“Surah Ar-Rahman mengajak kita untuk mengenal ALLAH yang Maha Pengasih, iaitu Ar-Rahman. ALLAH SWT tidak pernah memilih kasih kepada semua makhluk-Nya yang beriman mahupun tidak.”
Demikian kata Pengasas dan Master Trainer Metode Quantum Reading al-Quran (QRQ), Ustaz Abu Rabbani dalam sesi Tadabbur di Putrajaya Dhuha Cruise #QuranHour 12.0 pada 14 November 2019.
Beliau menambah, mungkin ada yang mengatakan ALLAH tidak adil. Sedangkan begitu banyak nikmat ALLAH SWT sehingga tidak terhitung.

“ALLAH SWT tidak pernah mengurangkan nikmatnya atau memutuskan rezeki kepada hamba-Nya walaupun ada kalangan mereka tidak taat dengan perintah-Nya. Contohnya udara yang dihirup tanpa batasan untuk kita hidup.”
ALLAH SWT berfirman: “Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sesungguhnya, ALLAH benar-benar Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Nahl: 18)
Al-Quran merupakan nikmat tertinggi yang ALLAH anugerahkan kepada hamba-Nya, sebagaimana disebut dalam Surah Ar-Rahman ayat 2. Kehidupan kita berbahagia di di dunia dan di akhirat dengan berpandukan kepada al-Quran dan Hadis.
Rasulullah SAW bersabda: “Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara, sekali-kali kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitabullah (AlQuran) dan sunnah Rasulullah SAW”. (Riwayat Imam Malik)

Sebelum itu, Abu Rabbani berkongsi kaedah QRQ kepada 60 peserta Putrajaya Dhuha Cruise #QuranHour di atas Cruise Putrajaya pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
“QRQ merupakan kaedah mudah membaca al-Quran secara tartil dalam masa tiga jam di bawah program Excellence Training QRQ.
“Bacaan al-Quran secara tartil meliputi konsisten membaca harakat (Mad dan Ghunnah), fasih pengucapan huruf (makhraj dan sifat), memahami waqaf, ibtida’ dan ayat-ayat gharibah (ayat-ayat khusus dan istilah dalam al-Quran).
“Kaedah QRQ mampu mendorong orang ramai untuk mempelajari al-Quran, seterusnya membaca, memahami dan mengamalkannya sehingga berasakan tidak lengkap hari yang dilalui tanpa membaca al-Quran,” katanya.
Seawal 8.30 pagi, peserta berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk bersarapan pagi dan menunaikan solat Dhuha berjemaah. Mereka kemudian pergi ke jeti Umai Cafe untuk menaiki cruise di bawah pengendalian Marina Putrajaya Sdn Bhd untuk perjalanan kerohanian. Program berinteraksi dengan al-Quran ini dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin memberi pengalaman perjalanan kerohanian kepada peserta.
