LEBIH 1.3 BILION ORANG SERTAI WORLD #QURANHOUR 1444H,MISI SURAH AL-INSAN : MEMANUSIAKAN UMMAH

World #QuranHour kali ke 8 bertemakan Misi Surah Al-Insan: Memanusiakan Ummah yang diadakan serentak di seluruh dunia telah disertai oleh lebih 1.3 bilion orang sejak Januari 2023.

Sementara itu, lebih 6,000 peserta mengikuti program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada 22 Ramadan 1444H  bersamaan 13 April 2023.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah mengampuni perkenan untuk berangkat ke program World #QuranHour dan membaca al-Quran bersama peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, berkata tahun 2023, Surah Al-Insan menjadi surah pilihan bagi program #QuranHour di sepanjang tahun ini. Ia membawa tema “Memanusiakan Ummah” melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara dalam merealisasikan misi Masuk Syurga Sekeluarga  dipilih bertujuan menanamkan nilai memanusiawikan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar (orang berkebajikan).

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff

Ayat 3 dalam Surah Al-Insan, ALLAH menjelaskan bahawa al-Quran itu merupakan petunjuk dan panduan bagi orang-orang beriman. Justeru, kita perlulah berpegang teguh dan menjadikan al-Quran sebagai sistem operasi diri agar kita termasuk di dalam golongan hamba- Nya yang bersyukur dan bukan golongan yang kufur.

Bagi mencapai misi Masuk Syurga Sekeluarga melalui panduan Surah al-Insan, kita perlu membuat penyelarasan (Reset) mengubah kerangka fikir dengan menyedari  bahawa manusia adalah hamba ALLAH SWT (76:1-2); dan membentuk sistem operasi diri dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan. (76 : 3, 23)

Terdapat 11 karakter Al-Abrar perlu dididik dalam diri seseorang untuk menjadi Insan berkebajikan (Al-Abrar). Ia mencakupi tanggungjawab manusia kepada ALLAH SWT dan tanggungjawab manusia sesama manusia iaitu:

  1. Amanah – Menunaikan nazar/janji kepada ALLAH SWT dan sesama manusia (76:7)
  2. Takwa – Takut azab Allah SWT (76:7)
  3. Infak – Memberi makanan (76:8)
  4. Ikhlas – Tulus (76:9)
  5. Berorientasikan akhirat – Beriman kepada hari akhirat (76:10)
  6. Teguh – Berpegang teguh dengan al-Quran (76:23)
  7. Sabar – Kegigihan (76:24)
  8. Kawalan diri – Menahan diri daripada melakukan dosa (76:24)
  9. Taat – Menunaikan solat fardu (76:25)
  10. Bina jiwa – Solat Tahajjud (76:26)
  11. Syukur – Bertasbih (76:26)

Kempen gerakan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini bermula sejak 2015. Kini World #QuranHour menjadi jenama terkenal untuk mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.

Sejak pelaksanaan tahun 2016 hingga 2019, kita telah mencapai 3.89 bilion capaian di media sosial dan berada di 313  lokasi di luar negara selain lebih 3000 lokasi di Malaysia.

Kini World #QuranHour kembali diadakan secara secara fizikal di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM selepas tiga tahun diadakan dari Studio TV AlHijrah sebagai penyiar utama dan secara atas talian di platform QuranHour dan Sinar Harian ketika musim pandemik Covid-19 sejak 2020.

Program berinteraksi dengan al-Quran ini dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Antara rakan Sinergi Media yang bergabung dalam misi mengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah seperti Sinar Harian, Bernama, RTM, Astro Oasis, Astro Awani, Radio IKIM, Utusan TV, Utusan Malaysia, Nu Ideaktiv, Zayan FM, New Straits Time, Berita Harian, Harian Metro, TV3, Media Prima, TV9 dan Denaihati.com.

Tahun ini, Astro Oasis kembali sebagai penyiar utama bagi World #QuranHour di lapangan untuk bersiaran secara langsung pada hari tersebut. Rakan media lain termasuk TV9, TV AlHijrah, RTM dan Bernama turut bersiaran serentak di platform masing-masing.

World #QuranHour 1444H menampilkan bacaan daripada qari , perkongsian tadabbur dan resolusi daripada Surah Al-Insan dari ayat 1 hingga 31. Dalam perkongsian tadabbur, para pendengar akan dibawa untuk menghayati mesej dari Surah Al-Insan dengan harapan ia dapat melahirkan insan al-Abrar yang ikhlas dan sabar dalam menunaikan hak ALLAH dan menunaikan hak sesama manusia sehingga kelak dilayan oleh ALLAH SWT di Syurga bersama seisi keluarga (Serve to be served).

