Hari Jumaat, hari penuh keberkatan bagi umat Islam, merupakan waktu terbaik untuk bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Dalam khutbah ini, diingatkan bahawa salah satu nama ALLAH yang mulia adalah Ar-Razzaq, Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki.
Bagi setiap insan yang gusar akan rezeki sedikit atau ketidakpastian dalam kehidupan, mengingati bahawa Ar-Razzaq-lah yang memelihara setiap dari kita memberi ketenangan tersendiri. ALLAH SWT yang menetapkan rezeki dan umur bagi setiap makhluk di alam ini, jauh sebelum kita lahir ke dunia.
Dalam Surah Al-Jumu’ah, ALLAH SWT menegaskan bahawa Dia-lah sebaik-baik pemberi rezeki. Maka, di sebalik setiap kesulitan atau kekurangan, rezeki ALLAH tetap hadir dalam bentuk yang kita perlukan, kadangkala bukan daripada sumber yang kita jangka.
ALLAH SWT berfirman: “…Katakanlah (wahai Muhammad), “Pahala, balasan yang ada di sisi ALLAH, lebih baik daripada hiburan dan barang-barang dagangan itu, dan ALLAH sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah Al-Jumu’ah: 11)
Satu kisah beberapa wanita beriman menghadap Rasulullah SAW dengan keluhan hati yang berat. Mereka yang berdepan ujian besar apabila kehilangan suami kerana kematian atau bercerai, bertanyakan bagaimana nasib mereka untuk menyara keluarga dan anak.
Rasulullah SAW dengan penuh hikmah dan kasih sayang mengingatkan para wanita ini tentang janji ALLAH SWT dalam Surah Al-Talaq ayat 2 dan 3: “Barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH, ALLAH akan memberinya jalan keluar dari setiap kesempitan.”
Firman ALLAH ini menggambarkan betapa besar rahmat bagi mereka yang mengutamakan ketakwaan kepada ALLAH dalam setiap ujian hidup mereka. ALLAH SWT memberikan jalan keluar pada setiap kesempitan. Tiada siapa yang mampu membantu melainkan ALLAH SWT.
Kisah Nabi Yunus AS, yang diuji ketika berada dalam tiga kegelapan iaitu malam yang gelap, dalam dasar laut dan terperangkap dalam perut ikan. Secara logik, tidak mungkin beliau dapat diselamatkan oleh sesiapa pun.
Namun Nabi Yunus AS dengan hati yang ikhlas dan berserah diri kepada ALLAH SWT dengan bertasbih, “La ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minazzalimin” (Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim).
Keikhlasan, ketakwaan dan doa Nabi Yunus AS membawanya keluar dari situasi itu. ALLAH SWT tidak membiarkan hambanya yang bertakwa tenggelam dalam kesusahan tanpa jalan keluar.
Dalam konteks kehidupan hari ini, kisah ini amat relevan buat kita semua. Kita sering diuji dengan pelbagai cabaran – mungkin dalam bentuk kehilangan, masalah kewangan, kesulitan keluarga, dan sebagainya. Namun, ALLAH SWT telah menetapkan bahawa sesiapa yang bertakwa kepada-Nya, DIA akan membuka jalan keluar yang tidak kita jangka.
Ingatlah bahawa setiap ujian yang ALLAH berikan, bukanlah untuk melemahkan kita tetapi untuk mendekatkan kita kepada-Nya dan memberi peluang untuk kita merasai kebergantungan mutlak kepada ALLAH SWT.
Bagi mereka yang beriman, ketakwaan adalah kunci dalam meraih bantuan dan rahmat ALLAH. Seperti wanita-wanita yang mengadu kepada Rasulullah SAW, kesulitan yang mereka hadapi akhirnya memberi ruang kepada mereka untuk menguatkan hubungan dengan ALLAH, dan menemukan kebahagiaan serta kekuatan dari sumber yang tidak dijangka.
Di sinilah letaknya keindahan Islam. Kesulitan bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan kepada perjalanan baru yang penuh dengan rahmat dan bantuan Ilahi. Sebagai umat Islam, kita digalakkan sentiasa berdoa dan bertawakal kepada ALLAH, meningkatkan takwa dalam setiap langkah, dan mempercayai bahawa ALLAH tidak akan membiarkan kita sendirian dalam setiap ujian yang dihadapi.
