Malaysia #QuranHour kali ke 8 bertemakan “Malaysia bersujud: Keluarga Malaysia teguh”, sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 65 diadakan secara serentak di seluruh negara pada pukul 12 hingga 1 tengah hari, 30 Ogos 2022 bersamaan 2 Safar 1444H.
Surah Al-Sajdah menjadi surah pilihan bagi program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal tahun bagi membina karangka fikir dan karakter sebagai hamba yang bersujud dan berinfak.
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, misi Surah Al-Sajdah untuk melahirkan umat yang kaya jiwa dan nampak peluang untuk melakukan kebaikan, seterusnya membina negara Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur (Negeri yang baik dengan Rabb (Tuhan) yang Maha Pengampun).

“Ayat 15, 16, dan 24 dalam Surah Al-Sajdah memberi kerangka 5 S (Surah Al-Sajdah, Sombong, Sujud, Sedekah dan Sabar) iaitu Surah Al-Sajdah sebagai solusi bagi isu kesombongan dengan bersujud, bersedekah dan bersabar kepada pemimpin dan rakyat.
“Sifat sombong manusia boleh menyebabkan kehancuran demi kehancuran berlaku. Dengan bersujud kepada ALLAH SWT dan bersedekah, ia boleh membesarkan jiwa manusia.
“Ini selari dengan Surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30 yang bermaksud “Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku”.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Taklimat Sinergi Media sempena Malaysia #QuranHour yang diadakan di platform ZOOM hari ini (16 April 2022).
Malaysia #QuranHour di bawah naung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dianjurkan oleh WUIF dengan kerjasama rakan sinergi termasuk TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Nu Ideativ, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, Denaihati.com, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.
Sementara itu, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam perkongsiannya menyatakan penghargaan kepada rakan sinergi media yang memberi sokongan kepada kempen #QuranHour sejak 2015.

Menurut beliau, apa yang berlaku dunia sekarang berpunca kesombongan, tidak sujud dan tidak sabar sebagai pemimpin. Pemimpin semakin sombong, manakala pengikut menjadi taksub kepada manusia, dan bukan kepada ALLAH SWT.
“Ada yang mengambil jalan mudah dan singkat dengan mengambil rasuah secara berluasa dan melakukan pelbagai tipu helah untuk mencapai kekayaan.
“Program #QuranHour sebegini boleh memasakkan setiap surah ke dalam hati manusia. Jika nilai al-Quran dapat dimasukkan dalam sistem operasi diri, maka kita boleh buat keputusan berasaskan takwa.
“Kita boleh memerdekakan diri daripada kesombongan dan ketaksuban untuk menjadi orang yang bertakwa sebenar.
“Orang ramai dialu-alukan untuk sertai Malaysia #QuranHour yang boleh menimbulkan kesedaran untuk mendekati, mempelajari dan mencintai al-Quran. Apabila baca, faham dan amal al-Quran, seterusnya sebarkan kepada orang lain,” katanya.

TV AlHijrah merupakan penyiar rasmi bagi Malaysia #QuranHour 1444H. Pengurus Besar, Kejuruteraan dan Sokongan Penyiaran, TV AlHijrah, Suffian Yahya dan Pengurus Penerbitan, TV AlHijrah, Mohd Ashrudy Borhan berkongsi maklumat dengan rakan sinergi media yang ingin bersama menyiarkan program tersebut secara langsung mahupun di platform digital.
Rakan sinergi media yang ingin mendapatkan Live Feed Malaysia #QuranHour 2022 daripada TV AlHijrah boleh emelkan permohonan kepada Hafizal Ariffin (TV alHijrah) di email [email protected].
Orang ramai dijemput menyertai Malaysia #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya atau menganjurkan di lokasi masing-masing.
Untuk sertai Malaysia #QuranHour 1444H, sila daftar di https://bit.ly/RegMQH144H dan dapatkan bahan program tersebut di https://bit.ly/MQH2022.
Comments on Verse