Oleh: AMIRAH AUNI BINTI ALIMAR SHIDI
Ibu kepada lapan anak menjadi buntu apabila suami diberhentikan kerja dan mengakibatkan hilang sumber pendapatan. Siti Fatimah Bawa Maidin dari Seremban berkongsi kisah cabaran hidup kesan pandemik Covid-19 dalam program Soul Fitness Clinic Episod 9.
“Dalam tempoh tiga bulan, kami dalam keluarga besar sudah rasa terbeban dengan masalah kewangan. Ini termasuk sewa rumah, bil air dan elektrik tertunggak. Kami hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Saya bersyukur kerana keluarga dan sahabat handai sudi menghulurkan bantuan. ALLAH Ar-Razzaq mencukupi rezeki hamba-Nya. Inilah menguatkan hati saya sekeluarga dengan menjaga hubungan ALLAH termasuk solat sunat dan zikir.”
Rezeki tidak salah alamat. Siti Fatimah mendapat pekerjaan yang boleh menampung kehidupan keluarga. Bagi beliau, pengalaman hidup dalam kesusahan menyedarkannya bahawa dalam rezeki kita, pasti terselit juga rezeki orang lain.
Orang ramai yang ingin membantu Siti Fatiman, boleh menyumbang terus ke akaun Maybank 155171155209.
PERLUKAN MODAL UNTUK MULA BERNIAGA
Ibu tunggal kepada seorang anak, bercerai muda ketika usianya 23 tahun. Tanpa pekerjaan dan sokongan orang terdekat, beliau rasa amat mencabar dari segi mental dan fizikal termasuk membesarkan anak yang berusia 8 tahun.
Orang yang dimaksudkan ialah Nor Atiqah Mohd Amir dari Kota Tinggi, Johor merupakan pemanggil Soul Fitness Clinic Episod 19.
Beliau kehilangan pekerjaan semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini menyebabkan bayaran sewa rumah tertunggak dan terpaksa memohon bantuan kewangan daripada keluarga terdekatnya.

“Saya pernah mencari kerja di kedai makan dan mengambil upah mengemas rumah untuk mencari pendapatan. Selain itu, saya berniaga kek batik. Namun disebabkan perniagaan secara dalam talian tiada sambutan, saya terpaksa menjualnya secara offline sahaja.
“Sebanyak RM2,000 diperlukan untuk saya bagi modal berniaga, bayaran sewa rumah yang tertunggak, serta kelangsungan hidup bersama anak.”
Orang ramai boleh salurkan bantuan kepada Nor Atiqah ke akaun Public Bank 6485458021
ISLAM BERI KEKUATAN UNTUK HARUNGI UJIAN HIDUP
Nikmat beragama Islam menjadikan Herlin Hussen lebih kuat semangat dalam melalui mehnah dan tribulasi kehidupan hari ini. Beliau yang memilih Islam sejak tiga tahun lalu berasal dari Sabah merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki.
Beliau bersama suami berniaga pakaian di pasar malam Cheras sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kini pendapatan mereka terjejas apabila perniagaan tersebut tidak beroperasi sepanjam musim PKP.
Pemanggil Soul Fitness Clinic sebagai suri rumah ini bergantung harap kepada suaminya yang kemudian bekerja sebagai pemandu Grab. Namun suaminya terpaksa membayar sewa kereta sebanyak RM50 setiap hari, selain menanggung bebanan hutang rumah sewa yang tertunggak berbulan-bulan.
“Saya dan suami berhasrat untuk berniaga makanan secara dalam talian sebagai inisiatif untuk keluar daripada kemelut kesusahan ini. Namun kami perlukan modal untuk memulakan perniagaan.”
Antara amalan yang menjadi penguat mereka ketika kesusahan adalah menjaga solat dan membaca Surah Yassin pada setiap malam Jumaat.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Herlin, boleh salurkan sumbangan ke Bank Simpanan Nasional 1211829000353441.