Sesi bacaan Surah Al-Fatihah dibimbing oleh Qari Syeikh Hasan Abdul Ghani Abu Sittah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Baqarah oleh Ustaz Abdul Khiar Jalil. Barisan qari yang membimbing Surah Al-Insan ialah Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Ustaz Amirahman Abas, Syeikh Rami As Sousi (Palestin), Muhammad Harith Hakimi Mohd Rostan dan Ustaz Husaini Mahmur. Sesi tadabbur disampaikan oleh Tuan Fazrul Ismail, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Ustaz Syaari Ab Rahman.

Program yang berlangsung selama sejam itu menampilkan Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin (UNIC) dan Hifdzi Zaim Zamri sebagai hos. Manakala, CR Azlina Mohamad Isa menjadi jurubahasa isyarat bagi World #QuranHour dan bacaan ikrar oleh Amin Idris.

Peserta ikuti bacaan ikrar World QuranHour : Surah Al-Insan

Menurut Marhaini, Surah Al-Insan akan dipasakkan di beberapa momentum besar pada tahun 2023 ini bermula dengan World #QuranHour pada 13 April bersamaan 22 Ramadan 1444H, Arafah #QuranHour pada 9 Zulhijah, Malaysia #QuranHour pada 30 Ogos dan World #QuranConvention pada 1 hingga 2 Disember dengan isi kandungan Al-Insan daripada sudut berbeza.

“Nilai Al-Abrar di dalam Misi Al-Insan ini semoga menjadikan kita manusia berkebajikan yang mampu bersama membangunkan agama dan negara ini. Kami berharap misi Al-Insan ini menjadi misi bersama yang amat berharga untuk memanusiawikan manusia.”

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam sidang media selepas program World #QuranHour berkata ia merupakan kejayaan yang besar selepas kita berehat tiga tahun secara fizikal program tersebut diadakan akibat penularan Covid-19.

Datuk Hussamuddin Yaacub, Pengasas WUIF

“Sebenarnya World #QuranHour merupakan kempen untuk melonjakkan sebuah gerakan mengQurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah. Kita berharap dengan ada gelombang al-Quran, semua orang bergabung di seluruh dunia membaca surah yang sama dalam masa yang sama secara serentak.

“Pada masa sama, timbul kesedaran ummah untuk membina tabiat berinteraksi dengan al-Quran sejam setiap hari. Ini terbukti dengan program My #QuranTime 1.0 semasa Covid-19, selama 838 hari setiap hari program tersebut diikuti secara istiqomah oleh jutaan penonton.

“Sekarang My #QuranTime 2.0 bersiaran di TV9,  disusuli oleh Astro Oasis, RTM dan TV AlHijrah. Kita harap tabiat berinterakasi dengan al-Quran berterusan. Harap lonjakan #QuranHour lebih tinggi pada tahun hadapan.”

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar;  Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff; Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman; Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak; Timbalan Pengerusi WUIF, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengerusi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Firdaus Hussamuddin; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhammad; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro, Syafiq Abdul Jabbar; wakil penaja Wardah & Kahf, Karina dan Wanda. 

Antara tetamu khas lain yang turut serta adalah kedutaan dari Yaman, Uzbekistan, Iran, Bosnia dan Herzegovina, Senegal, Azerbaijan, Libya dan Turkiye.

Tetamu daripada wakil media ialah Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi; Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman Pengurus Besar, Program dan Kandungan Penyiaran TV9; Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim, Pengurus Kandungan Radio ZAYAN, Astro Radio Sdn Bhd, Wan Syahrul Amry Wan Mansor; Pengarah Transformasi Kumpulan Astro, Thariq Ziad Adnan; Pengarah Pemasaran Kumpulan Astro, Norsiah Juriani Johari; dan Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad. Seleberiti yang hadir memberi sokongan ialah Ashraf Muslim, Faizal Ismail (ZAYAN) dan Major 9.

Tahun ini,  World #QuranHour mensasarkan 1.6 bilion capaian media sosial bagi #QuranHour dari seluruh dunia. Oleh itu WUIF mengambil inisiatif untuk mengadakan dua pecutan akhir untuk membawa gelombang al-Quran, Misi Surah Al-Insan kepada orang ramai.

