MALAYSIA #QURANHOUR 1443H/2021 : SOLUSI DARIPADA ILAHI UNTUK KELUARGA MALAYSIA

Kuala Lumpur, 30 Ogos 2021 –  Lebih 10 ribu lokasi berdaftar di dalam negara dan 18 lakoasi di luar negara menyertai Malaysia #QuranHour tahun ke 7 yang berlangsung hari ini dari studio TV Al-Hijrah sebagai penyiar rasmi. Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amai ini membawakan solusi daripada Ilahi melalui Surah Al-Mulk dan 7 surah Musabbihat sebagai formula menuju Malaysia Berbudi dan Penyayang, menjelang Hari Kebangsaan 2021.

Sebahagian peserta sertai Malaysia #QuranHour 1443H/2021 secara online di platform Zoom.

Setiap tahun, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sebagai penganjur utama akan memilih satu surah utama bagi misi #QuranHour.  Pada tahun ini Surah Al-Mulk yang bermakna Kerajaan menjadi surah utama yang diangkat bagi membawa misi Malaysia Berbudi dan Penyayang.

World #QuranHour pada 6 Mei lalu memfokuskan kepada Surah Al-Mulk dengan pengisian tentang tiga perkara iaitu keberkahan, ingat mati dan terus melakukan kebaikan (Ahsanu Amal).

Bina Keluarga Malaysia

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, sasaran Malaysia #QuranHour adalah untuk rakyat Malaysia beragama Islam, di dalam dan luar negara kerana mereka adalah majoriti di dalam negara ini.

DATUK HUSSAMUDDIN YAACUB

 

“Lebih 20 juta orang beragama Islam daripada 32.7 juta rakyat Malaysia. Kita perlu bangkit menjadi model untuk merawat rakyat kerana bersama dengan kita ada Mukjizat luar biasa iaitu Al-Quran.

“Malaysia #QuranHour adalah seruan untuk berinteraksi dengan al-Quran selama satu jam sebagai permulaan sehingga lahir karakter Muslim sejati dengan panduan al-Quran.”

Tambah beliau, sebagai orang Islam, walau dalam apa keadaan sekalipun, seorang muslim tidak mengenal erti putus asa. Cabaran yang datang adalah peluang untuk kita terus menjadi lebih baik dan kental jiwa. Jiwa yang merdeka, meyakini bahawa selagi hidup, kita ada rezeki dan peluang yang ALLAH berikan untuk menguruskan kehidupan dan negara ini dengan lebih baik.

“Kualiti dan watak ini amat penting agar kita terubati dan bangkit membina negara tercinta ini. Semoga zikir dan solat  dapat membina karakter mantap warga Malaysia yang merdeka. Kita berharap rakyat dalam negara ini akan  dibentuk dengan nilai yang teguh dengan panduan al-Quran bagi membina Keluarga Malaysia.

Hussamuddin turut mengucap setinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas sokongan Malaysia #QuranHour dalam membina Keluarga Malaysia yang berbudi dan penyayang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program berinteraksi dengan al-Quran kali ini, kita terus meneroka formula daripada Surah Al-Mulk melalui tadabbur al-Quran dengan al-Quran, iaitu memahami panduan lanjut daripada tujuh Surah Al-Musabbihat sebagai formula kejayaan untuk negara ini.

PUAN MARHAINI YUSOFF

Surah Al-Musabbihat adalah surah yang dimulakan dengan tasbih, iaitu puji syukur kepada ALLAH. Surah terakhir dalam tujuh surah ini, Surah Al-A’la membawa makna Yang Paling Tinggi. Pada ayat 14 dan 15 dalam surah yang sama, ia membawa Solusi daripada Ilahi agar kita zikir dan solat.

“Pelaksanaan #QuranHour bagi dua tahun terakhir ini berlaku dalam musim pandemik Covid-19. Pada tahun ini, kes kematian yang tinggi berbanding tahun lepas, membuat kesedaran untuk hidup berQuran lebih bermakna lagi.

“Berita kematian saban hari semakin dekat dengan kita, ia membuatkan kita berasa amat dekat dengan perintah ingat mati daripada Surah Al-Mulk. Ia mendorong kita agar berusaha untuk melakukan kebaikan berterusan (Ahsanul Amala) dan menjadi motivasi untuk mencipta kejayaan,” katanya

Pada tahun ini hampir semua media utama seperti TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Harakah, Nu Ideativ, IKIMfm, Zayan FM News Straits Times Press (NSTP) dan Denaihati.com  terus menyokong pelaksanaan Malaysia #QuranHour.

Penaung bagi Malaysia #QuranHour 1443H/2021 adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi, iaitu Islamic Tourim Centre (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia (MAPAM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Malaysia Tourism Council, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.

Antara peserta yang mengikuti Malaysia #QuranHour 1443H secara online.

