Jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci turut berpeluang menyambut kempen Malaysia #QuranHour dengan mengadakan program berinteraksi dengan al-Quran di Dataran Masjidil Haram, Makkah pada 30 Ogos 2019.
Seramai 200 jemaah kalangan rakyat Malaysia menyertai aktiviti selama sejam yang dikendalikan oleh Pembimbing Jemaah Haji ( PIHTAS ) yang juga merupakan Penasihat Rumah Ngaji dan Pengasas NGO Alumni Haji Yayasan Amal Mabrur Malaysia iaitu Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar.
“Menariknya penganjuran tahun ini tidaklah secara rasmi seperti tahun-tahun sebelum ini, di mana ada kakitangan dari Yayasan Warisan Ummah Ikhlas khusus datangkan dari tanah Air serta berkerjasama dengan pihak Tabung Haji untuk mengadakan #QuranHour.
“Pada tahun ini disebabkan jiwa mencintai al-Quran, maka pihak kami telah merealisasikan program #QuranHour 1440H di Masjdil Haram.
“Bermula dengan komitmen syarikat swasta sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH), Juara Travel yang mencetuskan untuk mengadakan Malaysia #QuranHour, ia disambut baik oleh ratusan jemaah haji lain termasuk muasasah yang masih ada di Makkah,” katanya.
Beliau menambah, semua jemaah Haji yang menyertai program Malaysia #QuranHour di Tanah Suci adalah sebagai VIP tetamu Allah wafdullah yang mana doa mereka mudah dikabulkan Allah. Ini kerana mereka sedang bermujahadah melaksanakan rukun Islam terakhir serta menyantuni al-Quran dan memahaminya dengan bertadabbur di Tanah Mulia di bulan Mulia.
Jemaah memulakan program tersebut dengan melakukan tawaf sunat, solat sunat hajat untuk Malaysia dan solat Dhuha. Selepas itu, membaca beramai-ramai Surah Al-Kahf. Ia diikuti dengan sesi tadabbur Surah Al-Kahfi yang disampaikan dan ditutup dengan doa munajat buat Kesejahteraan Malaysia sebagai “Baldatun Toyyibatun Wa Robbun Ghafur”
Berkongsi ilmu mengenai kepentingan Surah Al-Kahf dalam kehidupan umat Islam, Ustaz Mohd Hasnil berkata, kita memerlukan cahaya iaitu An-Nur di dalam penghayatan hidup beragama, bahkan melebihi keperluan cahaya mentari di siang hari.
“Dengan cahaya ALLAH, maka hidup kita berpedoman serta dipandu dengan taufik dan hidayah-Nya. Kita perlu mengambil ibrah Surah Al-Kahf dalam menelusuri kehidupan mencabar di akhir zaman.
“Cabaran akhir zaman ini termasuk iman, harta, ilmu dan kuasa yang menyebabkan manusia mudah lupa dan lalai. Oleh itu, kita disarankan membaca Surah Al-Kahfi setiap Jumaat yang penuh berkah.
“Mudah-mudahan kita mendapat pertolongan ALLAH dalam kerja mujahadah dan jihad sepanjang hayat,” katanya.
Mengulas lebih lanjut ibrah Surah Al-Kahf, beliau berkata, surah tersebut mengandungi sejarah orang pemuda yang soleh tertindas di zaman pemerintahan Kuffar.
Namun keyakinan akidah yang tinggi serta pengorbanan yang ikhlas lagi suci, mereka telah mendapat pertolongan ALLAH dengan ditidurkan selama 309 tahun di dalam gua dan dihidupkan kembali di zaman pemerintahan Islam.
“Pengajarannya, Islam dan perjuangan Islam akan mendapat pertolongan ALLAH di dunia mahupun di Akhirat. Persoalan muhasabah sejauh mana kita berusaha untuk memenuhi pra syarat kemenangan itu, pasti ia bermula dengan ilmu dan kesedaran juga kepimpinan dalam hidup beragama.
“Jika perjuangan tersebut membawa kematian, ia mendapat mati syahid dan memperoleh kemuliaan terselamat dari siksaan kubur. Mereka dibangkitkan dengan darah perjuangan yang menjadi saksi. Jika dikurniakan kemenangan maka itu adalah janji-Nya bahawa Islam dan siyasah-Nya membawa Rahmatan Lil ‘alamin ; kebahagian buat Ummah dan dunia yang sangat dahagakan kedamaian yang membawa keredaan Ilahi.
“Panduan al-Kahf dalam mengisi erti kemerdekaan adalah memerdekakan diri dan keluarga dengan mensyukuri nikmat ALLAH SWT yang tidak pernah putus, memerdekakan diri daripada ketamakan dunia yang penuh tipu daya, serta memerdekakan diri daripada kepentingan peribadi kepada masyarakat secara berkongsi berakah,” ujarnya.