SETIAP minggu, kita diingatkan oleh para khatib untuk bertakwa kepada ALLAH SWT. Takwa menjadi pengikat hubungan kita kepada ALLAH SWT dengan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah mati kecuali dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran: 102).
Ayat di atas mengingatkan kita membina takwa yang sebenar-benar dan jangan mati kecuali dalam keadaan menyerah diri mengikut peraturan ALLAH SWT.
Khutbah Jumaat Sinar Al-Jumu’ah siri 1 yang bertajuk “Tasbih dan Kematian”, disampaikan oleh Khatib Tuan Haji Fazrul Ismail yang juga Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di Surau Karangkraf, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 5 Januari 2024.
Menurut beliau, perkara paling ditakuti manusia adalah mati. Ada yang berasa gerun mendengar kematian berkaitan kubur dan kain kapan.
ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Sebenarnya maut yang kamu larikan diri itu, tetaplah ia akan menemui kami, kemudian kamu akan dikembalikan kepada ALLAH SWT yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Surah Al-Jumu’ah: 8)
Untuk memastikan kita bersedia pada tahun baharu, 2024 dengan kematian pada bila-bila masa, ALLAH menyediakan panduan untk memastikan kita tidak takut dengan banyakkan bertasbih. Semua makhluk di langit dan di bumi bertasbih, memuji kesempurnaan ALLAH SWT.
Hati yang kosong tasbih akan mudah dimasuki ‘hantu’ dalam bentuk kegelisahan dan ketakutan. Dengan bertasbih hati kita menjadi kuat, teguh dan tidak mudah terpengaruh kepada cabaran dunia. Setiap hari, kita diberi peluang untuk bertasbih paling kurang lima kali sehari semasa solat. Rukuk dan sujud adalah saat kita memuji ALLAH, mengingat kekuasaan dan kebesaran-Nya
ALLAH SWT berfirman: “Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi sentiasa bertasbih kepada ALLAH. Yang Maha Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Surah Al-Jumu’ah: 1)
Dalam ayat yang sama ini, ALLAH SWT memperkenalkan diri-Nya sebagai Al-Malik, Al-Quddus, Al-Aziz dan Al-Hakim — Tuhan yang Memiliki, yang Maha Suci, Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. Dengan nama-nama ALLAH, kita lebih bersedia menghadapi detik-detik menakutkan seperti kematian dan ujian kehidupan.
Apabila kita takut, ia biasanya disebabkan oleh ketidaktahuan. Sama seperti takut kepada sesuatu yang tidak kita nampak. Tetapi jika kita tahu dengan jelas tentang akhirat, tentang kehidupan selepas kematian, kita tidak akan mudah gentar. ALLAH SWT telah memberi kita panduan untuk menghadapi kematian dengan ketenangan melalui zikir dan tasbih. Inilah mesej yang sentiasa disampaikan dalam khutbah setiap minggu agar kita sentiasa mengingat ALLAH dalam setiap langkah kehidupan kita.
Jadikan setiap tahun sebagai langkah mendekatkan diri kepada ALLAH. Lebih banyak bertasbih, lebih banyak mengingati kesempurnaan-Nya, dan dengan itu hati kita akan kuat. Apabila kita menghadapi ujian atau cabaran, kita tidak lagi bersandar sepenuhnya kepada manusia atau keadaan, tetapi kepada Tuhan yang Maha Sempurna.
“Ya ALLAH, bantulah kami untuk sentiasa mengingati-Mu, untuk sentiasa menguatkan ibadah kami kepada-Mu. Bantulah kami untuk memperbaiki diri kami. Ya ALLAH, Engkau yang Maha Sempurna, jangan tinggalkan kami dan pimpinlah kami menuju kehidupan yang diberkati. Amin”
Dalam kehidupan yang penuh cabaran dan ujian ini, kita sering mencari jalan untuk memperoleh ketenangan dan kekuatan. Sebagai seorang Muslim, kita dianjurkan untuk sentiasa memohon kepada ALLAH SWT dalam setiap keadaan.
ALLAH SWT berfirman: “Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku, akan aku masukkan mereka ke Neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir: 61)
Ini merupakan janji ALLAH yang mendengar doa hamba-hamba-Nya. Ia merupakan talian hayat terutama bagi pemimpin dalam membimbing diri, keluar, masyarakat dan organisasi.
ALLAH SWT berfirman: “ Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang beriman! Berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam dengan penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56)
Ayat ini mengingatkan kita untuk memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW menjadi contoh terbaik dalam menghadapi ujian hidup. Berselawat dapat mengingatkan kita kembali perjuangan dan kesabaran Rasulullah SAW dalam menangai pelbagai cabaran, ancaman dan kesulitan.
Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat sibuk dan sering menghadapi pelbagai tekanan, termasuk ancaman terhadap nyawanya. Namun, Baginda SAW tetap tenang dan teguh kerana kebergantungan penuh kepada ALLAH SWT. Salah satu rahsia kekuatan Baginda SAW adalah amalan zikir dan tasbih yang dilakukan bukan sahaja dalam solat lima waktu, tetapi juga pada masa-masa lain, seperti tahajud dan antara solat.
Amalan tasbih ini bukan sekadar ritual, tetapi ia memberikan kekuatan jiwa dan spiritual kepada sesiapa yang mengamalkannya. Ia adalah sumber kekuatan yang sangat diperlukan dalam menjalani kehidupan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai tanggungjawab besar, seperti pemimpin, ibu bapa, dan ketua organisasi.
Dalam menghadapi cabaran hidup, kita tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan fizikal atau material. Kekuatan sebenar datang daripada hati yang bergantung kepada ALLAH SWT. Apabila kita melatih diri dan anak-anak kita untuk bertasbih dan memuji ALLAH, hati kita akan menjadi lebih kuat, dan kita tidak akan mudah goyah apabila berdepan dengan kesukaran.