Peranan media

Marhaini berkata, Malaysia #QuranHour adalah sebuah produk Malaysia yang mana dari sinilah tercetusnya World #QuranHour ke peringkat dunia dan telah diadakan di lebih 300 lokasi di luar negara, mencapai 1.46 bilion capaian di media sosial pada tahun 2019.

“Peranan media amat besar dalam menjayakan misi berinteraksi dengan al-Quran ini. Ia sebagai pendekatan untuk melakukan perubahan kerangka fikir dan membina sebuah ekosistem Islam dalam semua aspek kehidupan.

“TV AlHijrah memainkan peranan besar di dalam merealisasikan hasrat kempen iaitu satu jam bersama al-Quran setiap hari melalui My #QuranTime setelah 5 tahun pelaksanaan Malaysia #QuranHour.

“Pada lima tahun awal, pelaksanaan kempen dijalankan dengan kerjasama erat bersama majlis agama negeri dan organisasi. Program tersebut diadakan secara fizikal dan berkumpul beramai-ramai di lokasi terpilih.

“Namun sejak dua tahun ini, fokusnya adalah setiap rumah dan organisasi dapat mengikuti melalui tayangan di TV Al-Hijrah, Astro Oasis, Bernama TV, RTM serta digital di FB Sinar, Bernama Radio, Radio IKIM, WorldQuranHour dan Denaihati Network serta ramai juga yang melakukan secara atas talian Google Meet, YouTube, Zoom dan Facebook.”

Program Malaysia #QuranHour yang bersiaran selama sejam ini menampilkan pentadabbur, Ketua Pegawai Penyelidik, WUIF, Fazrul Ismail dan tetamu jemputan Pensyarah Kanan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Farid Ravi Abdullah untuk memberi pengisian ilmu. Manakala bacaan Surah Al-Mulk dan 2 Surah Musabbihat dibimbing oleh Qari My #QuranTime, ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.

Dari kiri: Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Tuan Fazrul Ismail di set TV AlHijrah bagi program Malaysia #QuranHour 1443H pada 30 Ogos 2021.

Orang ramai juga berpeluang turut serta secara langsung Malaysia #QuranHour secara atas talian di platform Zoom. Mereka juga boleh saksikan juga di semua platform digital rakan media sinergi.

Sehingga jam 9 pagi ini, sebanyak 3548 lokasi berdaftar di dalam negara. Ini termasuk organisasi, Sahabah Al-Quran, Rumah Ngaji, sekolah dan individu. Antara agensi yang mendaftar ialah Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MAPAM) di semua perpustakaan negeri dan daerah di seluruh negara, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Penjara Malaysia (25 penjara), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Daerah dan sekolah seluruh negara, Bahagian Kanak-kanak di Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) termasuk 37 Institusi Kanak-kanak JKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, LPPKN dan Institut Sosial Malaysia.

Manakala sebanyak 18 lokasi berdaftar di luar negara dengan kerjasama Kementerian Luar Negara, Kedutaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di luar Negara. Negara yang turut serta termasuk Australia, Republik Czech, Brunei, Mesir, Jepun, Singapura, Ireland, Netherlands, Arab Saudi, Korea, Thailand, Oman, Indonesia, China, dan Taiwan.

LOKASI BERDAFTAR MALAYSIA #QURANHOUR 1443H/2021
Maklumat sehingga jam 4.40 petang, 30 Ogos 2021d
– Dalam negara :10,074 lokasi (organisasi, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran & individu)
– Luar negara : 18 lokasi

Antara lokasi berdaftar dalam negara
1. Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Malaysia (MAPAM): di semua perpustakaan negeri dan daerah di 14 buah negeri
2. Islamic Tourism Malaysia
3. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
4. Jabatan Penjara Malaysia : 25 penjara
5. Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah seluruh Malaysia
6. Bahagian Kanak-kanak JKM, Putrajaya serta 37 Institusi Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat seluruh Malaysia yang juga terbuka kepada seluruh kakitangan Kementerian Pembagunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, LPPKN dan Institut Sosial Malaysia.
7. Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk IPK dan IPD

Lokasi berdaftar di luar negara
1. Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia
2. Kedutaan Besar Malaysia di Prague, Republik Czech
3. Suruhanjaya Tinggi Malaysia Bandar Seri Begawan
4. Kedutaan Besar Malaysia Kaherah
5. Kedutaan Malaysia di Tokyo, Japan
6. Suruhanjaya Tinggi Malaysia Di Singapura
7. Kedutaan Besar Malaysia The Hague
8. Konsulat Jeneral Malaysia, Jeddah
9. Kedutaan Besar Malaysia, Seoul
10. Konsulat Jeneral Malaysia, Songkhla, Thailand
11. Kedutaan Besar Malawakil Beijing
12. Persatuan Pelajar Malaysia di Ireland
13. Pejabat Pendidikan Malaysia Indonesia,
14. Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia
15. University of Darussalam Gontor, Indonesia
16. Education Malaysia Beijing, China
17. MATRADE, Taipei, Taiwan
18. Kedutaan Besar Malaysia, Muscat, Oman

_____________________________________________________________________

INFO: YAYASAN WARISAN UMMAH IKHLAS

Bermula 2013, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang bernaung di bawah Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd menjalankan inisiatif untuk menjadikan al-Quran sebagai manual kehidupan.

