SHAH ALAM : Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan rakan sinergi media kembali bergabung di Majlis Taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 1444H di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 30 Mac 2023.
World #QuranHour sebagai kempen gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal akan diadakan di lokasi perdana Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 13 April 2023, bersamaan 22 Ramadan 1444H.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata objektif majlis tersebut adalah tanda kesatuan hati semua pihak media di negara ini untuk bersinergi dalam membawakan Misi Al-Quran, Surah Al Insan, untuk memanusiawikan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar.

Perjumpaan tahunan dalam kalangan rakan Sinergi Media Malaysia untuk menjayakan kempen #QuranHour telah bermula sejak tahun 2016 sempena penganjuran World #QuranHour yang julung kali diadakan ketika itu.
Antara rakan Sinergi Media yang bergabung dalam misi mengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah seperti Sinar Harian, Bernama, RTM, Astro Oasis, Astro Awani, Radio IKIM, Utusan TV, Utusan Malaysia, Nu Ideaktiv, Zayan FM, New Straits Time, Berita Harian, Harian Metro, TV3, Media Prima, TV9 dan Denaihati.com.
Program berinteraksi dengan al-Quran ini dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Tahun ini, Astro Oasis kembali sebagai penyiar utama bagi World #QuranHour untuk bersiaran secara langsung pada hari tersebut. Rakan media lain turut dialu-alukan untuk bersiaran serentak di platform masing-masing.
Sejak 2020 hingga 2022, TV AlHijrah menjadi penyiar utama #QuranHour dan bersiaran langsung dari studio TV AlHijrah dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya ketika negara dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid 19.
“Rakan Sinergi Media mengambil tanggungjawab kemanusiaan dengan menguar-uarkan kempen #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dalam mengimarahkan al-Quran yang menjadi panduan kehidupan manusia sejagat di platform media masing-masing.
“Gabungan media telah melahirkan impak perkembangan misi Baca, Faham, Amal al-Quran dari Malaysia ke seluruh dunia. Sehingga tahun 2022 capaian media sosial telah terkumpul sebanyak 3.46 bilion.
“Kesan dari sini juga banyak Rumah Ngaji dan Quran Corner dibuka bukan sekadar di Malaysia tetapi di Indonesia hingga Makkah dengan kaedah memahami isi al-Quran agar berlaku perubahan kerangka fikir dengan al-Quran.”
Kata beliau lagi, untuk tahun 2023, Surah Al-Insan telah dipilih dengan membawa tema “Memanusiakan Ummah” (Humanising the Ummah) melalui agenda Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the Nation serta Humanising the World dalam usaha merealisasikan misi masuk syurga sekeluarga.
Bagi mencapai misi Masuk Syurga Sekeluarga melalui panduan Surah al-Insan, terdapat dua perkara penting yang perlu diselaraskan dalam diri setiap umat manusia iaitu :
- Kerangka Fikir : Menyedari bahawa manusia adalah hamba ALLAH SWT (76 : 1 – 2)
- Sistem Operasi Diri (Self-Operating System) : Menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupan (76 : 3, 23)
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus, ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.” (Terjemahan Surah Al-Insan, 76:3)
Ayat 3 dalam Surah Al-Insan, ALLAH menjelaskan bahawa Al-Quran itu merupakan petunjuk dan panduan bagi orang-orang beriman. Justeru, kita perlulah berpegang teguh dan menjadikan al-Quran sebagai sistem operasi diri agar kita termasuk di dalam golongan hamba- Nya yang bersyukur dan bukan golongan yang kufur.
11 CIRI AL-ABRAR
Terdapat 11 karakter yang perlu dididik dalam diri seseorang untuk menjadi Insan berkebajikan (Al-Abrar). Ia mencakupi tanggungjawab manusia kepada ALLAH SWT dan tanggungjawab manusia sesama manusia seperti yang dijelaskan di bawah:
- Memenuhi nazar/janji kepada ALLAH SWT dan sesama manusia (76:7)
- Takut azab Allah SWT (76:7)
- Memberi makan apa yang disukainya (76:8)
- Ikhlas (76:9)
- Beriman kepada hari akhirat (76:10)
- Berpegang teguh dengan al-Quran (76:23)
- Sabar (76:24)
- Menahan diri daripada melakukan dosa (76:24)
- Menunaikan solat fardu (76:25)
- Menunaikan solat tahajjud (76:26)
- Bertasbih (76:26)
World #QuranHour kembali diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM sebagai lokasi perdana selepas tiga tahun, akibat pandemik Covid-19 sejak 2020. Pada masa sama, TV AlHijrah mengambil tanggungjawab untuk menjadi penganjur lokasi utama bagi program #QuranHour di studio TV AlHijrah.