Pihak WUIF telah menganjurkan Agihan 1000 bungkus Roti & Mesej Al-Insan kepada pelajar UIAM dan penduduk sekitar Gombah pada 19 Ramadan 1444H bersamaan 10 Mac 2023; Penyerahan 11 Panji-panji Insan Al Abrar (berkebajikan) dari rakyat kepada pemimpin oleh 100 penunggang motosikal dari UIAM ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Tahun ini dalam sejarah, empat stesen televisyen iaitu Astro Oasis, TV9, TV AlHijrah, RTM dan Bernama TV menyiarkan siaran langsung World #QuranHour pada 12 hingga 1 tengah hari, 22 Ramadan 1444H bersamaan 13 April 2023. Sehingga 18 April 2023, sebanyak 5614 lokasi tempatan dan 239 lokasi di 29 negara mendaftar untuk menganjurkan World #QuranHour 1444H.

 

Terima Kasih

Mesej Anda telah berjaya di hantar

  1. WUIF memberikan ruang penyertaan kepada Sahabah AlQuran (SAQ) bersama menghadiri aktiviti-aktiviti di bawah anjuran WUIF.
  2. Kebenaran menyertai aktiviti WUIF adalah tertakluk kepada syarat bahawa SAQ tidak membawa agenda dan unsur-unsur yang menyentuh sensitviti masyarakat.
  3. WUIF tidak memberi jaminan bahawa sebarang penyertaaan SAQ bersamanya dalam apa-apa aktiviti akan mendapat sebarang liputan secara peribadi sama ada kepada individu mahupun kumpulan tertentu.
  4. WUIF akan berusaha memberi sokongan berupa bentuk placard, bookmark sama ada melalui softcopy ataupun bahan bercetak    sekiranya sesuai dan stok bahan-bahan publisiti tersedia semasa program-program yang dijalankan oleh pihak SAQ.
  5. WUIF mempunyai hak untuk berkongsi gambar-gambar SAQ yang menyertai aktiviti atau program bersama WUIF di mana-mana saluran media yang bersesuaian, yang WUIF mempunyai akses terhadapnya.
  6. Penyertaan wakil pihak WUIF dalam sebarang aktiviti SAQ (sekiranya berkaitan) adalah tertakluk kepada kesesuaian masa dan kelapangan wakil-wakil tersebut.
  7. Pihak WUIF mempunyai budibicara untuk berkongsi dengan mana-mana saluran media yang bersesuaian bahan-bahan serta perkongsian oleh SAQ di mana-mana saluran media.
  8. SAQ bersetuju akan menjalankan jalinan kerjasama dengan WUIF dengan membawa prinsip, visi dan misi yang berteraskan panduan al-Quran dan As-Sunnah.
  9. SAQ akan memberikan maklumbalas dan laporan kepada pihak WUIF      berdasarkan sebarang aktiviti dan/atau dapatan dari eksperimen sosial (jika berkaitan) yang dijalankan bertujuan membantumempertingkatkan kualiti penyampaian al-Quran kepada orang awam.
  10. SAQ akan sentiasa menjaga nama baik WUIF dalam setiap aktiviti yang dijalankan di samping berusaha mempamerkan nilai al-Quran di dalam setiap program dan/atau aktiviti yang dijalankan.
  11. SAQ bersedia menyelia dan bertanggungjawab terhadap setiap aktiviti yang dijalankan sama ada dengan atau tanpa kehadiran wakil daripada pihak WUIF.
  12. SAQ akan menjalankan aktivitinya tertakluk kepada kebenaran dan penambahbaikan yang akan dicadangkan oleh WUIF dari semasa ke semasa.
  13. SAQ tidak akan menggunakan bahan serta material yang dihasilkan oleh WUIF untuk sebarang tujuan komersil tanpa persetujuan dan/atau kelulusan pihak WUIF.
  14. SAQ hendaklah menghormati sebarang perjanjian dan/ atau persetujuan yang telah dijalinkan oleh WUIF dengan mana-mana pihak.
  15. SAQ bersedia untuk berbincang dan bekerjasama dengan WUIF pada bila-bila masa demi Misi MengQURANkan Bangsa MengIKHLASkan Ummah melalui berinteraksi dengan al-Quran Baca, Faham dan Amal.
  16. Selain daripada pautan sebagai rujukan dan panduan penganjuran program tahunan SAQ bersama WUIF, SAQ turut digalakkan untuk mendapatkan nasihat serta panduan sebelum menggunapakai nama-nama program yang dianjurkan oleh WUIF, supaya objektif perlaksanaan program oleh SAQ dapat dicapai secara optimum.
  17. Dalam keadaan di mana akad tersebut diingkari, pihak WUIF berhak meneruskan dengan tindakan-tindakan yang sewajarnya yang tidak terkecuali tindakan undang-undang bagi menghalang pengingkaran tersebut dari berterusan.