WUIF memberi pendekatan melalui:

  1. Rumah Ngaji sebagai pusat pembelajaran al-Quran secara percuma
  2. Kempen #QuranHour (World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, Haramain #QuranHour, My Family #QuranHour)
  3. Sahabah al-Quran iaitu individu,keluarga atau organisasi sebagai ejen perubahan bersama visi membangun legasi akhlak al Quran

 

Terima Kasih

Mesej Anda telah berjaya di hantar

  1. WUIF memberikan ruang penyertaan kepada Sahabah AlQuran (SAQ) bersama menghadiri aktiviti-aktiviti di bawah anjuran WUIF.
  2. Kebenaran menyertai aktiviti WUIF adalah tertakluk kepada syarat bahawa SAQ tidak membawa agenda dan unsur-unsur yang menyentuh sensitviti masyarakat.
  3. WUIF tidak memberi jaminan bahawa sebarang penyertaaan SAQ bersamanya dalam apa-apa aktiviti akan mendapat sebarang liputan secara peribadi sama ada kepada individu mahupun kumpulan tertentu.
  4. WUIF akan berusaha memberi sokongan berupa bentuk placard, bookmark sama ada melalui softcopy ataupun bahan bercetak    sekiranya sesuai dan stok bahan-bahan publisiti tersedia semasa program-program yang dijalankan oleh pihak SAQ.
  5. WUIF mempunyai hak untuk berkongsi gambar-gambar SAQ yang menyertai aktiviti atau program bersama WUIF di mana-mana saluran media yang bersesuaian, yang WUIF mempunyai akses terhadapnya.
  6. Penyertaan wakil pihak WUIF dalam sebarang aktiviti SAQ (sekiranya berkaitan) adalah tertakluk kepada kesesuaian masa dan kelapangan wakil-wakil tersebut.
  7. Pihak WUIF mempunyai budibicara untuk berkongsi dengan mana-mana saluran media yang bersesuaian bahan-bahan serta perkongsian oleh SAQ di mana-mana saluran media.
  8. SAQ bersetuju akan menjalankan jalinan kerjasama dengan WUIF dengan membawa prinsip, visi dan misi yang berteraskan panduan al-Quran dan As-Sunnah.
  9. SAQ akan memberikan maklumbalas dan laporan kepada pihak WUIF      berdasarkan sebarang aktiviti dan/atau dapatan dari eksperimen sosial (jika berkaitan) yang dijalankan bertujuan membantumempertingkatkan kualiti penyampaian al-Quran kepada orang awam.
  10. SAQ akan sentiasa menjaga nama baik WUIF dalam setiap aktiviti yang dijalankan di samping berusaha mempamerkan nilai al-Quran di dalam setiap program dan/atau aktiviti yang dijalankan.
  11. SAQ bersedia menyelia dan bertanggungjawab terhadap setiap aktiviti yang dijalankan sama ada dengan atau tanpa kehadiran wakil daripada pihak WUIF.
  12. SAQ akan menjalankan aktivitinya tertakluk kepada kebenaran dan penambahbaikan yang akan dicadangkan oleh WUIF dari semasa ke semasa.
  13. SAQ tidak akan menggunakan bahan serta material yang dihasilkan oleh WUIF untuk sebarang tujuan komersil tanpa persetujuan dan/atau kelulusan pihak WUIF.
  14. SAQ hendaklah menghormati sebarang perjanjian dan/ atau persetujuan yang telah dijalinkan oleh WUIF dengan mana-mana pihak.
  15. SAQ bersedia untuk berbincang dan bekerjasama dengan WUIF pada bila-bila masa demi Misi MengQURANkan Bangsa MengIKHLASkan Ummah melalui berinteraksi dengan al-Quran Baca, Faham dan Amal.
  16. Selain daripada pautan sebagai rujukan dan panduan penganjuran program tahunan SAQ bersama WUIF, SAQ turut digalakkan untuk mendapatkan nasihat serta panduan sebelum menggunapakai nama-nama program yang dianjurkan oleh WUIF, supaya objektif perlaksanaan program oleh SAQ dapat dicapai secara optimum.
  17. Dalam keadaan di mana akad tersebut diingkari, pihak WUIF berhak meneruskan dengan tindakan-tindakan yang sewajarnya yang tidak terkecuali tindakan undang-undang bagi menghalang pengingkaran tersebut dari berterusan.