Ini penting kerana penganjuran World #QuranHour pertama kali mendapat kerjasama rapat dengan UIAM termasuk alumni, pensyarah dan pelajarnya. Ia juga menjadi tapak mula gelombang al-Quran yang terus berkembang dari Malaysia ke seluruh dunia.
World #QuranHour menampilkan bacaan daripada qari, perkongsian tadabbur dan resolusi daripada Surah Al-Insan dari ayat 1 hingga 31. Dalam perkongsian tadabbur, para pendengar akan dibawa untuk menghayati mesej dari Surah Al-Insan dengan harapan ia dapat melahirkan insan al-Abrar yang ikhlas dan sabar dalam menunaikan hak ALLAH dan menunaikan hak sesama manusia sehingga kelak dilayan oleh ALLAH SWT di Syurga bersama seisi keluarga (Serve to be served).

Menurut Marhaini, Surah Al-Insan akan dipasakkan di beberapa momentum besar pada tahun 2023 ini bermula dengan World #QuranHour pada 13 April bersamaan 22 Ramadan 1444H, Arafah #QuranHour pada 9 Zulhijah, Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos dan World #QuranConvention pada 1 hingga 2 Disember dengan isi kandungan Al-Insan daripada sudut berbeza.
“Bagi mendapatkan mutiara daripada Surah Al-Insan untuk melakukan perubahan kerangka fikir dan terus menyerap dengan Surah Al-Insan ini, kami di WUIF bukan sahaja melibatkan pengkaji dalaman kami, tetapi juga asatizah di dalam dan luar negara.
“Kami komited untuk bukan sekadar membaca dan memahami Surah Al-Insan tetapi melakukan kajian demi kajian agar surah tersebut dapat dibumikan dalam keluarga, masyarakat, organisasi dan negara.
“Kami berharap misi Al-Insan ini menjadi misi bersama yang amat berharga untuk memanusiawikan manusia.”
Melalui jemputan UIAM, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah mengampuni perkenan untuk berangkat buat kali kedua ke program World #QuranHour.
Selain itu, tetamu yang menyatakan kehadiran pada World #QuranHour 1444H ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar; Rektor UIA, Prof Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris; dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad. Manakala, turut sama hadir daripada pihak kedutaan dari Turkiye, Libya, Yemen, Azerbaijan, dan Senegal.
Untuk bahan promosi World #QuranHour ini sila klik di: https://bit.ly/PROMOWQH1444H. Orang ramai yang ingin menjadi peserta World #QuranHour di lokasi perdana UIAM, boleh mendaftar di https://bit.ly/KEHADIRANWQH1444H2023.
Manakala mana-mana pihak termasuk individu, NGO, agensi kerajaan, swasta, dan usahawan dialu-alukan menganjur di lokasi masing-masing dan daftar hotspot di: https://bit.ly/HOTSPOTWQH2023
Antara rakan media yang hadir pada Majlis Taklimat Sinergi Media 2023 ialah:
1. Datuk Hussamuddin Yaacub, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Ikhlas (WUIF)
2. Datuk Muhammad Nasir Hamzah, Timbalan Pengerusi WUIF
3. Marhaini Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF
4. Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah
5. Ashwad Ismail, Ketua Pengarang Astro Awani
6. Nadirah Karim, Pengurus Saluran Astro Oasis
7. Khairunnisa Kamarulzaman, Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9
8. Maslina Alias, Pengurus Berita Radio IKIM
9. Suzliana Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
10. Muhamad Razlan Muhamad Zainy, Penerbit Rancangan RTM
11. Meen Tahrin, Editor Sinar Islam Plus
12. Ruwaida Md Zin, wakil Berita Harian/Harian Metro
13. Qaaf, wakil Majalah Nona
14. Khairah, wakil Sinar Daily
INFO: YAYASAN WARISAN UMMAH IKHLAS
Bermula 2013, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang bernaung di bawah
Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd menjalankan inisiatif untuk menjadikan al- Quran sebagai manual kehidupan. WUIF memberi pendekatan melalui:
- Rumah Ngaji sebagai pusat pembelajaran al-Quran secara percuma
- Kempen #QuranHour (World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, Haramain #QuranHour, My Family #QuranHour)
- Sahabah al-Quran iaitu individu,keluarga atau organisasi sebagai ejen perubahan bersama visi membangun legasi akhlak al-Quran
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour/.