Semoga kisah ini menjadi peringatan dan inspirasi untuk kita semua agar sentiasa bergantung kepada Allah, kerana Dia-lah sumber kekuatan, rezeki, dan pelindung yang hakik
Khutbah turut mengingatkan bahawa sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH SWT, ALLAH akan membuka jalan keluar pada setiap kesulitan dan mencukupkan rezekinya dari arah yang tidak disangka-sangka.
Bagi mereka yang berada dalam kesusahan, ingatlah bahawa ALLAH SWT sentiasa bersama hamba-Nya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berada dalam ketaatan. Sesungguhnya, rezeki yang mencukupi adalah rahmat dan kebahagiaan yang lebih bernilai daripada harta yang melimpah tanpa keberkatan.
Kita sering terperangkap dalam persepsi duniawi yang melihat kekayaan sebagai kayu ukur kebahagiaan. Namun, Islam mengajar kita untuk memahami konsep “qanaah” atau mencukupkan diri dengan apa yang ada. Itulah yang membawa kedamaian yang sebenar.
Allahuakbar, betapa agungnya ALLAH, Tuhan sebaik-baik pemberi rezeki. Dalam kehidupan ini, sering kita terlupa bahawa segala rezeki, umur, amalan, dan takdir yang berlaku dalam hidup ini telah ditentukan oleh-Nya sejak kita berada dalam rahim ibu kita lagi. Ketika usia kandungan mencapai empat bulan, Allah mengutuskan malaikat untuk meniupkan empat ketetapan penting kepada setiap insan iaitu rezeki, umur, amalan, dan ketetapan takdir.
Maka, dalam menghadapi kehidupan, marilah kita semua belajar untuk sentiasa bersyukur dan mencukupkan diri dengan rezeki yang ALLAH kurniakan. Tiada satu pun rezeki yang diberikan kepada kita melainkan ia datang daripada ALLAH dengan hikmah tertentu, sama ada untuk menguji kesabaran, mendidik kesyukuran, atau memberi peluang untuk kita memperbaiki hubungan dengan-Nya. Rezeki bukan sekadar wang atau harta, tetapi ketenangan, kasih sayang, dan hubungan yang baik dengan orang sekeliling juga adalah rezeki yang amat berharga.
Di samping mengingati ALLAH, umat Islam juga diajak untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada hari Jumaat ini. Rasulullah SAW adalah contoh teladan yang agung, yang mendoakan umatnya dan membawa rahmat ke seluruh alam. Maka, dalam setiap doa kita, titipkanlah selawat dan salam kepada Nabi SAW, memohon kesejahteraan untuk Baginda dan ahli keluarga yang mulia serta sahabat-sahabat Baginda yang telah berjuang demi Islam.
Sebagai peringatan akhir khutbah, jemaah diseru untuk mengadu segala masalah kepada Allah SWT, yang lebih memahami apa yang ada dalam hati hamba-Nya. Meski manusia mungkin sukar untuk memahami atau membantu kita, ALLAH SWT sentiasa sedia mendengar dan memberi jalan keluar. Maka, manfaatkanlah hari Jumaat ini untuk memanjatkan doa dan memperbaharui kebergantungan kepada ALLAH, Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki, yang senantiasa mencukupi keperluan hidup kita.
Semoga kita semua dikurniakan keberkatan dan kemudahan dalam kehidupan, dijauhkan dari kekhuatiran yang melampau, serta sentiasa diberikan rasa syukur atas setiap nikmat yang ALLAH SWT anugerahkan.
Khutbah Jumaat Sinar Al-Jumu’ah siri 3 yang bertajuk “Rezeki tanpa batas”, disampaikan oleh Khatib Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan, Penerbitan al-Quran, Karya Bestari di Surau Karangkraf, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam, pada 19 Januari 2024.
Ikuti siaran semula di https://youtu.be/bfaHJZAOCxE?si=wJ0FDI5j7bVK8_TO