Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) N55 Dengkil menyokong Malaysia #QuranHour 1444H /2022 dengan memberi sumbangan RM3,000 bagi menjayakan penganjuran Malaysia #QuranHour 1444H/2022.
Pegawai Penyelaras DUN Dengkil, Hamidi A Hasan yang lantikan mewakili Kerajaan Negeri di peringkat DUN N55 berkata pihaknya bertanggungjawab melaksanakan pelbagai program Kerajaan Negeri dan memastikan isu kawasan dan masalah yang dihadapi penduduk ditangani terus oleh wakil kerajaan di sana.
“Kita teruja untuk turut sama menjayakan program Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos ini. Kita terpanggil untuk menyokong program yang baik ini, ditambah ia berdekatan dengan kawasan Dengkil.
“Pihak kami mempromosikan program tersebut dengan lebih meluas di kawasan Dengkil. Kita ada rangkaian yang boleh digunakan untuk mempromosikan dan menggalakkan masyarakat dalam menjadikan al-Quran sebagai panduan utama kehidupan kita.”
Beliau yang ditemani isterinya, Asiah Dahalan, telah menyerahkan cek sumbangan tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff di pejabat Yayas WUIF, Shah Alam, baru-baru ini.
Pasangan tersebut turut menyatakan menjadi peminat setia program My #QuranTime anjuran WUIF dan bersiaran di TV AlHijrah sejak Mac 2020.
Hamidi tertarik dengan Surah Al-Sajdah yang menjadi surah pilihan untuk dibaca, difahami dan dihayati pada Malaysia #QuranHour. Surah tersebut selalu dibacakan oleh imam pada pagi Jumaat.
“Dengan bertadabbur Surah Al-Sajdah, ia meningkatkan kefahaman dan penghayatan kita dalam solat. Panduan daripada surah tersebut dapat memperbaiki sikap kita sebagai pemimpin, ketua keluarga mahupun masyarakat daripada rasa sombong untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Malaysia #QuranHour kali ke 8 bertemakan “Malaysia bersujud: Keluarga Malaysia teguh”, sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 65 diadakan secara serentak di seluruh negara pada pukul 12 hingga 1 tengah hari, 30 Ogos 2022 bersamaan 2 Safar 1444H.
Untuk sertai Malaysia #QuranHour 1444H, sila daftar di https://bit.ly/RegMQH144H dan dapatkan bahan program tersebut di https://bit.ly/MQH2022.