muhammad (+6011-11828208), http://wa.me/601111828208 dan Syafira (+6019-4241780), http://wa.me/60194241780